Saturday, December 8, 2012

Liku-Liku Kehidupan 2

Arwah ibuku mempunyai 3 orang adik beradik yang dilahirkan hidup. Beliau adalah yang pertama, adiknya yang kedua bernama Fatimah dan yang bongsu bernama Mariam. Semasa aku masih dibangku sekolah, arwah ibu pernah menzahirkan keterkilanan beliau kerana tidak dihantar ke sekolah oleh kedua orang tuanya sepertimana adik-adiknya. Walau bagaimanapun beliau pandai menulis jawi hasil pembelajaran dari arwah ayahnya.

Tidak banyak yang aku tahu tentang arwah ayahku. Aku tidak pernah mengenali kedua orang tuanya. Yang aku tahu ialah bapanya bernama Wan Mohd Salleh dan ibunya bernama Che Lebar.


Arwah ayah pernah tinggal di Golok, Thailand dan saudara maranya agak ramai di selatan Thai seperti di Narathiwat dan sebagainya.

Ibuku adalah isteri yang ke 4. Dari apa yang aku tahu dari ibu, arwah ayah berkahwin sebanyak 4 kali. Dari seorang isteri sebelumnya dari Pasir Mas mendapat seorang anak bernama Wan Mahmood, dari seorang isteri lagi dari Kutan, Pasir Pekan tiada anak, dan dari seorang isteri lagi dari Kota Bharu mendapat seorang anak yang bernama Wan Yaakob.

Wan Yaakob inilah yang meminang ibuku untuk dikahwinkan dengan ayahnya.


Aku tidak sempat mengenali abangku Wan Mahmood kerana beliau meninggal dunia lebih awal tetapi aku mengenali anaknya Wan Izani yang suatu masa dahulu bekerja dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu. Aku tak pasti samaada Wan Izani masih dengan MPKB. Isteri Wan Mahmood juga aku kenal yang mana aku memanggilnya dengan panggilan Kak Wan.

Abangku Wan Yaakob dikurniakan 11 orang anak, hasil perkahwinannya dengan Kak Wan Dah. Kak Wan Dah ada kaitan dengan bekas mufti Kelantan, Hj Nor. Akupun kurang pasti samaada Kak Wan Dah adalah anak atau cucu kepada Hj Nor.


Kesemua anak-anak Wan Yaakob (panggilanku kepadanya Abang Kob) adalah lebih tua dariku. Dengan kata lain, semua anak-anak saudaraku lebih tua dariku. Nama-nama mereka (tidak mengikut usia) ialah Wan Zain, Wan Ramli, Wan Mohamad, Wan Zakaria, Wan Idris, Wan Abdul Rahman, Wan Bunyamin, Wan Yusuf, Wan Hanafi, Wan Hasniyah dan Wan Mah. Akupun tak berapa pasti nama sebenar kedua-dua anak perempuannya. Yang aku tahu aku hanya memanggilnya Yah dan Mah sahaja.

Dengan bilangan anak saudara yang begitu ramai, aku tak pasti berapa ramai cucu-cucu saudaraku...

Semasa aku kecil, aku selalu juga ke rumah Abang Kob di Merbau, Kota Bharu dengan kakakku. Aku menaiki 'boat' dari Palekbang ke Kota Bharu dan kemudiannya menaiki beca ke rumahnya. Abang Kob meninggal dunia, aku kira mungkin sekitar tahun 1970an.


Wan Zain telah meninggal dunia... Semasa aku di Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Tumpat (1977), Wan Zain menjadi pengetua di Sekolah Menengah Datuk Biji Wangsa, yang terletak di bersebelahan.

Kak Wan Dah baru aje meninggal dunia, kalau tak silap aku pada 2 tahun yang lepas. Sekiranya aku pulang beraya di Kelantan, Kak Wan Dah tak pernah aku lupa untuk diziarahi. Beliau sangat bersih air mukanya kerana sentiasa berpuasa dan mengerjakan solat sunat.

Ayahku meninggal dunia kerana sakit tua pada tahun 1981. Aku masih ingat kerana pada masa itu aku sedang bersiap sedia untuk menghadapi SPM di Sekolah Menengah Teknik Terengganu. Semasa arwah ayah masih ada, selalu juga anak-anak abang Kob datang menziarahi beliau. Seingatku Wan Abdul Rahman dan isterinya Sah adalah yang paling kerap menziarahinya.


Semasa ayahku meninggal dunia, arwah Tan Sri Mohamad Yaakob, semasa itu beliau menjadi Menteri Besar Kelantan datang menziarahi arwah ayah bersama isterinya. Ayah arwah Tan Sri adalah saudara ayahku. Akupun tak begitu pasti tahap atau taraf tali persaudaraan mereka.

Ibuku meninggal dunia pada tahun 1995. Telah ku nukilkan bagaimana peristiwa itu berlaku dalam blogku sebelum ini.

Anak-anak arwah ayah dengan ibuku adalah seramai 7 orang. Aku adalah anak yang ke 6. Nama-nama mereka ialah Wan Ibrahim, Wan Mohd Ghazali, Wan Azizah, Wan Zaharah, Wan Hasnaniyah, aku dan adikku, Wan Noor Laili.

4 comments:

  1. Emmm..you have a very big family tree and i bet a very interesting family history too. Time to catch up with the rest of the clans.

    Semoga ruh-ruh ahli keluarga kita yang terdahulu dirahmati Allah sentiasa dan Allah memasukkan mereka ke dalam golongan orang-orang yang telah terampun dosa.

    p/s Seseorang dalam family kena ambil task menyusur susur galur keluarga.

    Azizah

    ReplyDelete
  2. Amin! Tak terdaya Zah... Tambah2 lagi dah menetap di Johor. Balik kampung setahun sekalipun susah.

    Tujuan bercerita tu supaya anak2 nanti tahu siapa saudara mara mereka. Dan harap2nya mereka akan menghubungkan kembali tali persaudaraan.

    Kekangan masa, tenaga & kewangan menyebabkan kita jarang balik kampung. Tak tahulah bila dah pencen nanti. Itupun kalau umur sampai pencen dan yang pasti by then ramai saudara mara yang dah tak ada....

    ReplyDelete
  3. wan hasniah & wan rahimah

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete