Friday, November 4, 2011

Ada Kaitan Antara Polisi Dan Reaksi...

Polisi universiti yang mementingkan 'journal papers' sedikit sebanyak meninggalkan kesan kepada tugasan sampingan seorang pensyarah.

Kebanyakan pensyarah sudah tidak mahu lagi terlibat dengan mana-mana aktiviti yang tidak meningkatkan markah mereka dalam LPPT (dulu SKT). Buat apa terlibat, kalau 'percentage' yang dinilai amat kecil sekali dan markah tersebut boleh diraih dalam banyak aktiviti lain samaada di luar universiti mahupun dalam universiti.

Hasilnya kerja-kerja sosial dan kebajikan sesebuah organisasi seperti fakulti akan terbiar dan tidak diendahkan.


Sepatutnya Badan Keluarga sesebuah organisasi boleh membantu menaikkan prestasi kerja organisasi tersebut. Jika Badan Keluarga berfungsi dengan baik, banyak nilai-nilai positif akan mewarnai institusi tersebut. Masing-masing saling menghargai, membantu, menyayangi, malah menguatkan tautan silaturrahim sesama staf mahupun di antara satu keluarga dengan keluarga staf yang lain.

Bila ada kelahiran atau kematian, masing-masing memberi penghargaan atau mengucapkan takziah. Begitu juga bila ada perkahwinan atau kenduri yang lain, seluruh masyarakat fakulti akan hadir dan membantu sesama mereka, ibarat aur dengan tebing. Bila ada pencapaian kecemerlangan oleh staf mahupun ahli keluarga mereka, maka diraikan bersama. Natijahnya, keseronokan bekerja sebagai satu pasukan akan meningkatkan prestasi kerja.

Semalam, FGHT telah mengadakan mesyuarat agung untuk memilih AJK baru untuk memegang jawatan dalam Badan Keluarga FGHT. Dari lebih 150 staf yang ada, cuma sekitar 50 orang yang hadir untuk saling tolak menolak supaya orang lain ke depan memegang tanggungjawab! Biar orang lain kena, jangan aku yang kena. Disebabkan budaya yang sebegitu, setengahnya mengambil keputusan untuk tidak hadir bagi mengelakkan diri dari dilantik.


Keluhan ahli sudah lama berbunyi tentang ketiadaan Hari Keluarga fakulti. Mungkin AJK terdahulu menghadapi masalah mendapat komitmen dari setiap ahli untuk menjalankannya.

Itulah bahana apabila kita hanya mementingkan aspek 'ranking' semata-mata. Kalau dulu, ramai orang yang 'volunteer' untuk memegang amanah kerja-kerja amal dan kebajikan. Tetapi apabila penekanan berubah, maka benda-benda yang tidak penting bagi universiti (tetapi penting bagi warga fakulti) demi mencorak alam pekerjaan yang kondusif dan kompetitif, ia menjadi semakin hambar dan luntur.

Sambutan pihak pentadbir fakulti kepada perkara ini juga boleh dinilai oleh mata kasar. Sepatutnya, perlu ada satu slot dimana pihak pentadbir menghargai ajk yang lalu dan melantik ajk baru dalam satu suasana yang memberi mereka perangsang atau setidak-tidaknya membuat mereka perasan bahawa usaha kerdil mereka dihargai... Setidaknya kalau tiada buah tangan seperti sebatang pen, surat penghargaan yang ditandatangani oleh dekanpun sudah memadai.


Itulah... di peringkat universiti mahukan penghasilan 'journal papers', maka di peringkat fakultipun sama...'journal papers'. Yang lain-lain sudah tidak relevan dan sesetengah bertanggapan hanya membuang masa.

Kalau kita boleh fikirkan kembali cara kita memberi markah kepada aktiviti-aktiviti lain selain menghasilkan 'journal papers', sudah pasti ia mampu menarik minat golongan pensyarah untuk turut sama menyumbang ke arah kesejahteraan ummah. Kalau tidak, semua generasi akademik yang baru akan bermati-matian mengusahakan apa yang hanya menjadi perhatian pihak atasan.

Kerja-kerja kebajikan dan sosial akan ditinggalkan dan akhirnya sistem kekeluargaan sesebuah badan kerajaan akan menjadi seperti kata pepatah, 'hidup segan mati tak mahu'!

No comments:

Post a Comment