Monday, May 11, 2009

Mengerjakan Ibadah Haji - 13


Labbaikallah Hummalabbaik Labbaikala Syari Kala Kalabbaik Innal Hamda Wanni'mata Laka Walmulk La Syari kalak.....

"HambaMu datang menyahut panggilanMu, Ya Allah! HambaMu datang menyahut panggilanMu, hamba datang menyahut panggilanMu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagiMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan kekuasaan adalah kepunyaanMu tidak ada sekutu bagiMu."

Semasa di Mekah, pihak TH akan membawa kita melawat ke beberapa tempat sejarah. Jabal al-Nur yang terdapat Gua Hira' di lerengnya merupakan tempat Rasulullah beruzlah dan beribadat sehingga didatangi oleh Malaikat Jibral membawa wahyu pertama. Bukit ini berketinggian 281m, manakala Gua Hira' berukuran 3m panjang, 1.3m lebar dan 2m tinggi.

Kita juga akan dibawa ke Gua Tsur atau Jabal Thawr dimana Rasulullah bersama Abu Bakar al-Siddiq bersembunyi selama 3 malam ketika berhijrah dari Mekah ke Madinah pada tahun 622H. Jabal Thawr yang didatangi oleh Asma binti Abu Bakar pada siangnya untuk membawa makanan dan Abdullah bin Abu Bakar membawa maklumat pada malamnya, berketinggian 458m. Manakala guanya berkeluasan 3.5m panjang serta lebar dan tingginya 1.25m.

Seterusnya kita dibawa ke kawasan Perkuburan Ma'la. Ia terletak 1km dari arah timur Masjidil Haram. Antara jasad yang disemadikan di sini ialah Ummul Mu'minin Saidatina Khadijah binti Khuwailid, isteri pertama Rasulullah (SAW).

Tempat-tempat lain yang dilawati ialah seperti Muzium al-Haramain al-Sharifain, Kilang Kiswah, Jabal Arafah (22km dari Masjidil Haram), al-Hudaibiyyah (tempat perjanjian Hudaibiyyah dilakukan), Muzdalifah dan Mina.

Kita dibawa awal ke Arafah, Muzdalifah dan Mina supaya kita dapat sedikit gambaran sebelum kita mengerjakan wuquf pada 9 Zulhijjah di Arafah, mabit pada malam 10 Zulhijjah di Muzdalifah dan kita melontar jamrah di Mina.

No comments:

Post a Comment