Saturday, April 26, 2014

Kita Perlu Berusaha...

Kita selalu dengar bahawa Allah SWT tidak akan merubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum tersebut merubah nasib diri mereka sendiri. Apa maksudnya? Adakah Allah tidak mampu mendatangkan perubahan? Tidak! Allah mampu membuat apa saja cuma Dia ingin melihat kita sentiasa berusaha dan tidak hanya duduk diam mengadu nasib tanpa membuat sesuatu.

Di dalam Surah Maryam, Allah SWT berfirman, "Maka Jibril menyerunya dari tempat yang rendah: "Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu. (24) Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu." (25)

Sekiranya kita meneliti ayat-ayat di atas, kita akan terfikir betapa seorang perempuan (Maryam) mengandung yang bersedih hati dan lagi lemah disuruh menggoyang pokok kurma untuk mendapatkan buah yang masak.


Tidak bolehkah Allah gugurkan sendiri buah-buah kurma yang masak tersebut? Allah boleh mendatangkan angin yang bertiup supaya buah yang masak itu gugur.

Bagaimana keadaan pokok kurma yang berbuah, adakah ia kecil seperti pokok cili atau lada dan mudah untuk digoyangkan? Pokok kurma seiras dengan pokok kelapa sawit yang mana batangnya begitu besar. Mampukah seorang wanita yang sedang sakit ingin melahirkan anak untuk menggoyangkan pokok kurma yang begitu besar?

Apa yang penting di sini yang cuba diterapkan ialah usaha! Kita mesti berusaha!

Kadang-kadang usaha yang sedikit bakal menganugerahkan hasil yang banyak dengan izin Allah. Dan begitu juga sebaliknya. Pun dengan izin dan iradat Allah SWT.

Oleh itu, marilah kita berusaha dalam apa jua lapangan demi menjayakan hasrat yang kita inginkan...

No comments:

Post a Comment