Sunday, August 2, 2009

Adik Shafiq Meninggal Dunia Yang Fana Ini...


Tanggal 31 Julai, jam 12 tengahari, semasa aku dalam perjalanan ke SRIH untuk mengambil anak-anak pulang dari sekolah, aku mendapat sms menyatakan adik Shafiq bin Mohd Hisham bin Jaafar telah kembali ke rahmatullah, jam 10 pagi.

Seperti biasa sebagai S/U kepada usrah kami, aku 'forward'kan mesej tersebut kepada setiap ahli.

Setibanya di SRIH, aku memaklumkan kepada anak-anak berita tersebut. Adik Shafiq adalah sebaya anak ke empatku, Wan Ahmad Luqman yang berumur 13 tahun.

Sekitar jam 3.50 petang, aku bersama 'Ammar dan Syakir menumpang kereta PM Dr Mat Hussin bersama anak bongsunya, Salman ke Masjid Taman Putri, Kulai bagi mengerjakan solat jenazah. Apabila tiba di masjid, ramai rakan dan taulan akhi Hisham menunggu kedatangan van jenazah dari Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (HSAJB).

Setelah selesai mendirikan solat tahiyyatul masjid, vanpun sampai, lebih kurang jam 4.30 petang. Aku tumpang sama untuk mengangkat jenazah ke dalam masjid.

Kami semua mendirikan solat 'Asar dan disusuli dengan solat jenazah. Aku agak bilangan yang mendirikan solat jenazah kalau tak seratus lebih mungkin kurang sikit dari seratus orang.

Selesai solat jenazah, adik Shafiq dibawa ke tanah perkuburan dan disemadikan.

Adik Shafiq mengidap penyakit 'brain tumor'. Aku dan isteri sempat melawatnya pada 16 Julai di HSAJB. Tetapi masa itu, adik Shafiq dalam keadaan 'coma'. Beberapa hari kemudian, adik Shafiq sudah sedar dan menjalani 'chemotherapy'.

Sungguhpun demikian, Allah lebih menyayangi adik Shafiq dan beliau pergi di usia yang begitu muda. Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepada Allah kita akan dikembalikan.

Ya Allah tempatkanlah roh adik Shafiq bersama para solehin dan berikanlah ketabahan kepada sahabatku, akhi Hisham sekeluarga dalam menempuh ujianMu ini. Berkatilah kehidupan mereka dan gantikan kepada mereka dengan gantian yang lebih baik! Amin Ya Rabbal 'Alamin.

No comments:

Post a Comment