Wednesday, December 12, 2012

Liku-Liku Kehidupan 3

Aku tak ingat bila rumahku mendapat bekalan elektrik. Tetapi yang aku pasti ingat ialah setiap pagi apabila aku bangun dari tidur, aku akan menyapu bersih jelaga hitam yang terlekat di dalam lubang hidungku. Jelaga ini terhasil dari asap pelita yang dipasang saban malam sebelum kita melelapkan mata.

Aku memasuki sekolah rendah pada tahun 1971. Aku bersama sepupuku, Rosedah Mat Salleh belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Inggeris Kg. Laut. Pada awalnya, aku menumpang basikal abang Leh (yang sepatutnya aku panggil Ayah Leh) yang menghantar anaknya, Rosedah. Arwah ayah Leh ialah suami makcik Fatimah, yakni adik ibuku.


Aku agak jarak rumahku ke sekolah mungkin sejauh 4 atau 5 kilometer.

Aku belajar di sebelah petang. Sebelah pagi, bangunan sekolah yang sama digunakan oleh Sekolah Rendah Kebangsaan Kg. Laut. Pelikkan? Sekolah dan bangunan yang sama mempunyai nama yang berlainan pada waktu yang berlainan.

Di Palekbangpun ada sekolah rendah tetapi hanya Sekolah Rendah Kebangsaan Palekbang. Aku rasa ramai penduduk Palekbang menghantar anak-anak mereka ke sekolah inggeris di Kg. Laut.

Walaupun namanya sekolah inggeris tetapi bahasa pengantarnya telah dimelayukan sejak setahun sebelum aku masuk. Jadi aku hanya belajar bahasa inggeris (BI) sahaja dalam BI. Subjek yang lain, semua dalam bahasa melayu (BM).


Sepanjang 6 tahun di SRJK(I) Kg. Laut, banyak sekali pengalaman yang aku timba.

Aku dikerumuni oleh ramai kawan-kawan. Aku adalah antara budak yang pandai. Di dalam kelasku, aku selalu berlumba dengan seorang murid perempuan, Wan Noralina Wan Abdullah. Kalau dia nombor 1, aku akan mendapat nombor 2 dan begitulah sebaliknya. Tetapi lebih banyak dia di depan dan aku di belakangnya...

Kehidupan sebagai pelajar sekolah rendah sungguh menyeronokkan. Di waktu pagi, kita pergi mengaji al-Quran di rumah Mek. Selesai mengaji, kita bermain 'dechok', 'to jail', 'gelap cerah', bolasepak, dan lain-lain lagi. Semua permainan memerlukan kudrat untuk kita berlari. Badanpun sihat dan otakpun cergas!


Selesai bermain, kita balik ke rumah untuk mandi dan bersiap-siap untuk ke sekolah.

Sebelum menapak ke sekolah, semua cucu dan cicit Mek akan datang ke rumahnya untuk mendapatkan duit belanja sekolah. Begitu mulia hati Mek membekalkan duit belanja sekolah kepada semua cucu cicitnya. Semoga roh arwah Mek ditempatkan bersama-sama para solehin.

Berbekalkan duit 15 sen itulah kami ke sekolah.

Kami berjalan melalui jalan keretapi untuk mengelakkan kasut putih bertukar menjadi warna kuning jika melalui jalan biasa. Jalan dari Palekbang ke Kg. Laut masih belum berturap. Jalan berwarna merah kuning itu akan berdebu apabila panas terik dan bechak berselut apabila hujan. Oleh itu, berjalan di atas landasan keretapi adalah pilihan terbaik walaupun ia agak panas.

Apabila berjalan melalui landasan keretapi, kita kena peka dengan 'jerangkap samar'. Kadang-kadang najis mereka yang membuang air besar dari keretapi terdapat pada kayu selipar landasan.

Perjalanan dari rumah ke sekolah mengambil masa selama 40 minit.


Masa awal-awal dulu, kita menggunakan beg berbentuk kotak yang mana ia mempunyai kunci. Beg ini memang 'favourite' pada suatu masa dulu. Tetapi beg yang paling 'ideal' untuk berjalan di atas landasan keretapi ialah beg bertali. Talinya disangkut ke dahi manakala begnya dibiarkan berada di atas belakang. Dengan cara ini, kita tidak terasa berat buku yang dibawa.

Rumahku agak daif. Bila tiba waktu hujan, banyaklah besen-besen yang bertaburan untuk menadah air hujan yang tiris. Atap rumahku ialah atap 'bata yang nipis'. Kadang-kadang apabila terkena batu dari lastik sesiapa yang melastik burung dari luar rumah, berderai pecah atap tersebut.


Kemudahanpun agak kurang. Kami hanya mempunyai perigi yang perlu digunakan timba. Sesetengah perigi mempunyai pam untuk menaikkan air. Maksud aku bukan pam letrik tetapi pam tangan yang membantu membawa air keluar dari telaga.

Tandas? Tandas bagi kami ada di mana-mana. Cuma yang perlu ada ialah cangkul apabila kita betul-betul ingin membuang air besar.

Bila ingin membuang air besar di waktu malam, otak selalu membuat pertimbangan persoalan diantara takut hantu dan lubang najis ditimbus dengan baik supaya apabila orang datang ke balaisah untuk solat Subuh, mereka tidak terhidu bau yang kurang menyenangkan. Kalau pagi sudah cerah, ayam-ayam yang dilepaskan dari reban akan menyapu bersih najis-najis yang ada.


Arwah ibu yang aku panggil Cik memelihara banyak sekali ayam, itik, dan serati. Cik memelihara ternakan di bawah rumahnya. Pada waktu siang dilepaskan ternakan untuk merayau-rayau ke mana-mana saja. Tetapi bila malam, mereka berada di dalam reban di bawah rumah.

Peliharaan ayam Cik pelbagai. Ada ayam biasa, ada ayam jepun, ada ayam belanda, ada ayam api, dan ada ayam ketek atau ayam serama.

Apa yang bagus bila kita ada ternakan ayam ialah makanan kita tidak akan membazir. Nasi basi pun boleh diselamatkan dengan memberi makan kepada haiwan.


Semasa aku di darjah 3, aku memenangi hadiah pertama dalam pertandingan karangan bahasa inggeris di peringkat sekolah. Aku amat terkejut apabila namaku dipanggil ke depan semasa perhimpunan. Aku masih ingat sebuah buku tebal berbahasa inggeris telah ku terima sebagai hadiah.

Acara sukan aku kalah. Aku tak tahu kenapa aku tak dapat ke depan dalam acara sukan di sekolah. Aku selalu bermain bola di kampung. Kadang-kadang mewakili kampungku melawan kampung yang berdekatan.

Aku pernah memasuki ke dalam skuad pemilihan pemain bolasepak sekolah tetapi kecundang. Begitu juga olahraga. Aku kurang bernasib baik dalam acara sukan. Seingat aku semuanya kalah!


Aku masih ingat di suatu hari, aku ditugaskan untuk mencari dan mengingati lagu inggeris dan perlu mendendangkannya di waktu perhimpunan pada minggu depan.

Aku pulang ke rumah seraya menangis kerana aku tidak mengetahui dan mengingati apa-apa lagu inggeris.

Arwah ibuku menyuruh aku ke rumah makcik kerana anaknya, Muhammad Nasir mempunyai banyak piring hitam lagu-lagu inggeris. Muhammad Nasir memasang lagu kumpulan Bee Gees. Aku cuba mencari lagu yang senikatanya mudah untuk dihafal. Puasku cuba untuk menghafal tetapi gagal.


Aku pulang ke rumah sambil menangis kerana takut dipanggil ke depan semasa perhimpunan nanti. Sekejap lagi aku akan ke sekolah.

Mak Su, adik Cik datang ke rumah dan mengajarku untuk membaca ayat Kursi supaya terlepas dari kena menyanyi di khalayak ramai. Aku cuba menghafal ayat Kursi setakat yang mampu. Cuba bandingkan dengan anak-anak kita. Anak-anak kita sudah mengenal ayat Kursi sewaktu di Tadika lagi.

Alhamdulillah dengan berkat bacaan ayat Kursi, aku terlepas dari terpaksa menyanyi lagu inggeris yang belum tentu aku ingat...


Pada suatu hari, semasa aku di darjah 4, ustaz memaklumkan untuk datang ke rumahku sebaik tamat sekolah. Aku akur dengan permintaan ustaz. Pada petang itu, aku tidak berjalan kaki balik ke rumah seperti biasa tetapi membonceng motosikal Honda C70 bersama ustaz.

Apabila tiba di rumah, aku berlari ke atas memaklumkan kepada ibu bahawa ustaz datang. Ibu menjemput ustaz untuk naik ke rumah tetapi ustaz hanya ingin duduk di jemuran. Ustaz memaklumkan kepada ibu bahawa aku dipilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan pidato di peringkat zon Daerah Tumpat.

Ustaz ingin meminta izin dari ibu untuk membawa aku tinggal di rumahnya di Kota Bharu selama seminggu bagi menghafal skrip pidatoku. Tajuk pidatoku ialah "Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh".

3 comments:

  1. masyaallah, you have such a vivid memory. saya cuma ingat bits and pieces of childhood memories, esp zaman mandi air perigi, tumpang tengok tv rumah orang,tolong abah di ladang sawit, how i survived my boarding school years. i guess those things that made our characters.

    what a coincidence, masa primary school saya selalu bersaing dengan my classmate yang namanya norlina md zin, while yours was noralina! at one time i got so jealous with her because she was using the word "gejala" in an essay writing competition. Fierce competition.

    Azizah

    ReplyDelete
  2. Ha..ha..ha. Itu sebenarnya nak beritahu pada anak-anak bahawa we at least (their parents) are not coming from well off family.

    Satu lagi supaya mereka sedar bahawa dari segi ilmu Islam mereka adalah jauh ke depan berbanding dengan generasi kita. Cuma kita minta mereka menghayati ilmu-ilmu itu.

    Dan kita amat berharap merekalah yang akan membantu kita nanti (not in this world but in the hereafter). Setakat di dunia ini, insyaAllah kita dah boleh 'survive' tapi di sana... dengan hafazan merekalah kita mengharapkan syafaat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah, abah! pastinya menjadi pemangkin semangat untuk kami terus menjaga hafazan & be the hamalatul quran...

      Delete