Tuesday, March 13, 2012

Pak Haji Ibrahim Meninggal Dunia

Aku mendapat sms dari rakan seusrah akh Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa bapa mertua akh Hassan Hushin iaitu bapa ukti Zalilah (zaujah Hassan) baru meninggal dunia. Rasanya sms itu aku perolehi lebih kurang pukul 6 petang semalam.

Aku memaklumkan kepada isteri dan kami bersetuju untuk ke rumah Hassan selepas Maghrib. Sesampai aku di rumah Hassan, akh Tholudin, akh Shaharuddin, dan akh Roslan sudah ada di sana, di samping ahli keluarga mereka yang terdekat. Kami, masing-masing membaca ayat suci al-Quran buat hadiah kepada roh Pak Haji Ibrahim, yang mana jasadnya terbujur kaku berhampiran pintu masuk.


Apabila azan Isya' dilaungkan, kami bertolak ke surau untuk menunaikan solat fardhu Isya'. Di surau, bilal mengumumkan tentang berita kematian ini. Semua ahli jamaah dijemput untuk menghadiri majlis tahlil selepas solat Isya' di rumah Hassan. Beliau juga turut mengumumkan bahawa jenazah akan dimandikan di surau ini pada pukul 8.30 pagi esok dan akan dikebumikan di kawasan perkuburan Mahmoodiah Johor Bahru pada jam 11 pagi.

Aku sempat bersalaman dengan arwah Pak Haji Ibrahim semasa menghadiri usrah di rumah Hassan pada 2 minggu yang lalu. Itulah kali pertama dan terakhir, aku bersalam dengan beliau.


Pada pandanganku, Allah telah mengaturkan pemergian Pak Haji Ibrahim dengan baik sekali. Pada minggu lepas, akh Hassan bersama zaujah telah berangkat ke Mesir bagi meraikan anak tersayang, Nadia, konvokesyen dalam bidang perubatan. Nadia telah berjaya cemerlang dengan mendapat keputusan Jayyid Jiddan!

Balik dari Mesir, Hassan berangkat pula ke Indonesia bagi urusan anaknya yang seorang lagi.


Alhamdulillah, semasa Pak Haji Ibrahim menyahut seruan Illahi, akh Hassan dan isteri ada bersama.

Pagi tadi, aku, 'Ammar, Rasyid, dan Syakir telah ke surau Taman Mutiara Rini bagi menunaikan solat jenazah buat almarhum. Semoga roh almarhum Pak Haji Ibrahim aman di sana.... insyaAllah.

No comments:

Post a Comment