Thursday, March 29, 2012

Gembira Dalam Duka...

Ramai yang seronok dan berterima kasih kepada pihak kerajaan. Budak-budak sekolah seronok dapat duit RM100 seorang. Pelajar-pelajar IPT bergembira dapat baucer RM200 untuk beli buku. Keluarga berpendapatan rendah (RM3,000 ke bawah) bersyukur kerana mendapat RM500, yang dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia. Sekolah-sekolah Cina, sekolah agama, sekolah masyarakat india dan lain-lain, masing-masing mendapat peruntukan yang agak lumayan kebelakangan ini.

Ini menunjukkan satu perkembangan yang positif, seolah-olah negara kita mempunyai satu kerajaan yang prihatin rakyat atau kerajaan berkebajikan. Semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama ditolongnya. Langkah ini amat kena dengan slogan "Rakyat didahulukan atau diutamakan!"

Ini tidak termasuk lagi penambahbaikan sistem SSM yang menggantikan SBPA. Kakitangan kerajaan akan sangat-sangat berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri diatas usaha beliau yang nampak cuba untuk meningkatkan gaji golongan bawahan supaya polarisasi di antara golongan atasan dan bawahan tidak semakan ketara.

Penegasan pihak kerajaan tentang kenaikan harga minyak petrol tidak akan berlaku dalam tahun ini menambahkan lagi kegembiraan dan kegirangan hati rakyat.

Pada pandangan saya, apa yang dilaksanakan pihak kerajaan adalah baik, cuma ia akan memberi impak negatif kepada kehidupan masyarakat khasnya kepada mereka yang berada di luar-luar bandar.

Saya takut masyakat kita gembira dalam duka!

Masing-masing seronok dengan habuan yang diterima tetapi wang yang perlu dibelanjakan semakin meningkat. Pergi ke pasar dengan nilaian RM100 sudah tidak mencukupi. Harga ikan naik, begitu juga sotong dan udang. Harga ayam dan daging juga meningkat. Kalau dulu, buah jambu batu hanya RM1.50 hingga RM2 sekilo tetapi sekarang RM3 sekilo. Pisang emas, pisang berangan, dan pisang rastali, dulu hanya RM1.20 hingga RM1.80 saja, tetapi sekarang paling kurang harga pisang RM2.50 sekilo.

Pada hemat saya, pemberian dari kerajaan hanya akan menaikkan harga barangan dan meningkatkan inflasi.


Sepatutnya, pemberian yang melibatkan perbelanjaan yang berbillion-billion RM itu disalurkan kepada menurunkan harga minyak dan perbelanjaan utiliti yang lain seperti bil elektrik dan air. Inilah antara yang menentukan turun naiknya harga barangan.

Tidak dinafikan kos barangan meningkat disebabkan oleh kos pembuatan, pemprosesan, dan pengagihan barangan. Sekiranya kos petrol dikurangkan seminima yang mungkin sudah pasti barangan mentah yang dihantar ke kilang dapat dikurangkan dan seterusnya barangan siap dapat dipasarkan dengan harga yang murah.

Apatah lagi jika kos elektrik dan air yang digunakan di kebanyakan industri diturunkan juga seminima yang mungkin maka harga barangan akan menjadi bertambah murah!

Mungkin ada yang menyatakan bahawa jika harga petrol diturunkan maka kebanyakan kenderaan asing seperti Singapura dan Thailand akan berpusu-pusu mengambil peluang untuk mengisi minyak di negara kita. Pada saya, isu ini adalah perkara kecil kerana kita boleh membuat peraturan dimana kenderaan yang masuk ke negara kita dikenakan duti yang lebih tinggi. Setidak-tidaknya, pertambahan cukai masuk dapat menampung penggunaan minyak subsidi kita oleh mereka. Satu lagi alternatif yang boleh dilakukan ialah semua kenderaan plat luar negara dikenakan harga minyak yang berbeda.

Bagi membenteras aktiviti penyeludupan minyak petrol ke Thailand misalnya, kita sepatutnya menempatkan lebih ramai pihak berkuasa yang mengawal laluan tikus. Jika tidak mencukupi, kita boleh mengerahkan pihak askar mahupun RELA bagi membantu mereka.

Apa yang penting bagi saya ialah rakyat jelata menikmati kesenangan hidup secara mutlak dan berpanjangan. Bukan hanya memberi sesuatu tetapi akibat dari pemberian itu akan menyusahkan lagi mereka dan menguntungkan pihak yang ketiga iaitu para peniaga yang cuba menangguk di air keruh.

Dengan kata lain, gaji atau pemberian yang diterima hanya dua tiga ringgit tetapi kos barangan meningkat berlipat kali ganda. Akhirnya siapa yang untung? Sudah pasti golongan peniaga... yang rata-ratanya mereka yang bukan seagama dengan kita…

No comments:

Post a Comment