SRJK(I) Kg. Laut merupakan sekolah yang disegani juga di kalangan sekolah-sekolah rendah di daerah Tumpat. Sekolah kami sentiasa terkedepan dalam bidang akademik mahupun ko-kurikulum.
Dalam pertandingan bolasepak, kita boleh dikatakan agak kuat dan setiap tahun ada saja pemain-pemain sekolah tersenarai untuk mewakili zon Tumpat. Beberapa orang pemain akan dipilih dari setiap sekolah dan mereka merupakan senarai pemain terbaik dan akan berlawan antara daerah-daerah di Kelantan.
Sungguhpun aku sangat meminati permainan bolasepak dan telah mencuba beberapa kali untuk mewakili sekolah tetapi ternyata bidang sukan bukanlah kelebihanku.
Aku boleh dikatakan menonjol di bidang akademik. Itupun bukanlah menonjol sangat, cuma menonjol dari yang lain-lain yang kurang menonjol.
Pada zamanku, UPSR dinilai pada darjah 5 dan ianya dikenali sebagai Peperiksaan Penilaian Darjah 5. Aku sekadar mendapat 3A, 1B dan 1C. Aku mendapat C dalam Bahasa Inggeris. Aku tak ingat samaada ada sesiapa yang mendapat 3A dan 2B tetapi yang pasti tiada yang mendapat 4A atau 5A.
Aku begitu teruja untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa. Bangunan batanya yang tidak di'plaster' begitu menarik hatiku dan aku jatuh cinta padanya. Sungguh cantik sekali bangunannya pada pandangan mataku pada masa itu.
Walau bagaimanapun, aku hanya berjaya setakat menduduki peperiksaan IQ di MRSM Pengkalan Chepa. Apabila keluar keputusan, aku hanya mendapat markah 109 dan 'cut off point' untuk memasuki sekolah tersebut ialah 115 markah. Sungguh sedih rasanya.
Semasa di sekolah rendah, disamping kawan-kawan yang lain, aku mempunyai seorang kawan karib. Namanya Mohd Salleh bin Muhammad.
Kami selalu belajar bersama-sama apa yang diajar oleh guru di sekolah. Bila cuti sekolah pula, jika ada program di Masjid Kg. Laut, kami selalu menghadirinya. Banyak ilmu agama yang ditimba di sini.
Aku selalu tidur di rumah Salleh dan diapun selalu datang tidur di rumahku.
Aku mula menjadi pengawas sekolah agak awal, rasanya mungkin semasa di Darjah 3. Kemudian aku menjadi Penolong Ketua Pengawas semasa di Darjah 5 dan menjawat jawatan Ketua Pengawas setahun kemudian.
Semasa aku menjadi Ketua Pengawas, penolongku ialah Nik Rumzi bin Nik Idris. Beliau sekarang sudah bergelar Prof. Madya Dr Nik Rumzi di Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UTM.
Aku dan kawan-kawan sepermainan di Palekbang, iaitu Maarof, Othman, Usop, Rozman, dan Azhan bersunat atau berkhatan pada tahun 1976. Othman dan Usop adalah adik beradik dan Azhan atau kami panggil Pak Han adalah bapa saudara mereka. Othman dan Usop adalah dua pupuku kerana ibu mereka adalah sepupu ibuku. Maarof dan Othman adalah sebaya denganku manakala Rozman setahun lebih muda. Usop dan Pak Han sudah pasti lebih 'senior' samaada setahun atau dua tahun dari kami.
Pada hari yang kami ingin bersunat, kami kelima-lima menaiki bot untuk ke Hospital Besar Kota Bharu (HBKB). Apabila bot tiba di pengkalan bot Kota Bharu, kamu meneruskan lagi perjalanan dengan menaiki beca.
Di hospital agak ramai kanak-kanak yang menunggu untuk disunatkan. Kami masing-masing akur menunggu giliran untuk masuk ke 'operation theatre'. Setelah selesai berkhatan, kami kembali menaiki beca untuk ke pengkalan bot.
Kita tidak pulang bersama-sama kerana masing-masing takuti ubat bius akan habis dan sakit mula terasa... Siapa siap dulu, dia akan mula kembali ke rumah Othman atau Usop iaitu tempat kami berkumpul. Kami tidak ditemani oleh sesiapa semasa proses berkhatan, baik ibubapa mahupun adik beradik. Hanya kami berlima.
Cuba bayangkan betapa bergegarnya diri setelah berada di atas beca dan juga di dalam bot. Kami sedaya upaya mencuba untuk menahan sakit. Kayuhan beca yang berantakan dan enjin bot yang sentiasa bergetar kadang-kadang menyebabkan punggung kami terangkat.
Di rumah Man kami begitu berselera memakan nasi air dengan ikan kering. Selama seminggu kami tinggal bersama dan sesekali ada juga kami balik ke rumah masing-masing untuk menemui kedua orang tua.
Pada hari yang ketujuh, kami semua pergi mandi di sungai dengan tujuan supaya balutan akan basah dan mudah untuk dibuka balutan.
Alhamdulillah setelah berjam-jam kami di dalam Sungai Kelantan yang mana airnya cukup dingin, dan bila aku naik ke darat, aku dapati balutanku sudah tiada...
No comments:
Post a Comment