Kalau tidak silap saya, Sayed Qutb pernah berkata, "Bila saya ke Barat, saya nampak syiar Islam tetapi amat kurang penganutnya. Sebaliknya pula, bila saya ke Timur, saya nampak ramai penganut Islam tetapi tiada atau sangat kurang syiar Islam".
Maksud kata-kata itu amat mudah. Di Barat, kelihatan budaya pentingkan masa, membantu mereka yang memerlukan, beratur, menjaga kebersihan, bercakap benar, pemimpin beramanah, dan sebagainya. Inilah ciri-ciri Islam yang diajar oleh Allah dan Rasul.
Di Timur pula, ramai penganut Islam tetapi berkurangan pula ciri-ciri Islam. Cakap selalu tak serupa bikin... Kekotoran merata-rata. Masa kurang dihargai, maksudnya apabila berjanji untuk datang pukul 3 tetapi datang setengah jam atau sejam kemudian. Tidak boleh nampak orang lain senang. Dendam membara, rasuah, dan sebagainya.
Ciri-ciri penghayatan Islam begitu bersinar di Barat tetapi sebaliknya pula di Timur.
Itulah ada kata-kata dari kawan bahawa kalau bangsa lain di Malaysia atau di Timur melihat perangai dan tingkah laku orang Islam, tak mahunya mereka memeluk Islam. Tetapi apa yang membuat mereka memeluk Islam adalah pengajaran Islam itu sendiri. Apabila mereka membaca al-Quran dan al-Hadis, mereka nampak kesyumulan Islam yang hakiki.
Senang cakap, orang Islam rata-ratanya tidak mengamalkan Islam!
Kita disuruh supaya tegakkan Islam dalam diri kita, keluarga kita, kemudian masyarakat, kemudian negara. Dengan berbuat demikian, Islam mudah dihadamkan apabila negara kita berubah menjadi negara Islam. Dengan kata lain, 'approach bottom-up' dan 'up-bottom' digabungjalinkan supaya ia lebih cepat terlaksana.
Islam dan Melayu selalu disinonimkan. Tujuannya ialah supaya sesiapa mudah mengatakan bahawa berjuang untuk Melayu sama juga berjuang untuk Islam. Tetapi hakikatnya berbeza! Tidak semua yang Islam itu Melayu dan perjuangan ini juga bakal menjauhkan orang Islam 'lain' untuk bersama kita.
Pun yang memperjuangkan Melayu, kata mereka tak serupa bikin...
Kelantan merupakan sebuah negeri majoriti penduduknya Melayu tetapi banyak kemudahan dipinggirkan. Kalau itulah landasan kita sepatutnya apa salahnya menyediakan kemudahan-kemudahan yang perlu. Lagipun ini selaras dengan dasar kita yang katanya ingin menolong Melayu.
Katanya sebanyak 118 projek Persekutuan disekat sejak Rancangan Malaysia Keenam (1991) lagi disebabkan oleh perbezaan ideologi fahaman politik.
Antaranya ialah penyekatan pembayaran royalti minyak kepada Kelantan yang jelas termaktub di dalam undang-undang.
Malah lebih teruk lagi, kita sanggup memperkayakan negara lain demi untuk tidak memanfaatkan hasil minyak kepada negeri yang tidak bersama kita. Kita sanggup untuk mengalih pendaratan minyak ke luar Kelantan yang hanya jarak 150 km saja berbanding dengan ke Songkla Thailand yang jaraknya 270 km. Biar orang lain kaya, dan jangan orang Melayu kita kaya. Rasakanlah rakyat tempatan, padan muka engkau! Siapa suruh tak sokong kami!
Ini tidak termasuk diskriminasi oleh orang Melayu kepada orang Melayu di peringkat akar umbi seperti menahan projek jalan kampung, bantuan kemiskinan dan lain-lain lagi.
Kesemua ini dilakukan kerana kita mempunyai dasar ideologi yang berbeza. Kita sanggup menyeksa bangsa kita sendiri semata-mata kerana mereka tidak bersama kita.
Ini jelas terbukti bahawa bukan bangsa lain yang menindas, sebaliknya Melayu ditindas dan dilemahkan oleh orang yang sebangsa dengannya, semata-mata kerana kerakusan kuasa dan tidak boleh menerima selain daripada mereka sahaja untuk berkuasa.
No comments:
Post a Comment