Sunday, May 3, 2009

Satu Pendakian.....




Gunung Kinabalu sudah ku daki. Gunung Ledang juga telah ku terokai hampir ke puncak. Tapi tak berkesempatan untuk ke puncak kerana salah seorang pelajar kolej ku tercedera dan terpaksa menemaninya di situ.

Kelmarin, aku sempat mendaki Gunung Arong. Gunung yang terletak di daerah Mersing. Gunung Arong ini agak lain dari yang lain. Kita mulakan pendakian dari tepi bukit dan berakhir di tepi laut.

Pendakian gunung tidaklah begitu payah kerana 'track'nya sudah ada. Tetapi apa yang perlu ialah stamina, mental yang kuat dan fizikal badan yang tidak terlalu gemuk. Kalau terlampau gemuk mungkin susah untuk menelusuri denai dan hutan.

Mendaki umpama memulakan kehidupan! Jalan di depan agak menegak dan kadang-kadang tidak jelas arah tujuannya. Pokok-pokok dan daun berduri di kiri kanan sentiasa menghalang dan kadang-kadang mencalar kaki dan lengan. Kepayahan dan kepenatan begitu terasa. Tanpa azam yang kuat dan semangat yang kental, ramai yang berpatah balik kerana tak sanggup menempuh jalan yang belum tentu...

Aku pernah berjalan kaki dalam latihan askar yang sepatutnya mengambil masa 2 hari, merentasi hutan, sungai, paya dan gunung, dengan M-16 di tangan dan beg galas di belakang. Dalam keadaan begini, sokongan moral dan bantuan kawan-kawan sangat diperlukan.

Apabila tiba di puncak, kita menikmati panorama yang sungguh menakjubkan. Maha suci Allah, Tuhan Pencipta alam! Udara yang segar di puncak gunung sungguh 'refreshing'. Semasa di Gunung Kinabalu dulu, setiap 'check point'nya, ada air gunung yang kita boleh ambil untuk minum. Wah! sungguh menyegarkan, membasahi tekak yang panas dengan air yang begitu dingin sekali.

Di puncak Gunung Kinabalu dulu, aku pernah melaungkan azan bagi menunaikan Solat Subuh. Sambil melaungkan azan, air mata membasahi pipi kerana terasa begitu besar Qudrat dan IradatMu ya Allah.

Dalam kehidupan, di peringkat inilah kita dapat melihat panorama kehidupan yang sebenar. Kesusahan dan kedaifan manusia dapat kita hargai kerana kita sudah melaluinya. Apabila kita melihat kesenangan, kita akan meneliti dengan keinsafan dan kebesaran Allah SWT.

Seterusnya kita menuruni gunung dengan begitu berhati-hati, melihat ke sana sini, jika ada akar yang cuba menyekat kaki. Menuruni gunung juga sama dengan mendaki, aktiviti yang tak kurang penatnya. Silap-silap haribulan jatuh tergolek ke bawah.

Dalam kita menerus hari tua, perbuatan dan percakapan kita jagai. Takut melukai hati sesiapa. Kalau sampai ke bawah dengan selamat, alhamdulillah, pengembaraan kita selesai....

No comments:

Post a Comment