Thursday, December 1, 2011

Parkir...

Masalah parkir adalah masalah biasa apabila sesebuah kawasan dibina tanpa perancangan jangka panjang. UTM juga tidak terlepas dari masalah ini.

UTM Skudai dibina pada tahun 1980an dengan satu perancangan yang begitu unik; bangunan-bangunan berada berdekatan bagi memudahkan pelajar bergerak dari satu bangunan ke bangunan yang lain dan mengelilingi Masjid Sultan Ismail yang menjadi pusat kepada fakulti-fakulti.

Apabila fakulti berkembang dan bangunan-bangunan baru perlu dinaikkan maka masalah ruang mula timbul. Bangunan-bangunan baru didirikan bersebelahan bangunan lama supaya 'continuity' fakulti tidak nampak terpisah. Pun begitu, sesetengah fakulti sudah tiada ruang untuk dibuat 'extension' maka ia mula didirikan jauh beberapa kilometer dari fakulti induk.

Sesetengahnya pula mendapat bangunan fakulti lain sebagai ganti dan fakulti asal mendapat peruntukan untuk membina bangunan baru. Kadang-kadang yang agak melucukan ialah bangunan lama diserahkan kepada fakulti lain tetapi tidak tempat parkir! Apabila ini berlaku, fakulti yang mendapat bangunan lama tidak mempunyai ruang untuk stafnya meletakkan kenderaan.

Pelikkan? Mana ada dalam dunia, bangunan diberi tetapi tempat parkir tidak diserahkan juga.

Ada fakulti yang melabelkan tempat parkir kepada staf yang berjawatan seperti dekan, timbalan dekan, dan sebagainya. Tetapi ada sebuah fakulti yang tidak mempunyai tempat meletak kenderaan yang khusus walaupun mereka adalah pentadbir fakulti! Tidak kira dekan ke, kerani ke, pensyarah biasa ke dan jika mereka datang awal, mereka mendapat tempat parkir. Dengan kata lain, 'It's free parking for all'.


Masalah parkir begitu ketara di kawasan yang berada di lingkaran dalam. Peraturan pelajar tahun 1 tidak boleh membawa kenderaan, kadang-kadang nampak tidak begitu berkesan menangani masalah pertambahan kenderaan di kampus. Walaupun tujuannya yang asal ialah supaya kenderaan dapat dikawal tetapi tujuan sampingan ialah supaya pelajar-pelajar muda dapat mengenali jalan terlebih dahulu dan mengetahui selok belok trafik di sini. Ini supaya dapat mengelak mereka terlibat dengan kemalangan dan kehilangan nyawa. Nyawa pelajar universiti begitu bernilai untuk kita pertaruhkan. Tetapi bagi sesetengah orang, mereka berpendapat kalau sudah ajal tahun berapapun mati juga.

Natijahnya sekarang, kawasan untuk parkir sudah tidak ada dan kenderaan pula melimpah ruah. Tiada lagi ruang untuk staf, apatah lagi untuk pelajar! Pelajar Projek Sarjana Muda (PSM) saya pada semester ini cuba untuk mengkaji langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini melalui apa yang dikatakan 'park & ride'. Dengan kata lain, staf dan pelajar datang ke kampus dengan kenderaan mereka tetapi parkir di satu kawasan yang telah ditentukan kemudian mereka menaiki bas yang bergerak secara 'shuttle' mengelilingi kawasan fakulti.

Satu lagi perkara yang menjadi igauan saya ialah mereka yang tidak faham tanda dilarang meletakkan kenderaan. Kadang-kadang pihak keselamatan perlu merentang tali merah putih disamping papan tanda yang sedia ada. Ini sudah berat, kalau mereka yang dikatakan kaum intelekpun masih tidak dapat memahami peraturan yang ada dan sukar untuk kita fahamkan mereka, apatah lagi mereka yang tidak berpendidikan tinggi...

Yang paling saya tidak faham ialah mereka yang meletakkan motosikal di tangga masjid UTM. Tidak terfikirkah mereka yang mereka telah menghalang laluan jemaah yang ingin turun naik ke masjid. Apa salahnya kalau mereka meletakkan jauh sedikit dan tidak menghalang orang lain untuk membuka dan memakai selipar atau kasut di tangga.

Saya berkata secara berseloroh kepada anak-anak bahawa mereka yang meletakkan kenderaan betul-betul di depan tangga mungkin ingin (kalau boleh) meletak kenderaan di belakang saf ketika mereka solat!

No comments:

Post a Comment