Saturday, December 10, 2011

Lawatan Akademik...

Proses Pengajaran dan Pembelajaran (P & P) boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk dan situasi. Ia boleh dilakukan secara formal mahupun tidak formal. Kadang-kadang proses P & P yang berlaku secara spontan lebih memberi kesan mendalam kepada individu.

Lawatan akademik pelajar ke sesebuah institusi juga merupakan satu proses P & P. Di sini pelajar belajar secara langsung dengan pihak terbabit, tiada lagi pihak ketiga yang cuba menghuraikan apa yang dilakukan oleh institusi tersebut.

Pembelajaran sebegini kadang-kadang lebih bermakna dan agak menarik. Cuma kosnya agak tinggi. Perancangan rapi dari segi tarikh, tempat penginapan, dan pengangkutan sangat-sangat diperlukan. Kadang-kadang kita telah mencadangkan satu tarikh tetapi pihak mereka tidak dapat menerima kita pada tarikh tersebut. Masalah akan menjadi lebih kronik apabila kita melakukan lawatan ke beberapa buah institusi. Diplomasi adalah begitu penting untuk kita kompromi masa dan tarikh yang bersesuaian.

Kita tidak mahu membuat 'trip' banyak kali kerana untuk menjimatkan masa dan kos. Apatah lagi jika tempat lawatan kita menjangkau perjalanan yang melebihi 4 atau 5 jam.


Pada 30 November lepas, saya telah membawa 43 orang pelajar (termasuk seorang pelajar antarabangsa dari Djibouti) membuat lawatan akademik ke institusi kerajaan dan swasta di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya. Lokasi yang dituju pada 1 Disember ialah Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah di sebelah pagi dan di sebelah petang pula Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan.

Pelajar-pelajar tahun 2 jurusan Pentadbiran & Pembangunan Tanah begitu seronok dan ceria menyertai lawatan akademik ini. Sesetengah dari mereka baru pertama kali datang ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya. Mereka begitu tertarik dengan senibina bangunan, landskap, jambatan, dan perbagai perhiasan yang terdapat di sini.

Pada hari kedua iaitu 2 Disember, kita melakukan lawatan ke Indah Water Konsortium (IWK) di Pusat Bandar Damansara dan pada petangnya ke Putrajaya Corporation.

Putrajaya yang dibangunkan berkonsepkan 'garden city' atau bandar dalam taman nampak begitu cantik dan menarik. Tema pembangunannya juga berlandaskan kepada hubungan 'manusia dengan pencipta', 'manusia dengan manusia', dan 'manusia dengan alam sekitar'.

Cuma, pada pandangan saya banyak bangunan atau monumen kita yang pada suatu masa dulu nampak gah dan menarik tetapi disebabkan kurangnya 'maintenance', lama kelamaan ia rosak dan nampak cacat. Pernah seorang profesor dari UK memberi komen kepada saya semasa beliau datang ke sini, katanya 'UTM campus is very nice and beautiful but it lacks of maintenance'. Beliau hampir terjatuh kerana berjalan di laluan pejalan kaki yang tidak paras.

Di Putrajaya, saya memandu pajero dan nampak bahagian bibir atau tepi 'tiles' yang ditampalkan pada pembahagi jalan di jambatan sudah kehilangan 'gam' atau 'plaster'. Maka nampaklah serpihan tersebut yang bersaiz lebih kurang sekaki setiap satu berada di bawah dari tempat asalnya. Alangkah elok jika kita sentiasa membuat pemantauan dan menjaga bangunan dan infrastruktur yang ada supaya ia kekal, setidak-tidaknya untuk beberapa generasi yang akan datang.

Dari segi kos, saya tidak fikir pihak Putrajaya menghadapi masalah. Saya juga dimaklumkan oleh pegawai di Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah bahawa bangunan yang mereka duduki disewa dengan Perbadanan Putrajaya sebanyak RM3 juta sebulan. Cuba bayangkan berapa banyak kita membayar sewa setiap bulan dengan puluhan kementerian yang ada di sana. Ini tidak termasuk lagi dengan penyewaan kediaman YAB Perdana Menteri dan timbalannya...

Pada saya, jagailah 'garden city' kita ini dengan baik. Ia boleh menjadi salah satu destinasi pelancongan. Kalau kita tidak membuat 'maintenance' secara berkala maka akhirnya mungkin suatu masa nanti, ia boleh mencacatkan pandangan dan kos penambaikan akan berganda dan seterusnya merugikan hasil negara!

No comments:

Post a Comment