Tuesday, December 25, 2012

Liku-Liku Kehidupan 6

Cabaran pengangkutan untuk ke SMT membuatkan aku terfikir untuk bertukar sekolah. Tiada lagi sekolah lain di daerah Tumpat yang mempunyai Rancangan Khas. Pilihan yang ada ialah untuk ke Kota Bharu.

Aku memilih untuk ke Sekolah Menengah Sultan Ismail Kota Bharu (SMSI).

SMSI hanya mempunyai Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3. Sesiapa yang ingin menyambung ke Tingkatan 4 hanya bertukar sekolah ke seberang padang aje iaitu ke Maktab Sultan Ismail (SIC). Berhampiran dengan SIC ialah Sekolah Zainab.


Tahun 1978 merupakan tahun aku mula meninggalkan kampung halaman.

Di SMSI aku tak dapat masuk ke kelas Rancangan Khas kerana bilangan pelajar yang terlalu ramai. Aku dah lupa samaada kelas aku adalah 2P1 atau 2P2. 'P' maksudnya Perdagangan.

Inilah pertama kali aku bersekolah hanya satu jantina. SMSI adalah sekolah semua lelaki. Pakaiannya ialah baju putih dan seluar pendek hijau.


Sekarang aku menumpang di rumah kakakku, Wan Azizah dan suaminya Hussin Ismail (Abang Sin) yang menyewa di Lorong Che Majid, Wakaf Siku, Kota Bharu.

Rumah ini sebenarnya kepunyaan kakak Abang Sin dan terletak bersebelahan dengan rumah ayah dan ibu Abang Sin.

Kak Zah dan Abang Sin bukanlah senang sangat kerana aku masih ingat Abang Sin pergi kerja menaiki basikal dan Kak Zah menggunakan perkhidmatan beca.


Aku menaiki basikal ke sekolah. Melalui jalan 'net bas', melalui padang Sekolah Menengah Naim Lil Banat, Jalan Raja Dewa dan terus keluar ke Jalan Telipot di mana SMSI berada. Aku ke sekolah bersama Nawi iaitu anak saudara Abang Sin yang sebaya denganku.

Sepanjang persekolahanku semasa di Tingkatan 2 dan 3 di SMSI, segala perbelanjaan ditanggung oleh Kak Zah. Yurannya, duit poketnya, pakaiannya, bukunya, makan minumnya semua Kak Zah yang tanggung.

Aku dan Kak Zah bukan janggal sangat. Semasa aku belum bersekolah, Kak Zah selalu membawa aku ke rumah Abang Long di Terengganu, menemani Abang Mad yang mengajar di Air Papan, Terengganu dan sebagainya. Kalau tidak, susah juga aku ingin menumpang di rumahnya.


Walau bagaimanapun, rumah ibu tetap menjadi idaman. Setiap petang Khamis, aku akan mengayuh basikal ke Tambatan Diraja dan menunggu bot untuk pulang ke Palekbang. Apabila bot tiba, aku bersama basikal menaiki bot. Tambang bot untukku dari Kota Bharu ke Palekbang ialah 20 sen. Masa aku bersekolah rendah dulu, tambangnya hanya 10 sen.

Bila tiba petang Sabtu, aku dengan perasaan malas dan hambar mengayuh pula ke pengkalan bot Palekbang untuk kembali ke Wakaf Siku. Sekarang ini, pengkalan bot Palekbang bersama-sama stesen keretapi Palekbang hanya menjadi kenangan. Mereka sudah 'ghairi maujud'!

Kehidupan aku di Wakaf Siku tidaklah membosankan sangat...


Aku akan ke surau dekat 'net bas' dari Maghrib hingga Isya'. Petang sebelum bermain bola di padang Sekolah Naim Lil Banat, aku akan makan rojak mee plus popia mentah atau popia goreng di kereta sorong yang selalu menunggu pelanggan berhampiran sekolah tersebut. Popia dan rojaknya adalah yang paling lazat yang pernah aku rasai.

Semasa aku menumpang Kak Zah dan Abang Sin, rasanya mereka telah dikurniai 2 orang anak iaitu Nor Zahabiah dan Nor Zarifah. Tak pasti pulak Nurul Iman, anak lelaki mereka sudah dilahirkan atau belum... Anak-anak mereka yang lain ialah Nurul Hafiz, Nurul Amin, dan yang terakhir ialah Muhammad Ihsan.

Sepanjang 2 tahun aku di SMSI, aku makin renggang dengan kawan-kawan sekampung. Episod meninggalkan kampung telah bermula...

No comments:

Post a Comment