Sunday, March 11, 2012

Al-Qanaah - Tajuk Pengisian Katibah Pada 7 Mac

Pengisian Katibah pada 7 Mac lalu dibuat oleh Ustaz Mahmood Kassim. Tajuk yang diulas oleh ustaz ialah berkenaan al-Qanaah.

Apa itu al-Qanaah? Al-Qanaah bermaksud redha dan rela menerima apa saja pemberian dari Allah SWT.

Al-Qanaah mengandungi 5 perkara;
i) Menerima dengan rela akan apa yang ada.
ii) Memohon kepada Tuhan tambahan yang pantas dan berusaha.
iii) Menerima dengan sabar akan ketentuan Tuhan.
iv) Bertawakkal kepada Tuhan.
v) Tidak tertarik kepada tipu daya dunia.
(Tasauf Moden, HAMKA)


Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan ia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. (36) Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (37) (Surah Al-Hajj)

Apa yang diucapkan tidaklah sesenang untuk dicapai. Hati kita begitu penting berperanan supaya sifat qanaah ini dapat kita garap dengan tenang. Dengan kata lain, kita sekali-kali tidak meminta tetapi sekiranya ia diberikan kepada kita maka janganlah pula kita tolak!


Beberapa usaha atau cara bagi mencapai Qanaah adalah;

a) Memperkuatkan keimanan kepada Allah SWT.
b) Yakin bahawa rezeki telah tertulis.
c) Memikirkan ayat-ayat Quran yang Agung;

"Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu dan (ingatlah) Dialah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Fatir; 2)

"Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Yunus; 107)


"Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)." (Hud; 6)

"Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan." (at-Talaq; 7)

d) Ketahui hikmah perbezaan rezeki.
e) Banyak memohon qanaah kepada Allah SWT.
f) Menyedari bahawa rezeki tidak diukur dengan kepandaian.
g) Melihat ke bawah dalam kehidupan dunia.
h) Membaca kehidupan salaf.
i) Menyedari beratnya tanggungjawab harta.
j) Melihat realiti bahawa orang fakir dan orang kaya tidak jauh.


Sifat al-Qanaah ini sudah lama kita hayati dan mengamalkannya. Cuma, kadang-kadang ia perlu diperingatkan dan dipesankan dari semasa ke semasa supaya hati kita sentiasa bertaut kepada Allah. Segala sesuatu yang kita peroleh, semua anugerah dariNya.

Mulai dari sekarang, insyaAllah kita akan lebih menghayati sifat al-Qanaah ini dan sebaik-baiknya cuba menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.

No comments:

Post a Comment