Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Friday, January 30, 2009
Selamat Jalan Sahabatku
Hampir jam 6.30 pagi, 11 Jan 2009, aku dapat sms. "Ir Ahmad Fuaad Kassim telah meninggal dunia".
Seperti biasa setiap hari Ahad jam 7.00 pagi, aku bersama Rasyid akan ke Pasar Tani di Taman Sri Pulai. Tapi hari ini lain sikit kerana kami terpaksa ke rumah arwah dahulu untuk melihat apa yang boleh dibantu. Setibanya di rumah arwah, aku memasuki rumahnya dan terlihat di ruang tamu terbujur kaku jasadmu sahabatku.
"Syid nak tengok tak?" tanyaku setelah berada di sebelah jasadmu. Anakku yang berumur 8 tahun, mengangguk kepala. Terus ku buka kain tutup mukamu, sahabatku.. Walaupun kita tidak pernah berbicara tapi ukhuwwah begitu terasa..
Pagi itu juga aku sempat bergegas ke Pasar Tani untuk membeli 10 bungkus nasi lemak bagi sarapan keluargamu, wahai sahabatku. Tapi aku pasti, mereka tak mampu untuk menjamahnya di saat sebegini.
Sementara menunggu solat Asar dan solat jenazah di Masjid Taman Sri Pulai, anakmu Taufik tertinggal untuk membawa surat kebenaran menyemadikan jasadmu di Tanah Perkuburan Kangkar Pulai. Aku membawa Taufik kembali ke rumahmu untuk mengambilnya.
Semasa solat jenazahmu begitu ramai sekali yang datang. Selesai solat jenazah, aku sempat mengusungmu memasuki kereta jenazah untuk dibawa ke tanah perkuburan.
Di tanah perkuburan, setelah jasadmu disemadikan talqinpun dibacakan. Sesungguhnya sahabatku, talqin itu adalah peringatan untuk kami yang masih hidup.
Wahai sahabatku, mudah-mudahan berbahagialah anta di alam baru ini yang mana semua kita akan menyusul kemudian... Alangkah baiknya pemergianmu iaitu setelah seminggu kembali dari mengerjakan Haji.
"Sesiapa mengerjakan Haji ke Baitullah dan tidak melakukan rafath (larangan bercampur dengan isteri termasuk juga segala yang menimbulkan nafsu berahi, sama ada dengan perbuatan atau perkataan) dan fusuq (larangan maksiat) jadilah keadaan dirinya bersih seperti baru dilahirkan oleh ibunya" (Bukhary dan Muslim).
Alfatihah buat Arwah Ir Ahmad Fuaad Kassim. Blog arwah boleh dilawati http://afkassim.blogspot.com
Thursday, January 29, 2009
Apa Perlunya Solat?
Ramai dikalangan kita terdengar betapa ramainya remaja yang tidak solat atau tidak penuh solat lima kali sehari. Sesetengahnya tidak tahu bagaimana hendak solat... Mungkin kerana ibubapapun tidak mengerjakannya. Ibubapa sibuk mencari rezeki untuk memenuhi keperluan keluarga.
Seorang kawan menceritakan beliau membuat kursus motivasi di sebuah sekolah di selatan tanah air. Disuruhnya pelajar-pelajar berdiri, dan ditanya soalan, siapa yang tak solat disuruhnya duduk. Hampir separuh duduk. Kemudian, siapa solat 3 kali sehari? Sebahagian pelajar duduk lagi kerana tidak memenuhi kriteria tersebut. Akhir sekali, siapa solat penuh lima kali sehari? Hanya seorang pelajar kekal berdiri...
Gawat sekali. Cuba bayangkan generasi ini yang akan berkahwin dan seterusnya melahirkan zuriat dan seterusnya zuriat-zuriat mereka pula akan berkahwin dan seterusnya. Akhirnya, Islam hanya tinggal pada nama saja. Rukun Islam yang keduapun masih tak 'settle'. Apatah lagi Puasa, Zakat dan Haji.
Ada juga kita dengar mereka yang tak perlu solat kerana darjatnya sudah tinggi dan hanya memadai dengan niat saja. Ini juga satu perkara yang pelik...
Kalau tak, masakan Rasulullah SAW solat sehingga bengkak kakinya. Seorang yang dijanjikan syurga oleh Allah SWT bersusah payah sehingga ditanyakan Aisyah RA kenapa begitu sekali? Jawab Baginda SAW, "Salahkah daku menjadi seorang hamba yang bersyukur....".
Apakah Allah SWT perlukan solat kita? Sudah tentu tidak, kerana Dia yang menjadikan kita. Dia tidak perlu apa-apa dari kita dan hanya kita yang memerlukanNya.
Kita bersolat dan mengerjakan amal lain adalah kerana menepati tugas kita yang telah difirmankan Allah SWT "Tidak Aku jadikan jin dan manusia itu hanya untuk beribadah kepadaKu".
Sama-samalah kita tingkatkan solat kita dan mencuba sedaya upaya untuk mengerjakan secara berjamaah, InsyaAllah...
Maksud sabda Rasulullah SAW "Solat berjamaah melebihi solat seseorang itu seorang diri di rumah dan solat di pasarnya sebanyak 25 darjah".
Tuesday, January 27, 2009
Perginya Seorang Pejuang Islam Menemui Pencipta
Penulisan ini adalah dari isteri seorang pejuang Islam Dr Basri. Mudah-mudahan Allah menempatkan beliau bersama para solehin. Amin...
Jambangan Terima Kasih dari Kak Ani Basri.
Genap seminggu pemergian allahyarham, terasa terpanggil untuk Kak Ani menulis setelah membaca pelbagai cerita dalam kenangan sahabat semua bersama arwah. Kak Ani ucapkan ribuan terima kasih yang tak terhingga pada semua nukilan mutiara kenangan abadi bersama arwah yang dipaparkan di ruangan ini.
Pada sesiapa yang ingin berkongsi kisah bersama arwah, sila hubungi Kak Ani di 016-6789443 atau anak arwah, Nadzirah. Kami akan mengumpul kisah dan kenangan untuk dibukukan. Arwah berpesan agar Kak Ani menulis sebagai pasangan kepada seorang yang dianugerahkan kanser.
Ramai yang tak sempat Kak Ani bersalaman dengan tetamu-tetamu yang hadir pada hari bersejarah 18/1/09. Mereka masih merisik khabar. Maka secara ringkas Kak Ani ceritakan:
Sepanjang 10 hari (sejak 9/1/09) di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, arwah tidak membenarkan kami menghebahkan kepada sahabat & saudara-mara, semata-mata kerana tak ingin menyusahkan orang menziarahi beliau. Hatta Ustaz Rahim naqib beliau sendiri tidak menziarahi beliau, kerana menghormati kehendaknya. Setiap kali ustaz call bertanyakan khabar, arwah akan berkata "Tak perlu datang, doakan aja di rumah,"
Selepas beberapa hari terdetik di hati nak SMS Dr Suriya (Kak Su) supaya jenguk arwah, kerana nampak kelainan padanya. Alhamdulillah, dengan pertolongan Allah SWT melalui Kak Su dapat merungkai simpulan di sudut mindanya. Ketenangan dapat dinikmati arwah dengan nyenyaknya tidur beliau di malam itu tanpa pil tidur.
Terima kasih Kak Su, teknik dan kemahiranmu amat bermanfaat sekali, hanya jauhari yang mengenali maknikam.
Lantas Kak Su sebagai jambatan penghubung Jemaah….dapat kami rasai dan hayati betapa manisnya nikmat berjemaah. Tak ada kata nak dituturkan, tak tergambar nak dilukis, tak ternukil nak diukir, tak tertulis seindah bahasa… Hanya Allah SWT sahajalah sebaik-baik balasan pada ikhwah tertentu, sahabat dan akhawat yang telah luhur hati membantu memudah dan mempercepatkan perjalanan arwah menemui Penciptanya yang Maha Agung.
Amat terharu melihat begitu ramai yang hadir, mengiringi hari terakhir sebuah perjalanan menuju ke Alam Baru. Dari wad 7A ke kereta jenazah terus ke rumah dengan pertolongan Pengarah Hospital, dari yang berjalan ke yang berkerusi roda, dari murid darjah 6 ke murid PhD, dari satu jamaah ke dua jamaah solat jenazah, semoga doa-doa para jemaah diangkat malaikat.
Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu dengan penuh redha….
SEUTAS KENANGAN DI SAAT AKHIR
Hospital Seremban: 1/3 malam…Sebelum Subuh Ahad 18/1/09, arwah call anak-anak di rumah dan adik bongsu beliau, Razali agar datang mendendangkan surah Yasin padanya. Beliau kelihatan begitu teruja untuk pergi menyahut panggilan Ilahi, semalaman itu arwah tidak tidur, asyik menulis and membaca doa-doa dan ayat suci duduk di kerusi bermejakan katil. Beberapa kali Kak Ani tersedar arwah masih tak tidur.
Bila ditanya kenapa tak tidur? "Tak boleh tidur, nak baca banyak-banyak nanti rugi, walau seminit pun tak nak lena" katanya. Ayat-ayat yang ditinggalkan Kak Su pada siangnya dibaca berulang-ulang kali.
Hari kesiangan anak-anak semua datang menziarahi dan menjaga arwah di hospital. Sepanjang hari Ahad 18/1, arwah terus-terusan membaca, mendoa, sambil duduk di kerusi. Sepetang ada yang ziarah, ibu, adik-adik arwah baru tiba dari Alor Star dan Kajang. Berborak seperti biasa.
Waktu Maghrib: Hati ini terlalu sebak, sedih, kasihan, kasih, ihsan melihatkan arwah masih di kerusi dengan facemask oksigennya. Terus ke bilik air, meluahkan sebak sepuas-puasnya. Tidak pernah menangis di hadapan beliau sepanjang sakit, bimbang kalau semangatnya menurun.
Setelah berwudhuk, mempelawa arwah solat bersama, "Solatlah dulu, nanti nak buat dalam Isya'", katanya…
Selesai solat Maghrib, Kak Ani solat Hajat 2 rakaat agar diringankan tanggungan pernafasan arwah..selepas itu, Kak Ani berwudukkan arwah, beliau masih mampu mengangkat tangan dan kaki.
Waktu Isya': Nafas mulai laju, masih bertanya sambil tunjuk di jari tangan, "Ada tanda-tanda tak nak mati?" Memang itulah soalan beliau saban hari sejak dari rumah.
Dalam jam 10 malam: "Kenapa tangan dan kaki tak terasa apa-apa?" Tanyanya sambil menghulurkan tangan dan kaki ke arah Kak Ani. Memang kakinya sangat sejuk, kaki kiri dah tunduk, kaki kanan masih tegak. "Siapa boleh tolong, panggil doktor on-call" kataya. Kak Ani bisikkan di telinganya, "Hanya Allah boleh tolong, ingatlah Allah banyak-banyak, Lailahaillallah," sambil beri arwah minum air zam-zam.
Dalam 10.30 malam doktor tiba, sejurus itu anak sulung, Naufal tiba, doktor ajak kami ke luar bilik berbincang. Pertolongan terakhir, untuk masukkan tiub bagi membantu pernafasan. Kami masuk semula ke bilik untuk meminta persetujuan arwah. Beliau menggelengkan kepala.
Jika tidak dengan bantuan pernafasan, keadaan ini akan berlarutan dalam masa selama maksima 12 jam, kata doktor sambil berlalu.
Kami cepat-cepat masuk, dan terus Kak Ani bisikkan di telinganya, "Tahniah Bah! Berbahagialah, Babah akan jadi tetamu Allah sekejap lagi. Tiada yang lebih bahagia dari menjadi tetamu Allah. Sabarlah! sedikit masa lagi.. Rasulullah pun sakit juga ketika dalam keadaan begini. Ingatlah Allah, "Lailahaillallah, Allahu, Allahu" berulang-ulang kali di baca kepadanya, sehingga beliau angkat tangan buat isyarat: jangan bising, dia sedang baca dan ingat…
20 minit kemudian semua anak-anak dan menantu tiba, sempat arwah lihat seorang demi seorang dan angkat tangan bersalam. Dalam 10 minit kemudian, kami minta beliau naik ke katil dibantu anak dan menantu arwah terus berdiri dan naik ke katil dibaringkan. Sejurus itu juga, beliau bangkit duduk di katil.
Nafas semakin pantas, beliau membuka face mask yang dipakainya. Anak-anak mengelilinginya sambil menyebut Lailahaillallah. Sambil duduk itu, arwah tersedu kuat, kami baringkan beliau di bantal. Ibu dan adik-adik arwah tiba, lantas dibisikkan lagi Lailahaillallah. Hembusan nafas terakhir berlalu pada 11.15 pm 18/1/09.
Begitu pantas dan mudah beliau pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Untuk kita yang masih ada ini terus meneruskan perjuangan mardhatillah, demi syurga Mu Ya Allah…
Demikian Allahyarham bersemadi dengan abadi diiringi doa seorang ibu yang masih ada disambut anakanda puteri Fatimah Husna yang telah mendahului beliau 17 tahun yang lalu. Alangkah beruntungnya sebuah jasad yang sudah berpisah dari rohnya dikenali di dunia sebagai Cikgu Basri. Mudah-mudahan syurgalah tempatmu…_,_._Sunday, January 25, 2009
Hubungan Bersambung Setelah 28 Tahun
Hari ini sempena Walimatul Urus anak Zainuddin (Batch 80/81) di Sagil, Johor telah menghubungkan kembali persahabatan kami yang telah lama terputus. Saya bersama Prof Madya Zakaria Mohd Yusoff (79/80), Dr Roslan Abdullah (80/81), Dr Awang Jusoh (80/81), Dr Razali Ngah (82/83), Hj Abdullah Zawawi (80/81) dan Sdra Shamsul (80/81) sempat mengunjungi majlis tersebut.
Di sana juga bertemu pula Sdra Yusoff (79/80) sekeluarga, Sdra Amran (80/81) bersama isteri Cikgu Jamilah (80/81) dan anak mereka Emilia. Seronok apabila bertemu kembali setelah 28 tahun tidak bertemu antara satu sama lain setelah meninggalkan Sek. Men. Teknik Terengganu.
Banyak kenangan lama disorot kembali....
Sunday, January 18, 2009
Assalamu'alaikum...
Sungguh syahdu mengenangkan anak-anak kecil dan orang awam dibunuh tanpa perikemanusiaan oleh tentera zionis. Betapa kejamnya mereka...
Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya kami meletakkan Engkau di tengkuk musuh-musuh kami, dan kami memohon perlindungan daripada kejahatan mereka. Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkau seranglah mereka pada segenap penjuru, dan porak perandakanlah gagasan mereka, dan keraskanlah arahan Engkau ke atas pendirian mereka, dan kucar kacirkanlah pergerakan mereka, dan Engkau hantarkanlah anjing-anjing Mu untuk menggempur mereka, wahai Tuhan Yang Maha Kuat, Perkasa dan Pembalas Dendam. Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah, wahai Tuhai kami yang menurunkan kitab, yang menggerakkan awan, yang menghancurkan tentera Ahzab, hancurlah mereka, dan menangkanlah kami ke atas mereka.
Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pertolongan kepada Mu, dan kami beriman dengan Mu, dan kami bertawakkal kepada Mu, dan kami menyanjung kepada Mu dengan kebaikan dan kami tidak mengkufurkan Mu. Ya Allah hanya kepada Mu kami sembah, dan kepada Mu kami solat dan sujud, untuk Mu kami berusaha. Kami mengharapkan rahmat daripada Mu dan kami takutkan azab Mu. Sesungguhnya azab Mu yang berat sudah pasti terhadap golongan kuffar. Ya Allah azablah golongan kuffar yang menghalang jalan Mu.
Ya Allah Ya Tuhan kami, muliakan Islam dan orang-orang Islam. Ya Allah Ya Tuhan kami, menangkanlah Islam dan orang-orang Islam. Ya Allah Ya Tuhan kami, menangkanlah saudara-saudara kami di kalangan golongan yang lemah dan dizalimi. Ya Allah Ya Tuhan kami, menangkanlah saudara-saudara kami di kalangan pejuang-pejuang di Palestin. Ya Allah Ya Tuhan kami, menangkanlah saudara-saudara kami di kalangan pejuang-pejuang di Chechen. Ya Allah Ya Tuhan kami, menangkanlah saudara-saudara kami di kalangan pejuang-pejuang di Kashmir. Ya Allah Ya Tuhan kami, menangkanlah saudara-saudara kami di kalangan pejuang-pejuang di seluruh tempat dan pada setiap masa. Ya Allah Ya Tuhan kami, menangkanlah mereka menentang musuh-musuh Mu dan musuh-musuh mereka, dan hancurkanlah kekafiran dan orang-orang kafir, kesyirikan dan orang-orang yang syirik, kemunafikan dan orang-orang munafik, kezaliman dan orang-orang zalim, dan musnahkanlah musuh-musuh Mu dan musuh-musuh agama Mu di kalangan orang Yahudi pencabul dan pengkhianat, dan golongan nasrani penjajah dan penyombong. Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkau gegarkanlah bumi ini di bawah tumit-tumit mereka, dan campakkanlah mereka ke lembah kehinaan dan kekerdilan.
Amin Ya Rabbal Alamin.
Saturday, January 17, 2009
Assalamu'alaikum wrth wkth...
Selamat Datang ke Blog Tok Wae. Nama saya ialah Haji Wan Ibrisam Fikry bin Haji Wan Ismail bin Haji Wan Mohd Salleh. Saya dilahirkan oleh Hajjah Che Zainab binti Haji Che Hussin di Kg Palekbang, Tumpat, Kelantan pada 1 September 1964.
Saya mempunyai isteri yang disayangi Hajjah Asmawati binti Haji Shaari bin Haji Awang, dan dikurniakan 9 orang anak. Ibu isteri saya bernama Hajjah Nik Azizah binti Nik Sulaiman. Anak-anak saya yang dikasihi, 4 perempuan dan 5 laki-laki;
i) Wan Khairunnisa (Pelajar Jurusan Perubatan di Cairo University)
ii) Wan 'Atikah (Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Islam Hidayah)
iii) Wan Abdul Rahman (Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Islam Hidayah)
iv) Wan Ahmad Luqman (Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Islam Hidayah)
v) Wan Muhammad 'Ammar (Darjah 5 di Sekolah Rendah Islam Hidayah)
vi) Wan Abdul Rasyid (Darjah 2 di Sekolah Rendah Islam Hidayah)
vii) Wan Sakinah (Darjah 1 di Sekolah Rendah Islam Hidayah)
viii) Wan Abdullah Syakir (5 Tahun)
ix) Wan Asmaa Solehah (3 Bulan)