Friday, August 14, 2009

Sabar Itu Ketika Pukulan Pertama...


Dari Anas bin Malik r.a. dia mengatakan kepada perempuannya: "Tahukah engkau si Anu (seorang perempuan"?" Jawabnya: ''"Tahu!'' Kata Anas; "Sesungguhnya Nabi saw. bertemu dengan perempuan itu ketika dia sedang menangis dekat sebuah kubur. Lalu Nabi mengatakan kepadanya: "Bertakwalah kepada Allah dan sabarlah!" Perempuan itu menjawab: "Pergilah engkau, kerana engkau tidak merasakan cubaan saya ini!" Nabi meninggalkan perempuan itu dan meneruskan perjalanannya. Kemudian lalu dekat perempuan itu seorang laki-laki menanyakan: "Apakah yang diucapkan oleh Rasulullah kepada engkau?" Jawab perempuan: "Aku tidak mengetahui (bahawa beliau Rasulullah)." Kata laki-laki: "Sesungguhnya beliau itu Rasulullah saw." Maka datanglah perempuan tadi ke pintu rumah Nabi dan diperolehnya tidak ada pengawal. Perempuan itu berkata: "Ya Rasulullah! Saya tidak mengenal engkau!" Nabi bersabda: "Sesungguhnya kesabaran itu ketika pukulan pertama." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 5. Hadis Nombor 1902)

Kesabaran merupakan satu perkara yang mudah diucapkan tetapi begitu berat untuk dilaksanakan...

Setiap hari kita diuji; diuji dengan kerenah manusia lain di jalanraya, diuji ketika berbicara dengan rakan sekerja, diuji dengan gelagat orang bawahan, diuji dengan tingkah laku dan percakapan anak isteri, diuji dengan kesakitan, diuji dengan kematian saudara mara, dan bermacam-macam ujian lagi.

Sejauh mana kita dapat bersabar ketika kita diuji. Mengikut hadis di atas, kesabaran itu adalah pada tamparan yang pertama. Bukannya, setelah kita membalas kata nista kemudian baru terasa ingin bersabar... Itu bukan sabar namanya.

Banyak kali apabila kita diuji, kita tidak sabar! Setelah kita membuat tindakbalas yang tidak sepatutnya, baru kita 'realize' untuk mengambil jalan bersabar.

Sebenarnya, itu sudah terlewat! Anak-anak sudah terasa dengan jawapan sinis kita. Pemandu Cina yang kurang ajar memotong kereta kita sudahpun mendapat habuan spontan kita. Jiran sebelah rumah sudah melihat mimik muka kita yang kurang manis...

Kita selalu sebut Allah bersama orang-orang yang sabar! Tetapi dari segi praktikalnya? Tiada, zero, kosong! Hanya mainan di bibir sahaja.

Tidak dinafikan begitu payah untuk menerima hakikat bahawa begitu senang orang lain mengambil hak kita. Tetapi pernahkah kita terfikir, mungkin dalam keadaan tertentu, orang itu lebih berhak dari kita.

Saya teringat cerita seorang ayah bersama anak-anaknya menaiki keretapi. Anak-anak yang masih kecil bermain dan bergurau senda sehingga mengganggu orang lain yang berada di dalam keretapi tersebut. Ayahnya seolah-olah langsung tidak mempedulikannya. Seorang penumpang menanyakan si ayah apa yang berlaku? Si ayah menjawab, budak-budak itu baru kematian ibunya.

Perasaan marah pada mulanya bertukar menjadi kesian. Kesian melihat anak-anak yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa...

Dengan kedatangan Ramadhan yang semakin hampir, marilah kita ubah sikap kita. Kita cuba untuk menjadi seorang yang sabar. Sabar yang sebenar-benarnya, insyaAllah.

1 comment:

  1. Betul, sangat setuju.

    Ujian tu tarbiyah dari Yang Maha Esa, menguji iman yang kita miliki..

    Dalam Allah menurunkan satu ujian buat hambaNya, Dia turunkan juga sifat sbar tu..Ujian dalam apa bentuk sekalipun, nak tak nak, kita kena terima, terpaksa atau rela kerana itu qada' dan qadar Allah buat kita yang xdapat kita elak. Tapi sabar yang Allah turunkan bersama ujian tu adalah pilihan kita, either kita nak ambilnya atau memilih sebaliknya yakni putus asa dengan rahmatNya or anything..

    Sebagai contoh, kematian orang tersayang atau kegagalan dalam sesuatu perkara setelah sehabis daya berusaha menjadi takdir Ilahi buat kita, tapi sabar itu terletak atas kita untuk memilihnya atau tidak dalam kita berdepan ujian tersebut. Dalam erti kata sabar yang sebenar-benar sabar, sabar pada pukulan pertama dan bukan setelah habis air mata, habis sumpah seranah atas kekecewaan dan lain-lain.

    Realitinya, sangat-sangat sukar nak diaplikasi tapi andai benar iman yang kita imani maka sabar itu bukan sesuatu yang mustahil malah sangat manis, kerana ujian itu tarbiyah dan tarbiyah yang terbaik adalah tarbiyah terus dari Yang Maha Pencipta..

    ~Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan..Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan~Al-Insyirah:5&.6

    ReplyDelete