Banyak yang kita boleh belajar dari segala kejadian yang berlaku. Semua terserah kepada kita...sama ada kita ingin memahami dan mendalami setiap kejadian atau kita membiarkan saja dengan hanya mengatakan...itu sunnatullah!
Kepada mereka yang berfikir, mereka cuba mendapatkan ibrah diatas sesuatu kejadian. Ia bukan fenomena alam semata-mata tetapi pasti wujud suatu maksud tersirat dan tersurat disebaliknya.
Allah mencipta bumi yang luas yang mana terdapat di atasnya bukit bukau, tasik, sungai, tanam-tanaman, haiwan yang berpasang-pasangan. Menjadikan siang untuk kita mencari rezeki dan malamnya pula untuk kita berehat. Tiada satu yang memusnahkan tetapi semuanya saling lengkap melengkapi dan akhirnya menjadi satu eko-sistem yang dinamik!
Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan
padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang
mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya
pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti.
Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi
kaum yang (mahu) berfikir. (Ar-Ra'd 13:3).
Cuba kita perhatikan kepada sesuatu objek atau perkara atau haiwan... Kita dapati mereka mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Biarpun mereka dari rumpun yang sama. Contoh yang paling mudah ialah cuba perhatikan kejadian keluarga kita. Tidak semua adik beradik kita sama dari segi rupa paras fizikal, perangai, mentalti dan keintelektualannya. Walhal, mereka lahir dari ibubapa yang sama... Ini menunjukkan kekuasaan Allah SWT berbanding dengan kebolehan kita menentu dan merencana sesuatu perkara.
Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi
berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan
jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan
yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami
lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa,
dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda
kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya. (Ar-Ra'd 13:4).
Kita sepatutnya menggunakan akal fikiran yang waras dalam menentukan siapakah yang patut kita sembah dan agongkan. Pasti tidak lain dan tidak bukan, Ia hanyalah Allah SWT!
Patutkah mereka tidak mahu berfikir
sehingga mereka tidak nampak bahawa patung itu tidak dapat menjawab
perkataan mereka, dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya atau memberi
manfaat kepada mereka? (Taha 20:89).
Kewajaran kita membuat pertimbangan dalam menyatakan sesuatu perkara seharusnya kita menjadikan ajaranNya sebagai dasar atau landasan atau dustur supaya kita tidak tersasar dari ruang lingkup yang sebenar. Banyak peristiwa-peristiwa lama yang perlu kita pelajari dan menjadikannya sebagai suatu pengajaran. Keterbatasan pemikiran kita sudah pasti tidak mampu menelaah kejadian yang luar biasa. Bacalah kisah Ashabul Kahfi, Isra' dan Mi'raj, dan lain-lainnya. Saya pasti akan terlintas di sanubari tuan puan bahawa inilah kejadian Allah SWT dan bukanlah hanya suatu kejadian biasa atau hanya 'sunnatullah'!