Kita semua tahu bahawa anak-anak adalah amanah Allah SWT yang dianugerahkan kepada kita. Anak-anak inilah yang kita mengharapkan untuk mendoakan kepada kita apabila kita sudah tiada nanti. Bukan itu saja bahkan kita mendambakan doa mereka semasa kita masih ada bersama.
Pada saya, anak-anak perlu didikan dan asuhan. Kita tidak mengharapkan Tadika atau Taska mengajar anak-anak kita sahaja semasa mereka kecil tetapi ibubapa juga turut berperanan. Kita amat memilih Taska yang Islamik supaya anak-anak kita diajar membaca dan menghafaz bacaan al-Quran dan doa-doa.
Setelah besar, kita menghantar mereka pula ke sekolah-sekolah Islam supaya ada kesinambungan pembelajaran agama.
Kepada ibubapa yang sibuk mencari rezeki, ingin saya nyatakan di sini bahawa 'waktu kecil' anak-anak ini adalah sangat terhad! Mereka hanya mempunyai 12 tahun untuk diasuh dan dimanjakan oleh kedua ibubapa. Setelah mereka memasuki alam persekolahan sekolah menengah, mereka telah membentuk jati diri mereka sendiri, baik dengan asuhan ibubapa mereka mahupun tidak.
Masa alam persekolahan sekolah rendah begitu baik masanya untuk kita membentuk mereka mengikut acuan yang kita kehendaki, bak kata pepatah "Melentur buluh biarlah dari rebungnya!"
Justeru itu, pada pandangan saya seboleh-bolehnya si ibu wajar mengambil tanggungjawab menjaga dan mendidik anak-anak selagi mereka masih kecil. Waktu kecil hanya sekali dan ia tidak boleh diulang!
Ya, mungkin sewaktu di awal 'career' kita, kita tidak mempunyai cukup pendapatan. Maka tiada salahnya kita suami isteri saling bantu membantu bekerja untuk memenuhi keperluan kehidupan. Tetapi setelah ekonomi keluarga sudah stabil, saya berpendapat sewajarnya tugas mencari nafkah diletakkan di bahu si suami dan si isteri kembali mengasuh dan mendidik anak-anak dengan sebaik yang mungkin.
Mungkin si along, si angah dan si alang terpaksa dikorbankan masa kecil mereka tanpa mendapat asuhan dan didikan ibu tetapi janganlah ke semua anak-anak kita, kita biarkan mereka melalui jalan yang sama.
Pada saya, si ibu sepatutnya berehatlah... Kembali melihat tugas asal mereka yang disarankan Tuhan. Pernah kita dengar, tangan yang menghayunkan buaian itu boleh melahirkan seseorang yang boleh menggoncangkan dunia!
Anak-anak yang masih kecil tidak sama jagaannya oleh si pengasuh yang begitu ramai bilangan anak-anak jagaan mereka. Begitu juga anak-anak yang masih kecil tidak sama jika dijagai si ibu berbanding dengan dijagai oleh si abang!
Apa lagi yang kita hendak kejarkan? Mana yang lebih penting, kerjaya kita atau keluarga?
Sekiranya kita mati, esok atau lusa majikan kita dapat mencari pengganti tempat kita. Cuba bayangkan bagaimana perasaan anak-anak kita yang gersang kasih sayang seorang ibu...
Apatah lagi jika kerjaya kita turut menghalang dari kita menziarahi kedua ibubapa dan adik beradik yang berjauhan? Lama-kelamaan hubungan kekeluargaan yang sedia tandus akan menjadi lebih gersang.
Berpadalah. Kita bukannya ingin hidup buat selama-lamanya. Berapa lama lagi baki umur yang kita ada?
Sekiranya kita masih perlu bekerja... bekerjalah seadanya, separuh hari ke? Janganlah si suami bekerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang tetapi si isteri lebih masa kerjanya dari 7 pagi hingga 7 petang!
Sesetengah ibu mereka ingin bekerja kerana sudah tiada lagi anak-anak kecil di rumah. Pun begitu bagi saya berilah peluang pekerjaan kepada generasi muda pula untuk berkhidmat. Berilah peluang kepada mereka untuk berbakti jua!
Si suami ingin merasakan masakan air tangan si isteri dan bukannya masakan dari warung dan kantin sekolah yang dihangatkan semula di rumah! Masakan yang mengambil masa dan bukannya 'instant cook' yang cuma ada rasa masin, manis dan masam tetapi tiada rasa kasih sayang!
InsyaAllah, jika kita berani berkorban Allah akan memberi jalan. Mungkin juga Allah tidak membekalkan biasiswa atau pinjaman kepada sesetengah dari anak kita untuk melanjutkan pelajaran kerana kita merasakan kita perlu bekerja lebih. Kita tidak merasakan Allah SWT yang memberi rezeki tetapi kita yang bertungkus lumus bekerja sehingga mendapat makan setiap bulan.
Allahumma Rabbana Hablana Min Azwajina Wa Zurriatina Qurratu'a yunin Waj Alna Lil Muttaqina Imama...
No comments:
Post a Comment