Sunday, August 30, 2009

Gawatnya Perlaksanaan Hukuman Syariah


Berita mengenai Kartika Sari Dewi Shukarno yang telah menaiki kenderaan untuk ke tempat menjalani hukuman sebat berhenti 200 meter dari rumahnya dan pihak mahkamah menangguh hukuman tersebut tersebar luas. Kenapa dengan Kartika? Kartika telah didapati bersalah oleh Mahkamah Syariah Kuantan kerana meminum arak di khalayak ramai di Cherating.

Dan Kartika dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan 6 kali sebatan. Malangnya, sebatan ditangguhkan kerana katanya tiada sesiapa yang bersedia untuk melaksanakannya. Pelik juga, hukuman ditulis atau didrafkan sedemikian tetapi tiada pelaksana.

Walau bagaimanapun alasan sebenar kita tidak ketahui. Mungkin kerana ada campurtangan pihak luar, mungkin ada pandangan yang menyatakan teruknya Mahkamah Syariah, minum arakpun dikenakan sebatan. Tidak 'up to date', kolot, hukuman hutan rimba dan sebagainya.

Apapun sebab dan alasan, pada hemat saya, hukuman yang telah dijatuhkan perlu diteruskan. Kalau tidak, ia akan menjadi buah mulut dan cacian orang ramai.

Tujuan hukuman dilaksanakan terutamanya Undang-undang Islam juga ada mesej tertentu iaitu untuk memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan perkara yang sama. Undang-undang Islam yang sebenarpun menghukum peminum arak melebihi dari 6 sebatan. Dan ketiganya, aktiviti sebatan itu sendiri berbeza dari Mahkamah Sivil dari segi ketebalan rotan, tahap ketinggian hayunan rotan dan sebagainya. Dengan kata lain, kita kearah mendidik, mengajar manusia supaya menjadi lebih baik dan bukan sebaliknya.

Mungkin ada hikmah dari peristiwa ini yang boleh kita pelajari. Pertama, kita boleh katakan betapa berleluasanya gejala minum arak dikalangan masyarakat Islam. Minggu lepas, ada seorang pelajar Islam IPTA ditangkap dalam bilik asrama bersama minuman kerasnya. Kedua, sungguhpun kita ingin memartabatkan Mahkamah Syariah setanding Mahkamah Sivil namun perjalanan kita masih jauh.

Namun usaha yang dibuat oleh Allahyarham Tan Sri Datuk Prof Ahmad Ibrahim dan ramai lagi, insyaAllah akan bertambah baik dari semasa ke semasa. Ahmad Ibrahim telah membuat draf undang-undang Islam di Singapura pada tahun 1966 lagi. Ahmad Ibrahim di penghujung usia merupakan dekan kuliyyah undang-undang di UIAM.

Kalau kita boleh menerima dan berhukum dengan undang-undang ciptaan manusia kenapa kita tidak boleh menerima peraturan yang ditetapkan oleh pencipta manusia. Dia lebih mengetahui perangai, gelagat, dan tingkah laku ciptaanNya.

Wednesday, August 26, 2009

Mahu Ke Beli MPV Baru?


Aku teringin untuk memiliki MPV yang lebih selesa. Van Ford Spectron yang aku beli pada tahun 2001 dah banyak menunjukkan tanda-tanda, dia sudah tua. Antaranya, tingkap sebelah 'passenger' depan dah tak boleh 'roll down'. Bukan main lagi hangatnya, bila hari hujan! 'Air-conditioner' pula, kalau ada gas, yang depan aje berfungsi. Penumpang belakang dah lama tidak merasai kesejukan air-con (mungkin sudah 4 tahun tidak berfungsi).

Pada bulan Jun lepas, aku isilah borang pinjaman kenderaan UTM. Bulan Julai dapat jawapan lulus! Dah pergi 'recce'pun Innova, harganya 'full spec' RM109,000. Dengan Innova berkapasiti 2.0 CC, rasanya lebih bertenaga dari Spectron 1.8 CC. Apatah lagi bila 11 orang berada di dalamnya. Bila balik Kelantan, dengan 11 orang penumpang dan CC 1.8, kadang-kadang nak potong baspun tak larat. Naik bukit, memang mengah dan semputlah si Spectron tu.

'Loan government' lulus maksima RM65,000. Kalau tolak Spectron (dah tanya merata), 'the best price' dapat RM24,000. Baru ada RM89,000. Mana nak cari RM20,000 lagi?

'Loan' Spectron dah habis tahun lepas, bayar sebanyak (RM700) lebih sebulan, sekarang hanya tinggal 'loan' Kancil RM300 sebulan. Rasa malas pula nak berhutang lagi.

Baru ni, dengar pula ceramah Prof Dr Nazari dari UM pasal "Krisis Kewangan Global, Mampukah Syariat Islam Menanganinya". Beliau ada menceritakan bagi mengelakkan kita membantu sistem perbankan yang tidak Islamik, salah satunya ialah elok kita beli kereta 'second hand' yang 'affordable and reliable' aje. Secara tidak langsung, kita tidak berhutang!

Fikir punya fikir, tak payahlah beli Innova, perbaikilah Spectron mana yang patut. Nak balik Kelantanpun bukan selalu... Keinginan untuk merasa selesa itu ada tetapi biarlah dulu.

Sebelum ini, aku mengutus surat kepada Bendahari UTM untuk menangguhkan kelulusan pinjamanku selama 3 bulan sementara dapat mencari duit tambahan. Minggu lepas, aku mendapat maklumbalas bahawa kelulusan 'loan' aku dibenarkan tangguh selama 3 bulan dan akan tamat sebelum pertengahan bulan September. Dan apabila tamat, aku perlu membuat permohonan baru...

Biar aje lah kelulusan itu tamat. Kalau perlu, aku pohon lagi...

Tuesday, August 25, 2009

Kelebihan Ayat Kursi


Dari Abu Hurairah r.a., "Rasulullah (saw) menugaskan daku untuk menjaga Zakat Ramadhan (Zakat Fitrah). Kemudian datang seseorang kepada ku, maka diambilnya segenggam makanan, dan orang itu dapat ku tangkap. Lalu aku berkata kepadanya, "Nanti ku adukan engkau kepada Rasulullah (saw)".

Katanya, "Saya perlu, kerana saya mempunyai keluarga dan keperluan yang amat sangat." Kata Abu Hurairah, "Kerana itu, saya biarkan saja orang itu."

Esok pagi Nabi (saw) bersabda, "Hal, Abu Hurairah! Apakah yang diperbuat tawanan mu malam tadi?" Jawab ku, "Ya, Rasulullah! Ia mengatakan sangat perlu, kerana mempunyai keluarga. Maka saya merasa kasihan, lalu saya biarkan saja dia." Sabda Nabi, "Sebenarnya dia dusta kepada mu dan ia akan kembali."

Saya yakin bahawa ia akan kembali kerana pemberitahuan Rasulullah (saw) itu. Lalu saya intip dia. Memang benar, orang itu datang lagi lalu diambilnya segenggam makanan, dan terus saya tangkap. Kataku, "Nanti ku adukan engkau kepada Rasulullah (saw)" Katanya, "Biarkanlah saya, kerana saya sangat perlu dan mempunyai keluarga. Sesudah ini tidak akan saya ulangi lagi." Saya pun merasa kasihan, lalu saya biarkan dia.

Pagi-pagi Rasulullah (saw) bersabda pada ku, "Hai, Abu Hurairah! Apakah yang diperbuat tawanan mu malam tadi?" Jawab ku, "Ya, Rasulullah! Ia mengatakan sangat perlu dan berkeluarga. Aku merasa kasihan kepadanya, lalu ku biarkan saja dia." Sabda beliau, "Sebenarnya ia dusta kepada mu, dan ia bakal kembali."

Saya intip dia untuk ketiga kalinya. Memang benar, ia pun datang lalu diambilnya segenggam makanan, lantas saya tangkap, seraya berkata. "Engkau mesti saya adukan kepada Rasulullah (saw). Inilah yang ketiga kalinya engkau mengatakan tidak akan kembali, tetapi nyatanya engkau kembali juga." Katanya, "Lepaskanlah aku, nanti ku ajarkan kepada mu kalimah-kalimah yang diberi manfaat oleh Allah kepada mu, apabila engkau membaca kalimah itu."

Kataku, "Apakah kalimah itu?" Jawabnya, "Apabila engkau hendak tidur, bacalah ayat Kursi: Allaahu laa ilaaha illa huwal hayyul qayyum, (Al Baqarah, 2: 255) hingga sampai akhir ayat. Maka engkau sentiasa dalam pemeliharaan Allah, sedangkan syaitan tidak akan dekati mu sampai pagi." Setelah itu saya biarkan dia.

Pagi Rasulullah (saw) bersabda kepada ku, "Apa yang diperbuat tawanan mu tadi?" Kataku, "Ya, Rasulullah! Dia ajarkan kepada ku beberapa kalimah katanya diberi manfaat oleh Allah apabila seseorang membacanya. Kerana itu ku biarkan dia."

Sabda beliau, "Apakah kalimah itu?" , Jawab ku, "Ia mengatakan kepada ku, apabila engkau hendak tidur, bacalah ayat kursi dari awal sampai akhir. Yakni, Allaahu laa ilaaha illa huwal hayyul qayyum.(hingga akhirnya). Katanya kepada ku: Engkau akan sentiasa, dalam pemeliharaan Allah, dan syaitan tidak akan mendekati mu sampai pagi." Dan biasanya para sahabat itu sangat, mengingini kebaikan.

Nabi (saw) bersabda, "Sesungguhnya ia telah benar kepada mu. Padahal ia sangat pendusta. Tahukah engkau, dengan siapa engkau bercakap-cakap selama tiga malam itu, wahai Abu Hurairah?" Jawab Abu Hurairah, "Tidak!" Sabda beliau. "Itulah syaitan!"

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1122.

Monday, August 24, 2009

Tazkirah Ramadhan dari Anakku...



Selamat menghayati kehadiran Ramadhan, abah... Yuk, kita jadikan Ramadhan ini yang terbaik dalam hidup kita....macam mana?

Caranya...kita rebut peluang yang datang hanya sekali ini sahaja untuk benar-benar hampir dengan Allah....

Susunlah jadual dengan rapi, letakkan target Ramadhan kali ini dan maksimakanlah ibadah kepadaNya serta minimakan dosa-dosa dalam diri....

Kak Ngah ada dengar satu tazkirah, katanya, "Binasalah sesiapa yang berpeluang memasuki Ramadhan tetapi setelah berakhirnya Ramadhan, dosanya masih belum diampunkan". Sedihnya...

Kita mohon supaya Ramadhan kali ini benar-benar menjadi madrasah tarbiyyah buat diri kita... dan setelah berakhirnya Ramadhan, kita menjadi insan yang sangat berbeza iaitu lebih bertaqwa di sisiNya daripada sebelum ini...

Anggaplah Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan yang terakhir dalam hidup kita.... Selamat Berpuasa!

Begitulah berbunyi sms dari anakku, Wan 'Atikah di malam pertama kita menyambut Ramadhan 1430.

Saturday, August 22, 2009

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan Kareem...


Alhamdulillah hari ini, kita semua memulakan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Malam tadi, saya dan empat orang anak lelaki pergi menunaikan solat tarawih di Masjid Sultan Ismail (MSI), UTM. Kebiasaannya, 'the whole family' pergi solat ke MSI tetapi disebabkan Asmaa Solehah kurang sihat, saya menasihatkan supaya Syakir, anak-anak perempuan dan umminya solat di rumah sahaja. Tambahan pula, wabak H1N1 masih belum reda. Masya Allah, begitu ramai sekali... Mungkin dalam 2 atau 3 ribu orang, lelaki dan perempuan termasuk anak-anak.

Semua bersemangat untuk beribadah di bulan yang penuh dengan tawaran istimewa. Buat ibadah sunat, diberi ganjaran pahala ibadah wajib. Buat ibadah wajib dan diberi ganjaran 70 kali ganda. Ada pula malam yang lebih baik dari 1,000 bulan... Besar sekali JUALAN MURAHnya. Saya rasa rugi bagi mereka yang membiarkan ia (Ramadhan) berlalu pergi.

Saya teringat pada tahun lepas, saya ber'ramadhan' di University of Ulster at Jordanstown, Northern Ireland, United Kingdom. Pada malam pertama Ramadhan, kami pergi ke Belfast untuk menunaikan solat tarawih. Begitulah malam kedua dan ketiga. Jarak Jordanstown ke Belfast, lebih kurang dari Skudai ke Johor Bahru.

Tetapi malam-malam yang seterusnya, kami telah memulakan solat tarawih di Jordanstown, di dalam bangunan University of Ulster itu sendiri. Kami bergilir-gilir menjadi imam...

Kami juga sempat 'organize' iftar jamaie (berbuka puasa) bersama pelajar dan penduduk tempatan yang lain. Sungguhpun bilangan yang datang untuk iftar dan solat tarawih tidak sampai 10 orang, namun kepuasan begitu terasa kerana berjaya 'initiate something new to the area'. Harapan saya ialah suatu hari nanti Jordanstown akan mempunyai masjidnya sendiri seperti Belfast.

Saya bersahur dan berbuka begitu 'simple' di sana. Menginap di asrama University of Ulster mengizinkan saya untuk memasak. Satu lauk, sedikit sayur lettuce (tak perlu masak) dan nasi. Bekalan daging lembu, biri-biri dan ayam diperolehi dari kedai Arab di Belfast.

Kalau tak mahu masak, sekeping cheese dan dua keping roti sudah mencukupi untuk menjadi cheese sandwich. Saya masih ingat berbuka puasa di rumah Zarina & Jamal dan di rumah Din & (lupa pula nama isteri Din), pensyarah UTHM. Di Belfast pula sempat berbuka puasa beberapa kali di masjid dan juga di rumah Ust Faizal dan isteri (Dr Hidayah).

Pengalaman yang paling manis dan diharapkan ianya berterusan ialah solat tarawih itu tadi. Moga-moga ada orang lain yang meneruskan usaha kami. Di University of Ulster ini juga, saya sempat membaca khutbah Jumaat sekali.

Saya di University of Ulster dari 15 Julai hingga 26 September 2008.

Saturday, August 15, 2009

Ustaz Asri Rabbani Mendahului Kita...


Dari Anas r.a., katanya: "Suatu perarakan jenazah lalu. Lantas orang banyak memuji bahawa itu jenazah orang baik. "Ya, pasti" kata Nabi (saw) menyetujui. Kemudian lalu pula perarakan jenazah yang lain. Orang banyak berkata pula, "Mayat ini jahat." Kata Nabi (saw), "Itu pasti." Maka bertanya Umar bin Khattab, "Apakah yang pasti, ya, Rasulullah?" Jawab Nabi, "Kamu katakan mayat itu baik, maka ia pasti masuk syurga. Kamu katakan pula mayat si Anu jahat, pasti pula ia masuk neraka. Kamu semua adalah para saksi Allah di bumi." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0705)

Apabila berita kematian Ust Asri Ibrahim ke udara, setiap hari di Radio IKIM terutamanya, kita mendengar pujian kepada sahsiah dan akhlak beliau tidak putus-putus. Ucapan takziah juga kedengaran tak henti-henti...

Itulah peribadi seorang pendakwah, yang berdakwah di jalan Allah dengan suaranya. Beliau merupakan pelopor kepada industri nasyid yang menyediakan alternatif kepada industri muzik.

Semalam semasa memandu, saya mendengar DJ Nik Hasnah memuji arwah dan mengatakan pihak Radio IKIM mengenali beliau sebagai seorang yang sentiasa tersenyum. Kesempatan itu juga diambil untuk menemubual salah seorang anggota kumpulan Rabbani. Kalau tidak silap saya Sdra Azadan dan beliau menceritakan bagaimana peristiwa itu terjadi.

Menurut beliau pada petang sebelum hari kejadian, Ust Asri telah memanggil semua ahli kumpulan untuk berkumpul. Ust Asri mengingatkan setiap ahli tentang tanggungjawab dakwah dan memperingati tentang amalan dan tanggungjawab masing-masing.

Azadan seterusnya menceritakan bahawa Ust Asri begitu berhemah dalam membuat teguran dan akan merasa begitu bersalah sekiranya orang yang ditegur terasa hati. Ust Asri juga adalah seorang yang tidak berkira tentang soal duit dan menjaga kebajikan setiap ahli.

Disepanjang temuramah itu, kadang-kadang suara Azadan jelas kedengaran dan kadang-kadang sunyi seketika... Tanpa disedari, airmata mengalir laju di pipi saya.

Itulah berakhirnya hayat seorang penggiat seni Islam, di usia yang begitu muda, 40 tahun. Pemergiannya ditangisi oleh ramai pencinta nasyid. Jenazahnya juga disembahyang dan diiringi oleh ramai orang.

Dari Aisyah pula katanya: "Telah bersabda Rasulullah (saw): "Tidak seorang muslimpun yang mati yang disolatkan oleh seratus orang muslimin dan mereka memohonkan ampun bagi si mayat dengan sungguh-sungguh, melainkan Allah akan mengampuni si mayat." (Hadis Sunan An Nasa'iy Jilid 2. Hadis Nombor 1961)

Semoga rohnya aman di sana.....

Friday, August 14, 2009

Sabar Itu Ketika Pukulan Pertama...


Dari Anas bin Malik r.a. dia mengatakan kepada perempuannya: "Tahukah engkau si Anu (seorang perempuan"?" Jawabnya: ''"Tahu!'' Kata Anas; "Sesungguhnya Nabi saw. bertemu dengan perempuan itu ketika dia sedang menangis dekat sebuah kubur. Lalu Nabi mengatakan kepadanya: "Bertakwalah kepada Allah dan sabarlah!" Perempuan itu menjawab: "Pergilah engkau, kerana engkau tidak merasakan cubaan saya ini!" Nabi meninggalkan perempuan itu dan meneruskan perjalanannya. Kemudian lalu dekat perempuan itu seorang laki-laki menanyakan: "Apakah yang diucapkan oleh Rasulullah kepada engkau?" Jawab perempuan: "Aku tidak mengetahui (bahawa beliau Rasulullah)." Kata laki-laki: "Sesungguhnya beliau itu Rasulullah saw." Maka datanglah perempuan tadi ke pintu rumah Nabi dan diperolehnya tidak ada pengawal. Perempuan itu berkata: "Ya Rasulullah! Saya tidak mengenal engkau!" Nabi bersabda: "Sesungguhnya kesabaran itu ketika pukulan pertama." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 5. Hadis Nombor 1902)

Kesabaran merupakan satu perkara yang mudah diucapkan tetapi begitu berat untuk dilaksanakan...

Setiap hari kita diuji; diuji dengan kerenah manusia lain di jalanraya, diuji ketika berbicara dengan rakan sekerja, diuji dengan gelagat orang bawahan, diuji dengan tingkah laku dan percakapan anak isteri, diuji dengan kesakitan, diuji dengan kematian saudara mara, dan bermacam-macam ujian lagi.

Sejauh mana kita dapat bersabar ketika kita diuji. Mengikut hadis di atas, kesabaran itu adalah pada tamparan yang pertama. Bukannya, setelah kita membalas kata nista kemudian baru terasa ingin bersabar... Itu bukan sabar namanya.

Banyak kali apabila kita diuji, kita tidak sabar! Setelah kita membuat tindakbalas yang tidak sepatutnya, baru kita 'realize' untuk mengambil jalan bersabar.

Sebenarnya, itu sudah terlewat! Anak-anak sudah terasa dengan jawapan sinis kita. Pemandu Cina yang kurang ajar memotong kereta kita sudahpun mendapat habuan spontan kita. Jiran sebelah rumah sudah melihat mimik muka kita yang kurang manis...

Kita selalu sebut Allah bersama orang-orang yang sabar! Tetapi dari segi praktikalnya? Tiada, zero, kosong! Hanya mainan di bibir sahaja.

Tidak dinafikan begitu payah untuk menerima hakikat bahawa begitu senang orang lain mengambil hak kita. Tetapi pernahkah kita terfikir, mungkin dalam keadaan tertentu, orang itu lebih berhak dari kita.

Saya teringat cerita seorang ayah bersama anak-anaknya menaiki keretapi. Anak-anak yang masih kecil bermain dan bergurau senda sehingga mengganggu orang lain yang berada di dalam keretapi tersebut. Ayahnya seolah-olah langsung tidak mempedulikannya. Seorang penumpang menanyakan si ayah apa yang berlaku? Si ayah menjawab, budak-budak itu baru kematian ibunya.

Perasaan marah pada mulanya bertukar menjadi kesian. Kesian melihat anak-anak yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa...

Dengan kedatangan Ramadhan yang semakin hampir, marilah kita ubah sikap kita. Kita cuba untuk menjadi seorang yang sabar. Sabar yang sebenar-benarnya, insyaAllah.

Thursday, August 13, 2009

Influenza A H1N1 (Selsema Babi)


Ya Allah, Selamatlah negara kami dari wabak selsema babi yang melanda! Kita melihat angka kematian saban hari meningkat. Semalam 44 orang, jumlah keseluruhan yang meninggal tetapi hari ini ditambah 7 orang lagi, menjadikan 51 orang. Kematian dunia akibat wabak ini sehingga kini hampir 1,000 orang. Kalau dilihat secara peratus, Malaysia menyumbang 5% kematian penyakit selsema babi dunia.

Saya ingin memanggil wabak ini sebagai bala Allah kepada kita yang semakin lalai kepada suruhan dan laranganNya. Dan saya nampak trend sekarang ini makin merebak dan tidak nampak seperti akan reda dalam masa terdekat.

Apa yang mampu kita lakukan sekarang? Langkah pertama ialah berdoa. Berdoa memohon kepada Allah supaya menjauhkan kita dari wabak penyakit ini atau seumpamanya. Permohonan yang tulus ikhlas, insyaAllah akan dimakbulkan. Walau macamanapun, doa kita itu seeloknya dirangkumi semua untuk orang lain juga.

Seterusnya, kita hendaklah menjauhkan diri dari tempat keramaian. Tidak perlu untuk kita berada di shopping kompleks atau di taman-taman bunga. Cuba berada di rumah pada setiap masa dan hanya keluar bila perlu.

Anak-anak pula hendaklah terus mandi sebaik saja pulang dari sekolah. Jika mereka batuk, selsema atau demam, jangan biarkan mereka ke sekolah. Beristirehat di rumah sehingga sembuh adalah lebih baik.

Jangan biarkan mereka bermain di luar rumah. Dengan kata lain, aktiviti luar rumah perlu dikurangkan! Setelah mereka kembali ke dalam rumah, pastikan tangan mereka dibersihkan dengan air atau sabun.

"When We decide to destroy a population, We (first) send a definite order to those among them who are given the good things of this life and yet transgress; so that the word is proved true against them: then We destroy them utterly." (Al-Isra'; 16)

Wednesday, August 12, 2009

Usrah


Perkataan Usrah, saya rasa sudah tidak asing lagi. Ada yang suka berusrah dan tidak kurang juga yang anti usrah. Usrah merupakan satu wadah yang digunakan untuk saling ingat memperingati diantara satu sama lain. Ia juga satu perjumpaan berkala yang memungkinkan hubungan terjalin lebih mesra. Perasaan ukhuwwah akan timbul; picit tangan kanan, tangan kiri terasa sakit dan picit tangan kiri, tangan kanan terasa sakit.

Suatu masa dulu, pihak pentadbir universiti memandang serong pelajar-pelajar yang mengikuti usrah. Saya teringat perbualan dengan seorang kawan semasa di Sofitel minggu lepas. Kawan saya berkata, "Gejala kelahiran anak di kampus adalah disebabkan kita menekan golongan Islam dan membiarkan puak gejala sosial bermaharajalela". Itulah sunnatullah...

Budaya usrah pernah berlaku di peringkat tertinggi UTM, iaitu dipanggil Usrah Senat. Tetapi sekarang ini, rasanya sudah tiada lagi.

Radio IKIM sekarang ini mempunyai usrah. Pengarah Radio IKIM sendiri, Ir Ahmad Jais menjadi naqib bagi usrah mereka. Kalau tidak silap saya, ia disiarkan pada petang Rabu.

Berusrah ini menjadi lebih baik dan menarik apabila setiap ahli usrah berperanan. Sekiranya, kita ada tugasan lain dan tidak mampu hadir usrah, maklumlah setidak-tidaknya kepada setiausaha atau kepada naqib sendiri. Tidaklah kita tertanya-tanya kenapa si polan bin si polan tiada. Satu sms atau satu panggilan telefon sudah mencukupi...

Saya juga teringat cerita seorang ustaz yang takut kepada naqibnya untuk menghadiri usrah kerana terpaksa menghafaz ayat-ayat Al-Quran tetapi digagahi juga kerana naqibnya selalu menyediakan juadah yang sedap apabila selesai berusrah.

Pendekata, usrah adalah ruang berinteraksi secara terbuka mengenai apa jua persoalan dan masalah yang timbul. Setiap topik dikupas dan dijelaskan secara terperinci supaya semua ahli faham dan bersedia untuk mengamalkannya.

Selamat Berusrah...

Friday, August 7, 2009

Why Malay Intellectuals Are Not Speaking Out Loud


Itulah tajuk keratan akhbar yang terpampang di dinding bilikku. Ia ditulis oleh Joceline Tan dalam ruangan "Opinion", New Sunday Times bertarikh 24 Mac, 1996. Artikel ini mencuit hatiku, sebab itulah ia begitu lama tersemat di situ...

Isu yang dibincangkan banyak berkisar kepada isu-isu keintelektualan. Antara yang ditulis ialah mengenai susahnya untuk mendapatkan 'crowd' untuk mendengar atau membincangkan sesuatu isu di universiti kecuali jika ada menteri atau timbalan menteri yang hadir.

Begitu juga dari aspek media, "Intellectual events did not interest the media unless they came attached with a political big-name". Itu kita lihat dari perspektif pegawai, pensyarah universiti dan pihak media.

Dari aspek pelajar pula, biarlah sesiapapun datang, mereka tidak mengambil kisah. Itu yang kadang-kadang, apabila Universiti menjemput menteri atau Perdana Menteri, Pengetua Kolej yang mendapat bahana. Setiap kolej diarah membawa 300 orang pelajar!

Bukan senang untuk memaksa pelajar kalau tidak ada habuan yang setimpal diberikan... Budak tahun 1, bolehlah kita cucuk hidung dan paksa rela tetapi bagi pelajar kanan, jauh panggang dari api! Tak ingin mereka datangnya...

Profesor tidak lagi menjadi 'role model' kepada pelajar! Mungkin tokoh korporat, ahli politik, malah artis sudah mengambil tempat di hati mereka. Kalau tidak, mana mungkin apabila adanya Akademi Fantasia, warung-warung mamak berskrin besar di sekitar Taman U, penuh sesak...

Isu-isu akademik seperti bagaimana untuk menghindari wabak H1N1, atau kemelut ekonomi global dan mampukah syariah Islam mengatasinya adalah kurang mendapat perhatian dan liputan. Isu Akhil Hay bercerai atau YB Ahli Parlimen yang mabuk dan meraba pelayan bar lebih sensasi dan dimanfaat sebaik mungkin untuk melariskan jualan!

Para intelektual atau cendikiawan sudah tidak dirujuk lagi... Ramai yang pasif berbanding zaman sebelum dan selepas merdeka dulu. Dengan kata lain, ramai yang cuba menjaga periuk nasi berbanding menegak dan mempertahankan satu-satu isu.

Lihat saja, isu Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris. Di UTM, para pensyarah baru sibuk membahas isu ini setelah kerajaan bersedia untuk menghapuskannya pada tahun 2012. Sebelum ini, semua senyap dan sunyi... Betullah kata Prof Abu Bakar Hamid, "People watch their step and words because they don't want to be left out of promotions".

Satu lagi masalah para intelektual ialah apabila mereka mengkritik dari luar, mereka dikatakan bersekongkol dengan pembangkang. Dan kritikan mereka dipandang sepi walaupun ianya sangat baik! Bahkan Allahyarham Rustam A. Sani pernah berkata, "It takes a lot of courage to hold views opposed to the establishment. It's a very lonely feeling." 'Yes indeed'.

Kita lihat bagaimana Tengku Razaleigh Hamzah dulu semasa beliau mempunyai kedudukan dan kuasa. Masyarakat patuh dan mendengar setiap patah perkataan yang dituturkan. Tetapi bila dia sudah tiada kuasa, tiada siapa lagi mendengarnya!

Media juga mungkin boleh dipersalahkan apabila para intelektual tidak bersuara. Kadang-kadang penulisan mereka tidak disiarkan....

Walau apapun, memang susah untuk berprinsip dengan slogan "Nyatakanlah kebenaran walaupun ia pahit".

Sunday, August 2, 2009

Adik Shafiq Meninggal Dunia Yang Fana Ini...


Tanggal 31 Julai, jam 12 tengahari, semasa aku dalam perjalanan ke SRIH untuk mengambil anak-anak pulang dari sekolah, aku mendapat sms menyatakan adik Shafiq bin Mohd Hisham bin Jaafar telah kembali ke rahmatullah, jam 10 pagi.

Seperti biasa sebagai S/U kepada usrah kami, aku 'forward'kan mesej tersebut kepada setiap ahli.

Setibanya di SRIH, aku memaklumkan kepada anak-anak berita tersebut. Adik Shafiq adalah sebaya anak ke empatku, Wan Ahmad Luqman yang berumur 13 tahun.

Sekitar jam 3.50 petang, aku bersama 'Ammar dan Syakir menumpang kereta PM Dr Mat Hussin bersama anak bongsunya, Salman ke Masjid Taman Putri, Kulai bagi mengerjakan solat jenazah. Apabila tiba di masjid, ramai rakan dan taulan akhi Hisham menunggu kedatangan van jenazah dari Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (HSAJB).

Setelah selesai mendirikan solat tahiyyatul masjid, vanpun sampai, lebih kurang jam 4.30 petang. Aku tumpang sama untuk mengangkat jenazah ke dalam masjid.

Kami semua mendirikan solat 'Asar dan disusuli dengan solat jenazah. Aku agak bilangan yang mendirikan solat jenazah kalau tak seratus lebih mungkin kurang sikit dari seratus orang.

Selesai solat jenazah, adik Shafiq dibawa ke tanah perkuburan dan disemadikan.

Adik Shafiq mengidap penyakit 'brain tumor'. Aku dan isteri sempat melawatnya pada 16 Julai di HSAJB. Tetapi masa itu, adik Shafiq dalam keadaan 'coma'. Beberapa hari kemudian, adik Shafiq sudah sedar dan menjalani 'chemotherapy'.

Sungguhpun demikian, Allah lebih menyayangi adik Shafiq dan beliau pergi di usia yang begitu muda. Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepada Allah kita akan dikembalikan.

Ya Allah tempatkanlah roh adik Shafiq bersama para solehin dan berikanlah ketabahan kepada sahabatku, akhi Hisham sekeluarga dalam menempuh ujianMu ini. Berkatilah kehidupan mereka dan gantikan kepada mereka dengan gantian yang lebih baik! Amin Ya Rabbal 'Alamin.