Apabila kita ditugaskan untuk menjadi Penasihat Akademik (PA) kepada pelajar-pelajar, kita boleh memilih untuk betul-betul menjadi seorang penasihat atau hanya sekadar melakukan kerja-kerja rutin seperti menandatangani borang pendaftaran matapelajaran, 'sign' borang 'drop' atau 'add' matapelajaran dan tidak lebih dari itu...
Atau kita berperanan lebih jauh dengan memberi motivasi kepada pelajar-pelajar dibawah jagaan kita supaya belajar dengan cemerlang dan beroleh keputusan 'first class', menasihati pelajar yang ingin bertukar kursus, malah lebih jauh lagi menasihati pelajar yang ingin berhenti belajar. Itu semua terletak kepada kemahuan kita.
Atau kita juga boleh berperanan ke sebelah 'extreme' yang satu lagi... Jika ada pelajar yang nak berhenti, apa aku kesah?
Menjadi PA atau Mentor kepada pelajar sangat penting. Kita yang telah menjalani kehidupan yang agak lama bolehlah memberi pandangan setakat yang mampu. Walau bagaimanapun garispanduan sebagai PA perlu dipatuhi. Apa yang boleh dan tidak boleh kita memberi tunjuk ajar.... Lihat skop kerja PA itu sendiri.
Masa kita belajar dulu, mungkin tidak ada sistem ini. Pandai-pandailah kita memikirkannya sendiri. Untung batu tenggelam dan untung sabut timbul...
Jumaat lepas, seorang pelajar tahun 3 yang berada dibawah penasihatan akademik saya menghantar satu pesanan ringkas kepada saya untuk berjumpa. Saya memaklumkan kepadanya bahawa saya terlibat dengan program membudayakan al-Quran sehingga pukul 9.30 pagi dan pada pukul 10 pagi pula dekan ingin berjumpa dengan semua pensyarah berkaitan projek 'endownment' universiti. Walau bagaimanapun, saya bersetuju untuk berjumpa dengannya pada pukul 9.30 pagi.
Bagi saya, saya akan cuba sedaya upaya untuk berjumpa dengan pelajar mengikut masa 'free' mereka. Masa senggang mereka amat terhad. Kalau kita ikut masa kita, kemungkinan besar pelajar yang ingin berjumpa dengan kita terpaksa mengorbankan waktu kelas mereka.
Jika boleh, kita cuba 'adjust' masa kita dan jangan biarkan pelajar tercari-cari masa luang mereka untuk berjumpa dengan kita!
Setelah berbincang dengan pelajar yang ingin berjumpa dengan saya tadi, saya dapati beliau ingin berhenti belajar. Beliau adalah pelajar lulusan Diploma dan menyambung di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Sekarang di tahun 3. Hanya setahun lebih lagi untuk menghabiskan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Saya bersembang dengan pelajar tersebut sehingga jam 10.30 pagi dan seterusnya meminta izin untuk ke majlis perjumpaan dengan dekan. Saya menyatakan kepada beliau sekiranya ingin menyambung lagi perbincangan, saya akan keluar dari majlis tersebut jam 11.30 pagi.
Pukul 11.30 pagi, pelajar tersebut sudah bersedia menunggu saya. Kami berbincang lagi sehinggalah hampir jam 12.30 pagi. Sambil bincang sambil makan mee kari.
Dari apa yang dibincangkan, beliau telah membuat keputusan bahawa beliau akan pulang ke Sabah pada hari Isnin. Surat untuk berhentipun sudah dihantar ke pejabat fakulti. Familipun telah dimaklumkan dan mereka bersetuju dengan keputusan yang telah dibuat.
Tak banyak yang saya boleh bantu. Beliau nampak sudah tekad dengan keputusan yang diambil. Saya hanya memberi cadangan sekiranya beliau masih ingin menyambung pelajaran dalam kursus yang sama, maka bolehlah mengikutinya dengan cara SPACE, iaitu pengajian jarak jauh.
Mentor di sekolahpun sama peranannya dengan PA. Bahkan mungkin lagi berat kerana pelajar belum matang untuk membuat keputusan.
Apa yang saya nampak, kadang-kadang mentor di sekolah kurang berperanan. Pada saya, sekiranya mentor berperanan iaitu sebagai contoh, jika dia melihat pelajar tingkatan 4 aliran sains, setiap kali ujian Fizik, Kimia, dan Biologi, pelajarnya kantoi. Tak pernah lulus kesemua matapelajaran tersebut maka nasihatkanlah supaya pelajar tersebut menukar kepada jurusan sastera.
Dengan berdiam diri, menunggu dan mengharap 'miracle to happen' adalah satu kesilapan besar yang mana pelajar yang boleh kita selamatkan terbiar begitu saja. Dan akhirnya kecundang. Mungkin juga kepada sesetengah mentor, mereka berpegang kepada prinsip biar ajelah lagipun dia ni bukan anak atau adik aku...
Pada saya kita perlu menjalankanlah tanggungjawab kita sebaik yang mungkin, seboleh-bolehnya sepertimana yang dituntut dan akhirnya pelajar itu sendiri yang membuat keputusan.
Segala ruang dan peluang perlu diperjelaskan dengan terperinci supaya pelajar-pelajar terbuka pemikiran mereka sebelum sesuatu keputusan itu dibuat.
Dengan kita membantu orang, insyaAllah, Allah akan membantu kita atau keluarga kita atau sanak saudara kita.
No comments:
Post a Comment