Pagiku bermula dengan solat Fardu Subuh di Masjid Sultan Ismail, UTM. Aku ke MSI bersama 'Ammar. Bila pulang dari MSI, aku memaklumkan kepada isteri bahawa aku berpuasa hari ini, bersempena Hari Assyura (10 Muharram).
Aku ke UTM sebelum jam 9 pagi. Pada jam 9 pagi, program membudayakan al-Quran FGHT buat julung-julung kali diadakan di bilik Surau Lelaki setelah hampir sepuluh tahun berhenti sejak penangkapan mangsa-mangsa ISA fakulti.
Aku bergerak dari bilikku dengan sebuah musyhaf ke pejabat fakulti. Aku bawa bersama 'progress report' pengajian Phdku untuk diserahkan kepada Puan Banon. Katanya, laporan ini sudah 'overdue'! Aku baru mengisinya semalam dan meminta penyeliaku, PM Dr Ismail Omar membuat penilaian seperti yang diperlukan.
Dalam perjalanan ke surau, aku mengajak CC (Chief Clerk) untuk turut sama menghadiri program 'Membudayakan al-Quran'. Abang Lan, CC, terlupa pasal program ini kerana ia telah dimasukkan dalam e-mail fakulti sejak beberapa hari yang lalu. Sepatutnya, ia diperingatkan sekali lagi semalam...
Hasilnya, hanya Hj Saupi (Pengerusi Program), aku, Abang Lan dan PM Dr Hj Hishamuddin (Timbalan Dekan) yang hadir untuk program ini. Kami bertadarus surah an-Naba' dan membaca tafsirannya.
InsyaAllah, pada hari Selasa minggu depan, di antara jam 9 hingga 10 pagi, mudah-mudahan lebih ramai lagi staf FGHT akan menghadirinya. Program ini merupakan program mingguan. Minggu depan kita akan membaca surah an-Nazi'at pula.
Jam 10 pagi, aku kembali ke bilikku untuk berjumpa dengan 2 orang pelajar PSM yang sudah setia menunggu. Mereka datang untuk berbincang tentang tesis mereka.
Seterusnya, Pengarah Kem LAD, saudara Shahrul (pelajar Tahun 3) datang berjumpa denganku untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Kem yang akan bermula pada 13 Januari nanti. Beliau juga memaklumkan bahawa sewa 'dorm' di Cameron Highlands agak mahal iaitu RM40 seorang semalam. Aku berjanji kepadanya untuk cuba mencari sedikit bantuan kewangan bagi meringankan beban 46 pelajar tahun 3, kursus Pentadbiran dan Pembangunan Tanah. Dari bajet yang dibentangkan, setiap pelajar terpaksa mengeluarkan wang sebanyak RM150 seorang bagi program yang berlangsung selama 3 minggu.
Aku ke MSI untuk menunaikan solat Zohor. Selesai solat, aku memasukkan markah lawatan akademik kepada setiap pelajar dalam borang excel yang telah aku sediakan. Setiap pelajar yang menyertai 'study tour' ini diberikan 10 markah. Pelajar yang membuat kerja tambahan menggunakan 'software' xmind bagi perisian peta minda juga diberikan 3 markah tambahan.
Aku juga cuba menyediakan soalan 'final exam' yang telah diminta oleh Penyelaras Kursus sejak minggu lepas lagi. Final exam akan bermula pada awal bulan Januari nanti. Soalan diminta lebih awal bagi tujuan semakan dan penambahbaikan oleh jawatankuasa fakulti.
Masuk waktu Asar, aku ke MSI lagi. Tiba di MSI, aku berjumpa dengan Prof Mohamad Ismail. Aku mengajak beliau untuk menziarahi Prof Mahmood Mohd Tahir yang telah berada di wad 4 Barat, HSAJB sejak 4 hari yang lepas. Prof Mahmood telah menjalani pembedahan kerana mengalami pendarahan usus yang agak kronik.
Aku, Prof Mohamad, PM Dr Mohamad Wijayanuddin, dan PM Hamidon telah menziarahi Prof Mahmood. Prof Mahmood tidak diberi makan dan minum, dan hanya bergantung kepada 'drip' air yang dimasukkan melalui wayar. Sedikit air disapu pada mulut bagi membasahinya dan mengurangkan kekeringan bibir.
Prof Mahmood nampak ceria walau menghidapi sedikit demam. Kami sampai semula ke UTM lebih kurang jam 6.10 petang.
Aku balik ke rumah 'just on time' untuk berbuka puasa berlaukkan daging bakar cicah budu, berulamkan pucuk tenggek burung dan petai, berkuahkan sayur lemak cekur. Alhamdulillah...
No comments:
Post a Comment