Sunday, December 22, 2013

Ustaz Bertelagah Sesama Sendiri...

Sejak mutakhir ini, kita melihat ada dikalangan ustaz yang cuba untuk menaikkan nama sendiri dan menjatuhkan nama ustaz-ustaz yang lain. Pada saya, ia suatu perkembangan yang kurang sihat! Di luar sana masyarakat kelaparan dan dahagakan ilmu dari para asatizah. Manakala kita pula, asyik meremehkan ustaz-ustaz yang mempunyai pandangan berbeza dengan kita.

"Oh...ustaz A lulusan bahasa arab dan sastera sahaja dari Jordan. Kemudian sambung buat master dan phd di Malaysia. Dia tidak layak bercakap tentang syariah", kata si ustaz B.

"Kalau berani, kita berdebat! Kalau takut datang Kuala Lumpur, biar saya pergi ke Perlis!", begitu sinis sekali si ustaz B.

Allah... sedih melihat para agamawan yang berlagak sebegini. Kalaulah dia tidak belajar bidang agama dulu, saya agak mungkin dia telah menjadi ketua 'gangster'.

Tak payahlah kita memperli ustaz-ustaz yang lain. Siap sebut namanya sekali. Mana sifat husnul dzan kita sebagai ustaz.


Apabila kita mengajar orang... sedap cakap... jangan buat begitu, tak boleh buat begini. Bila kita sendiri bermuamalah dengan sesama agamawan maka kita lontar segala adab dan kesopanan ke tepi. Maka kita berperang mulut secara terbuka, cabar mencabar. Seolah-olah tiada lagi taraf atau 'title' ustaz yang ada pada kita.

Masyarakat umum di luar sana keliru, bingung dan merasa hairan. Kalaulah ustazpun yang pergi belajar jauh-jauh di negara Arab tentang agama masih bertelingkah dan boleh menghina sesama mereka, samalah dua kali lima dengan aku!


Tak payah aku hendak faham mendalam sangat tentang Islam. Setakat tahu solat, puasa, zakat dan haji dah cukup. Kalau tahu dalam-dalam sangat maka mungkin aku akan menjadi macam ustaz-ustaz ini pula, masing-masing mengata dan menghentam sesama mereka!

Sedihkan! Di luar sana masih ramai yang tak solat 5 waktu dan ada yang tak tahu solat dan mengaji al-Quran, puasapun tak penuh tapi kita sibuk dengan menyalahkan ajaran wahabi dan sebagainya.

Kita panggil Imam Masjidil Haram untuk mengimamkan kita di Malaysia. Beliau mengatakan tidak ada aliran wahabi tetapi mengatakan mereka mengamalkan salah satu dari 4 mazhab iaitu mazhab Hanafi...


Kita pergi Haji dan Umrah, di sana kita ikut imam mereka yang tidak membaca qunut dan mengambil pendekatan tidak batal wudhu bila bersentuh lelaki perempuan semasa tawaf.

Kita ambil juga pendekatan membayar zakat fitrah menggunakan wang dan tidak menggunakan bahan makanan ruji. Cuba bayangkan kalau kita ikut pendekatan Imam Syafie, berapa luas bekas perlu disediakan untuk mengisi beras di masjid-masjid dan surau-surau.

Pada saya, kita tidak perlu untuk menunjukkan bahawa kita lebih alim dari ustaz yang lain. Kita tidak perlu untuk melabelkan ustaz-ustaz yang lain dengan panggilan yang menghina seperti bodoh, bengong dan sebagainya.

Kalaulah orang Islam yang belum berapa faham Islam akan menjadi 'phobia' dan takut untuk mendalami ilmu Islam disebabkan angkara tersebut maka apa akan jadi kepada mereka yang belum Islam?

Fikir-fikirkanlah para ustaz! Jangan kita sendiri yang membuat orang lain lari dari agama fitrah Allah ini...

No comments:

Post a Comment