Walaupun RM25 tetapi itu sudah cukup banyak dan cukup besar jumlahnya bagiku.
Semasa aku di sekolah rendah dulu, arwah ibu menjual nasi berlauk, nasi himpit, dan nasi kerabu di jemuran rumahku. Hasil jualan itulah menjadi duit saraan keluarga kami hari ke hari. Aku masih ingat Kak Zah yang membantu arwah cik membungkus nasi sebelum beliau ke Kedai Emas Hj Wan Mohamad di Kota Bharu setiap hari.
Kak Zah bekerja di Kedai Emas sebagai jurujual. Arwah Hj Wan Mohamad dan isteri Hajjah Wan Yam adalah saudara kami.
Arwah Hj Wan Mohamad, subhanallah... tersangat pemurah orangnya. Beliau akan memberi beberapa ratus ringgit setiap bulan kepada arwah Cik untuk diagih-agihkan kepada mereka yang daif di Palekbang. Beliau juga menaja seorang setiap tahun untuk menunaikan fardhu Haji. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada roh arwah!
Semasa aku di sekolah rendah juga, arwah Hj Wan Mohamad dan Hajjah Wan Yam memberi 2 buah basikal kepada kami. Satu kepunyaanku dan satu lagi kepunyaan anak saudaraku, Wan Imanul Amin. Aku menggunakan basikal tersebut untuk ke sekolah.
Satu lagi yang tak dapat aku lupakan tentang arwah Hj Wan Mohamad ialah beliau telah memberi peluang kepadaku untuk memiliki sebentuk cincin zamrud dengan harga yang teramat murah. Kalau tak silap aku mungkin hanya 50 atau 60 ringgit sahaja. Cincin itu masih ada sehingga sekarang, cuma terpaksa dibesarkankan saiznya beberapa kali...
Arwah Cik selalu juga membawaku ke rumah mereka di Merbau dan kemudiannya sekitar tahun 1980an, mereka berpindah ke Taman Uda Murni, Jalan Pengkalan Chepa. Pada masa itu, itulah satu-satunya rumah besar di tepi jalan di Taman Uda Murni!
Aku juga masih ingat tentang buku rekod sekolah rendah. Seingatku, arwah ayahku hanya mampu menandatangani buku rekodku mungkin setakat aku darjah 3 saja. Selepas itu hanya arwah ibu yang 'sign'kan kerana arwah ayah sudah tua.
Aku pernah mengadu kepada abang Long tentang aku merasakan seperti tidak mendapat kasih sayang seorang ayah. Sebaliknya abangku mengatakan bahawa aku bernasib baik kerana ayahku agak bengis sewaktu beliau muda. Kalau disuruhnya abangku bercukur kepala sewaktu cuti sekolah maka wajib abangku menuruti kehendaknya. Walau abangku merayu kepada arwah ayah bahawa cuti hanya 2 minggu dan rambut tak sempat nak panjang. Tak berani abangku untuk mengengkarinya!
Seingatku, arwah ayah mempunyai 2 orang rakan karibnya, Pak Lah Uban dan Pak Mud Tukang. Dipanggil Pak Mud Tukang kerana kerjanya sebagai tukang rumah. Rumah buatan Pak Mud sangat cantik!
Semasa aku di Sekolah Menengah Tumpat (SMT), aku terpaksa menumpang motosikal Kawasaki Cikgu Wan Hazit Wan Mahmood. Beliau mengajar di Sekolah Menengah Tumpat. Perkhidmatan bas dari Tumpat ke Palekbang telah diberhentikan pada masa itu.
Ayah Cikgu Wan Hazit adalah abang kepada Wan Mohamad Kedai Emas.
Aku bersekolah petang. Setiap hari semasa menunggu Cikgu Wan Hazit untuk ke sekolah, aku akan makan laksam yang dijual di pasar Palekbang.
Masalah yang aku hadapi semasa bersekolah di SMT ialah bila ada latihan sukan di waktu pagi. Biasanya aku tak pergi kerana tiada kenderaan. Kadang-kadang aku gagahi juga mengayuh basikal sejauh 6 kilometer.
Di SMT, aku mempunyai beberapa kawan rapat iaitu Mazlan Abdul Rashid dari Chabang Empat Tok Mek Ngah, Zulkifli dari Terbak, Azidin dan Abdul Razak Abdul Halim dari Pasir Pekan.
Mazlan dan Zul rasanya menjadi guru dan Razak mewarisi kerja bapanya Abdul Halim menjadi caterer tersohor. Jidin tak pasti pula tetapi rasanya juga sebagai guru.
Semasa di SMT, aku selalu juga ke rumah Cikgu Lan dan begitu juga dia selalu ke rumahku. Aku memanggil kedua orang tuanya dengan panggilan mek dan ayah. Mek dan ayah bertani, menanam kacang panjang, timun dan sayur-sayuran. Hasilnya dijual di pasar Chabang Empat. Disamping itu, ada juga beberapa ekor lembu peliharaannya.
Aku mengenali semua adik beradik Lan, abangnya Mokhtar bekerja sebagai polis di Selangor, adiknya Juki, Nah, dan Man. Nah ialah satu-satunya anak perempuan. Semua mereka sudah puluhan tahun tidak ku temui!
Menginjak dewasa ini,ada beberapa figura yang saya temui semasa kecil kerap kali muncul dalam ingatan dan saya saya seringkali teringatkan budi baik mereka. Antaranya beberapa orang guru semasa saya di sekolah rendah yang mengajar tuisyen tanpa bayaran kepada calon-calon harapan sekolah. saya dan rakan akan berjalan kaki pergi dan balik pd waktu malam ke kuarters guru utk kelas tambahan tidak rasmi ini.
ReplyDeletejuga seorang jiran yang juga peneroka seperti bapa saya, tetapi selalu sahaja memerhatikan dan meraikan kejayaan akademik saya. Apabila saya diterima masih ke asrama felda, dia menghadiahkan saya pen PARKER. Pen PARKER bagi budak umur 12 tahun pada zaman itu umpama dapat android Samsung SIII pd zaman ini. Kami tidak ada hubungan saudara. Sangka saya pakcik itu hendak menjadikan saya menantu maka di'bela'nya saya sejak kecil.Tetapi tidak begitu..
pada saya, itulah ikhlas. membuat sesuatu tanpa mengharap balas. Semoga Allah merahmati mereka-mereka yang berhati mulia di kalangan kita.
zizah
Kita berdoa kepada mereka yang berjasa kepada kita. Kalau boleh kita infaqkan dengan niat pahala kepada mereka juga...
ReplyDeleteKalau kita dapat mengikuti jejak langkah mereka berbuat baik kepada insan yang lain, insyaAllah kita pula akan didoakan oleh mereka.
Dan saya pasti Ipin & Zah akan didoakan oleh mereka diatas kemurahan hati antum sekeluarga.
Yang penting kita kena sentiasa ikhlaskan hati kita...