Dalam banyak perkara kita hanya buat yang 'basic'. Maksudnya kita hanya ingin 'meet the requirement'. 'No more or no less'.
Kita tidak ingin buat lebih dari apa yang perlu. Kata orang muda hanya 'ngam ngam'. Sebut pasal 'ngam ngam' ni, teringat pula saya kepada seorang sahabat Kedah yang cuba sebut 'ngam ngam' dalam loghat Kelantan.
"Demo wat ngae ngae!", katanya.
"Dalam bahasa Kelantan tiada perkataan 'ngae ngae'", balas saya. "Orang Kelantan sebut ngam ngam ni, samaada 'bo molek' atau 'sedae molek' atau 'bo bo cukup'", sambung saya lagi.
Kalau kita seorang guru, kita hanya mengajar sampai waktu yang diperuntukkan saja. Kalau kita seorang peniaga, kita hanya menimbang barang untuk pelanggan hanya genap-genap aje. Tidak lebih dan tidak kurang walaupun satu hun!
Kalau kita menghadiri majlis walimah atau kenduri kahwin pula, kalau kita seorang kita beri RM10 aje dan kalau bersama keluarga kita hanya beri RM20.
Dalam solatpun sama, kita hanya buat yang wajib aje. Bacaan yang sunat dalam solat kita tinggalkan. Solat sunat nawafil kita kurang lakukan. Apatah lagi solat-solat sunat yang lain... tahajud, hajat, taubat...
Oleh itu, boleh dikatakan kita amat cermat apabila memberi. Apabila kita pula yang menjadi si penerima, kita mengharapkan yang besar-besar aje.
Gaji kita sebagai guru atau pensyarah kita hendak mendapat kenaikan yang berlipat kali ganda. Hasil perniagaan kita, kita mengharapkan keuntungan yang menggunung. Apabila kita membuat walimah, kita mengharapkan orang datang dan memberi sumbangan yang banyak supaya perbelanjaan walimah kita tidak rugi. Apabila kita pergi mengadap menemui Allah, kita begitu mengharapkan anugerah syurgaNya.
Begitulah gelagat kita...
Apa salahnya, mulai hari ini kita tanamkan azam untuk memberi lebih dari biasa. Solat kita, kita tambahkan pula dengan yang sunat-sunat. Bacaannya dan solat sunatnya, kita cuba lebihkan.
Apabila kita menimbang barangan jualan, kita cuba lebihkan satu hun. Apabila kita mengajar, kita tidak berkira sangat jika ada pelajar ingin membuat temujanji untuk lebih memahami apa yang telah kita ajarkan.
Sebenarnya sayapun rasa takut, kalau ingin dikaji balik atau muhasabah tentang masa yang kita diamanahkan untuk bekerja. Penuh ke, 8 jam sehari telah kita berkhidmat? Atau banyak masa telah kita korbankan untuk pergi minum dan sebagainya?
Tetapi apabila saya memikirkan balik masa saya jadi felo dan pengetua dulu. Hati saya menjadi tenang. Sebab apa ye?
Sebabnya ialah sepanjang 11 tahun itu, saya tidak pernah memohon cuti gantian dengan tugasan felo/pengetua yang kebiasaannya jatuh pada hari Sabtu dan Ahad.
Kalau hendak dikira, felo/pengetua layak untuk mendapat gantian cuti kerana mengiringi pelajar ke program khidmat masyarakat, program pembentukan JKM, dan sebagainya.
Jadi, dengan hari-hari yang tidak di'claim' itu, diharapkan dapat menampung lompong-lompong yang ada, insyaAllah.
Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berlebih-lebihan dari segi beramal soleh...
No comments:
Post a Comment