Saturday, October 31, 2009

Mengenali Seorang Dari 10 Yang Dijamin Syurga


Siapa yang tidak mengenali Abu Bakar (R.A)? Seorang yang digelar oleh Allah SWT di dalam Al-Quran sebagai As-Siddiq (Orang yang membenarkannya) (Surah Az-Zumar; 33). Ayahnya bernama Utsman dan ibunya bernama Salma.

Abu Bakar (R.A) memeluk Islam pada hari pertama diangkatNya Rasulullah (SAW) menjadi nabi. Setelah memeluk Islam, beliau giat berdakwah kepada rakan-rakannya dan hasilnya, Utsman bin Affan (R.A), Zubair bin Awwam (R.A), Abdul Rahman bin Auf (R.A), Thalhah bin Ubaidillah (R.A), dan Saad bin Abi Waqash (R.A) memasuki Islam.

Beliaulah yang membantu Rasulullah ketika mana Rasulullah dijerat leher dengan kain oleh Uqbah bin Abi Mu'ith sewaktu bersujud solat di Kaabah. Hasil tindakan itu, Abu Bakar sendiri dikepung beberapa orang penjahat dan dipukul dengan kejam dan dicabutnya rambut sehingga terluka kepalanya.

Abu Bakar telah menemani Rasulullah di dalam Gua Tsur semasa berhijrah ke Madinah. Abu Bakar juga berada di atas satu tunggangan bersama Rasulullah di saat berhijrah ke Madinah.

Pada tahun ke 9 Hijrah, tercetusnya Peperangan Tabuk dan Rasulullah telah meminta kepada sahabat untuk memberi infak. Abu Bakar telah membawa kesemua hartanya untuk diserahkan kepada Rasulullah (SAW).

Abu Bakar juga telah disuruh mengimami solat Isya' oleh Rasulullah di saat-saat akhir sebelum Baginda wafat.

Abu Bakar pernah mendengar pembicaraan Rasulullah (SAW) dengan Jibril (A.S), walaupun ia tidak dapat melihat Jibril.

Abu Bakar adalah orang yang mengumpulkan Al-Quran setelah ianya diusulkan oleh Umar Al-Khattab (R.A). Beliau telah menyuruh Zaid bin Tsabit melaksanakan tugas mengumpulkan semua surah Al-Quran.

Empat keturunan Abu Bakar As-Siddiq (R.A) adalah sahabat Rasulullah (SAW). Pertama, Abu Bakar sendiri. Kedua, ayahnya iaitu Abu Quhafah. Ketiga, anaknya iaitu Abdul Rahman (R.A) dan keempat ialah anak Abdul Rahman iaitu 'Atiq (R.A). Tidak dilupakan, Rasulullah juga adalah menantu kepada Abu Bakar As-Siddiq dengan beristerikan Aisyah (R.A).

Pada tahun ke 8 Hijrah terjadi pembukaan kota Mekah. Pada waktu itu, ayah Abu Bakar, yakni Abu Quhafah (R.A) masuk Islam. Pada hari itu, Abu Quhafah dibawa mengadap Rasulullah (SAW). Maka Rasulullah bersabda, "Mengapa ia dibawa kepadaku, selayaknya aku yang datang kepadanya."

Kecintaan Abu Bakar As-Siddiq (R.A) kepada Allah SWT dan RasulNya telah dimenifestasi dengan perkataan dan perbuatannya.

Sebelum meninggal dunia, Abu Bakar As-Siddiq (R.A) berkata, "Kirimkanlah unta yang biasa kita minum susunya, mangkuk yang biasa kita gunakan untuk makan, dan selimut ini kepada Umar (R.A). Benda-benda ini saya ambil dari baitul-mal kerana saya sebagai Khalifah."

Ketika benda-benda itu sampai ke tangan Umar (R.A), ia berkata, "Semoga Allah SWT merahmati Abu Bakar As-Siddiq (R.A). Dia telah menyebabkan tugas sebagai khalifah ini menyusahkan bagiku."

Rasulullah (SAW) bersabda; "Wahai Abu Bakar, kamu adalah orang yang pertama masuk ke dalam syurga dari umatku".

Thursday, October 29, 2009

Duit Yang Encik Bayar Bil Tadi 'Short' RM100...


Pukul 5.30 petang, aku menerima panggilan telefon dari Bank CIMB. "En. Wan, duit yang encik bayar bil kad kredit tengahari tadi tak cukup seratus. Kalau boleh encik 'check' balik sampul surat tadi, takut ada terselit. Saya Liyana. Apapun, kalau boleh cuba 'settle'kan hari ni".

"Saya dah kira sebelum saya beri pada 'you' tengahari tadi dan mungkin duit orang lain yang 'short' kot?", balasku. "Cuba 'you check' betul-betul", tambahku lagi. "En. Wan, ni bercakap dengan bos saya", balas Liyana.

"En. Wan memang kira betul tadi ya?", sampuk bos Liyana. "Ya, encik. Saya dah pergi Haji, saya tak nak makan duit haram dan saya tak rela dianiaya", balasku. "Tak mengapalah Encik Wan, semua akan 'settle', terima kasih", balas bos Liyana mengakhiri perbualan.

Aku mula merasa was-was. Adakah betul jumlah 3 bil kad kredit yang aku bayar sebelum solat zohor berjamaah di Masjid UTM tadi? Kad kredit 'Direct Access' aku berjumlah RM167.38. Kad kredit 'Direct Access' isteri berjumlah RM988.68 dan kad kredit CIMB aku berjumlah RM651.15.

Sepanjang malam aku berfikir tentang hal ini. Kalau nak dikira, aku tak perlu kisahpun kerana di slip pembayaran sudah tercetak jumlah pembayaran yang aku buat. Tapi.... Kalau betullah aku bayar tak cukup RM100, kesiannya si Liyana kena ganti duitnya.

Keesokannya, aku menelefon Liyana menanyakan sama ada dia sudah terjumpa duit yang 'short' itu. "Tak apalah En. Wan, saya dah ganti dengan duit saya", jawabnya. Akupun bergegas ke CIMB untuk menggantikan duitnya. Walaupun aku tak 'sure' duit akukah yang tak cukup atau dia yang salah catit.

Semasa jamuan makan tengahari fakulti sempena pembentangan 'research progress', aku menceritakan kepada kawan-kawan. Mereka juga pernah mengalami perkara yang sama. PM Dzulkarnain juga pernah dikatakan short RM100 dan beliau membayarnya. Hasmah, isteri PM Dr Ahmad Ariffian juga pernah dikatakan 'short' RM100 tetapi beliau tidak membayarnya.

Rupa-rupanya perkara ini kerap berlaku... Tak pastilah pulak, adakah ianya sudah dibiasakan modus operandinya. Kalau orang tak bayar, I loose nothing tetapi kalau orang terpedaya, I gain extra RM100...

Tuesday, October 27, 2009

Esok Saya Mula Kerja Kat Hidayah...


"Esok saya mula kerja kat Hidayah!", jelas isteriku. Aku hanya diam tanpa berkata apa-apa sambil menikmati nasi goreng udang yang disediakan isteri. Nasi goreng begitu enak dimakan dengan keropok.

"Tiga minggu aje, ganti guru yang bercuti", sambungnya lagi. Aku faham, Sekolah Hidayah adalah segala-galanya bagi isteriku. Apatah lagi setelah berkhidmat lebih 10 tahun di sana sebelum berhenti pada tahun lepas setelah melahirkan Asmaa Solehah.

"Duit yang 'you' dapat akan habis untuk bayar duit jagaan Syakir dan Asmaa aje. Apapun tak dapat, tapi penat aje dapat.", balasku. "Tak apalah, kesian tak ada guru ganti", sambung isteriku lagi.

Aku teringat perbualanku dengan arwah ibu dulu semasa ibu menjalani perniagaan runcit di rumah sekitar tahun 80an. Aku pernah menyuarakan kepada arwah ibu bahawa modal duit dua tiga loripun tak cukup kalau mereka yang datang membeli berhutang tiga empat ratus tetapi bila cukup bulan hanya bayar seratus aje. Dan mereka terus mengambil barangan lagi. Modalpun tak balik apatah lagi untung!

Jawab arwah ibu, "Kalau kita tak bantu mereka, kepada siapa dan kemana mereka hendak mencari barangan makanan". "Untuk kita pula, barangan sudah ada di rumah, nak makan apapun tak payah beli", ujar ibu lagi.

Jadi aku sudah tahu, matlamat atau objektif perniagaan arwah ibu adalah bukan 'profit oriented' tetapi lebih kepada 'sosial obligation' kepada masyarakat. Begitu jua, perkerjaan isteriku sebagai guru ganti...

Dua tiga minggu lepas, isteriku sudah menyampaikan hasratnya untuk menjadi guru ganti. Aku tidak bersetuju kerana sebelum nipun, dia yang mengeluh, penatlah dan sebagainya. Aku sudah merasa selesa dengan keberadaan isteri di rumah walaupun rumah tak sekemas yang aku harapkan. Apa yang nak 'expect' lebih-lebih, kalau anak yang ada kat rumah 8 orang. Kemas sekejap, berselerak semula....

Pernah aku bersuara untuk mengambil 'maid' sebagai pembantunya, dan dia hanya mengarahkan 'maid' tersebut untuk melakukan segala kerja. Cadanganku ditolak isteri. "Susahlah ada 'maid', nanti nak kena jaga aurat dia, dan sebagainya", balas isteriku.

Perkara 'maid' ini biasa di zaman Rasulullah. Fatimah, anak kesayangan Rasulullah (SAW), isteri Saidina Ali (RA) juga pernah menyuarakan hasrat untuk mendapat khidmat 'maid' kerana kerja yang banyak.

Semasa isteriku bersalin pada 24 Oktober 2008, aku menyuarakan kepada isteri supaya dia berehat terus dan tak payah berkerja lagi. "Apa yang kita nak kejar?", tanyaku padanya. "InsyaAllah, saya masih mampu untuk menyara kehidupan kita sekeluarga seadanya", tambahku lagi.

Setelah mendapat respon negatif dariku saban minggu, maka hari ni dia bersuara lagi, tetapi bersuara dengan keputusan yang sudah dibuat. Buatlah apa yang patut, asalkan jiwa dan ragamu bahagia.....

Oleh itu bersedialah aku untuk menghadapi rutin lama isteri. Ia akan berulang lagi! Anak-anak dan isteri akan ke sekolah jam 7 pagi dan kembali ke rumah jam 7 malam. Pukul 9 malam, isteri akan tidur kepenatan dan bangkit semula jam 3 atau 4 pagi. Dan ia berulang, berulang dan terus berulang......

Sunday, October 25, 2009

Hari Lahir Asmaa Solehah


Semalam 24 Oktober, genap setahun umur Asmaa Solehah. Harapanku sebagai seorang ayah hanyalah supaya dia terus membesar dalam keadaan sejahtera, dilitupi dengan iman dan diselubungi dengan Islam. Akhirnya menuju mardhatillah...

Berjalan sudah laju, baik dalam rumah mahupun berkasut di luar rumah. Abang-abang dan kakak-kakak begitu terhibur dengan gelagatnya.

Dengan gigi yang sudah ada 6 batang, makan apa saja yang disuap. Tadi semasa kami makan tengahari berlaukkan budu dan ulam timun, dia asyik makan timun aje. Pantang tengok kita makan, dia mesti hendak makan juga.

Kalau abang atau kakak berada di luar rumah, diapun ingin ikut sama bermain di luar rumah.

Buku-buku di rak yang sampai tangannya, diambil buangnya ke bawah. Pendekata barang-barang berkaca perlu diletakkan di tempat yang tinggi.

Inilah fasa-fasa yang ku lalui sudah 9 kali...

Malam tadi isteri bertanya pasal Syakir kepadaku. "Syakir ni selalu bertanya soalan macam Acik masa kecil dulukan?". Syakir sudah berumur 5 tahun dan selalu menanyakan soalan yang kadang-kadang memerlukan kita berfikir. "Tak pasti pulak saya" jawabku kepada isteri.

Isteri begitu mengingati perkara-perkara begini. Siapa yang pandai bercakap dulu, Siapa yang boleh berjalan dulu, Siapa yang selalu sakit, Siapa yang tak banyak cakap, Siapa yang banyak bertanya, dan sebagainya.

Akupun mungkin dapat mengingatinya jika anak hanya dua orang! Nak mengiakan saja soalan isteri takut dikatakan tidak jujur dalam berbicara. Maklumlah ahli akademik katakan.

Sungguhpun begitu aku tak pernah 'missed' tarikh 'birthday' dan 'anniversary'. Bukan susahpun, di awal tahun bila dapat diary UTM, masuk aje tarikh-tarikh penting tu. Sekurang-kurangnya, apabila tiba masa 'birthday' anak yang mana-mana, kita ucapkan 'Selamat' untuknya. Dan didoakan semoga anak kita ini tetap di dalam landasan Islam dan sejahtera di dunia dan di akhirat.

Apa yang aku ingat pasal anak-anakku ialah apabila mereka hendak membuang air besar mereka akan pergi menyorok di belakang almari ke, kerusi ke. Hanya menyorok muka tapi badan nampak. Mungkin seperti burung Kasawari atau Ostrich, bila ketakutan hanya meletakkan kepalanya di dalam lubang tetapi badannya yang besar itu jelas kelihatan.

Apapun, eloklah kalau kita dapat sama-sama mengingati tarikh-tarikh penting bersama isteri. Kadang-kadang, kita 'couldn't care less' pasal tarikh-tarikh atau peristiwa ini tapi 'sometimes, it means a lot to our partner'. Lagipun, salah satu dari tujuan kita berkeluarga adalah untuk mengembirakan hati isteri atau suami kita....

Friday, October 23, 2009

Betapa Manisnya Ukhuwwah Fillah....


Alangkah bahagianya mereka yang mempunyai persaudaraan kekeluargaan yang intim. Abang bertanya khabar adik, adik menjengok kakak, kakak mengirim buah tangan untuk adiknya, dan berbagai-bagai lagi suasana yang membuat tautan hati antara adik beradik begitu mesra.

Tidak kurang penting juga, suasana persaudaraan dikalangan sahabat yang saling bantu-membantu, ingat-mengingati dan sapa-menyapa. Kadang-kadang persaudaraan sesama sahabat menjadi lebih rapat, akrab, dan mesra dari persaudaraan sesama keluarga sendiri. Apatah lagi jika keluarga kita beribu batu jauhnya. Sahabatlah menjadi tempat kita meminta pertolongan dan diberi pertolongan.

Rasa prihatin, ambil tahu tentang masalah yang dihadapi oleh sahabat mencetus perasaan bahawa kita dipedulikan... Dan kita tidak keseorangan menghadapi masalah.

Saya pernah suatu ketika menghadapi masalah kenderaan rosak kerana kemalangan. Sahabatlah yang membantu meminjamkan keretanya kepada saya berbulan-bulan. Saya tidak dapat melupakan jasa Prof Dr Aizaini diatas pertolongan tersebut.

Saya pernah meminjam wang dari seorang sahabat untuk membayar 'down payment' rumah sebanyak RM9,800 selama 5 bulan tanpa 'interest'. 'That was way back in 1998'. Jasa PM Dr Zaharuddin akan saya kenang sampai bila-bila. 'He could have asked me to borrow it from bank but his kindness was above and beyond expectation'.

Sewaktu saya gagal dalam temubual untuk menjadi pensyarah UTM di penghujung 90an, Prof Ir Dr Mohd Azraai bergegas ke rumah saya di Kolej Siswa Desa Skudai untuk menenangkan hati saya dan seterusnya mempelawa untuk menjadi staf Sekolah Hidayah.

Bibit-bibit sebeginilah yang dapat merapatkan ukhuwwah sesama kita. Ayuh rakan dan taulan, kita semai kembali benih ukhuwwah yang mungkin semakin layu dan sama-sama kita bajai supaya ia terus subur dan berkembang.

Dari Salim r.a. dari bapanya, katanya Rasulullah (saw) bersabda: "Seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim. Dia tidak boleh menganiaya saudaranya dan tidak boleh pula membiarkan saudaranya (teraniaya). Siapa yang membantu (mencukupkan) keperluan saudaranya maka Allah Taala membantunya pula (mencukupkan) keperluannya. Siapa yang melapangkan kesulitan seorang muslim. maka Allah Taala melapangkan pula kesulitannya kelak di hari kiamat. Dan siapa yang menutup kesalahan (rahsia) orang muslim, maka Allah menutupi pula kesalahannya kelak di hari kiamat."(Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2210).

Thursday, October 22, 2009

Diantara Harapan dan Impian...


Setiap ayah dan ibu mengharapkan kejayaan anak-anak mereka. Kalau 9 orang anak-anak mereka, 9 lah. Tiada satupun yang terkecuali. Kejayaan yang diimpikan ialah kejayaan kedua-duanya, ukhrawi dan duniawi.

Ayah dan ibu tidak berpeluang untuk bersekolah seperti sekolah anak-anak. Kalau adapun pada waktu itu, datuk dan nenek kamu tidak mampu untuk menghantar kami ke sana. Tetapi aku merasakan datuk nenek kamu sekurang-kurangnya mampu membuat pertimbangan diantara Sekolah Rendah Kebangsaan yang ada di kampungku dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Inggeris di kampung sebelah. Aku bersekolah di kampung sebelah, yang mana keputusan Peperiksaan Penilaian Darjah 5 lebih baik dari sekolah kampungku sejak dahulu lagi.

Pada masa itu, Sekolah Arab atau sekolah aliran agama kurang mendapat tempat di hati masyarakat.

Dulu tiada UPSR. Yang ada cuma Peperiksaan Penilaian Darjah 5. Semasa di Darjah 5 kita dinilai dan jika mempunyai kelayakan (mendapat keputusan 5A) kita akan memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh di Tingkatan 1 nanti.

Tidak sedikit keringat, tenaga, idea, wang ringgit untuk membangunkan sekolah kita. Pengorbanan wang ringgit dengan nilaian jutaan ringgit telah banyak disumbangkan terutama oleh pakcik-pakcik generasi awal dahulu. Dan saban tahun kita melakukan Malam Badar bagi mendapatkan sumbangan untuk penambahbaikan sekolah.

Ayah dan ibu semestinya mahukan anak-anak mereka meneruskan misi dakwah, mengajak manusia kearah kebaikan dan meninggalkan kebatilan. Keseronokan lebih terasa sekiranya, kita sekeluarga berada dalam satu jamaah yang sama.

Itulah impian dan harapan ayah dan ibu yang berjamaah...

Wednesday, October 21, 2009

Kursus 'Senior Command' Berlalu Pergi


Dalam penglibatanku sebagai seorang 'Territorial Army' (TA), banyak kursus telah ku hadiri. Dan yang terbaru yang telah ku lalui dan terakhir dalam senarai kursus Askar Wataniah ialah Kursus 'Senior Command' atau Pegawai Kanan. Ia berlangsung dari 7 hingga 20 Oktober di Pusat Latihan Askar Wataniah (PUSWATAN) sebagai fasa kedua, yang mana fasa pertama sepatutnya berjalan selama 2 minggu di Pasukan masing-masing.

Banyak pengalaman yang ku timba, baik dari aspek ilmu peperangan mahupun dari aspek kemanusiaan. Ilmu Allah amat luas dan perlu kita pelajari dari semasa ke semasa. "Katakanlah (Muhammad), "Seandainya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu pula" (Al-Kahfi;109).

Dalam aspek ilmu peperangan, kita dibekalkan dengan doktrin kita dan pihak Lanun dibekalkan dengan doktrin Lanun. Kajian terperinci perlu dilihat dari aspek persenjataan kita dan mereka. Kaedah yang paling mudah diingati ialah untuk mengalahkan pihak musuh, kita perlu mendepani mereka dengan nisbah 3:1.

Bagi ku ilmu peperangan dalam kursus-kursus sebelum ini (Ketua Platun, Senjata Kompeni, Staff Duty, Ketua Kompeni adalah lebih kurang sama dengan kursus Pegawai Kanan. Cuma dari segi pendekatan dan level berbeza.

Kalau dulu kita membuat Perkiraan Keadaan (Appreciation) cara lama tetapi sekarang menggunakan kaedah MAP. Kalau dulu setakat kita 'command' Platun atau Kompeni tetapi sekarang di peringkat Batalion.

Kawan-kawan ku dari Rejimen Askar Wataniah siri 500 yang menghadiri kursus ini, merasa seronok kerana mereka bakal menjadi 'Commanding Officer' (CO) kepada satu-satu batalion dan melayakkan mereka memakai pangkat Lt Kol. Bagi kami di PALAPES, jawatan Lt Kol hanyalah untuk Timbalan Komandan yang kebiasaannya dilantik oleh Datuk Naib Canselor dikalangan Timbalan Naib Canselor.

Pengalaman berkawan dan menemui kenalan baru banyak diperolehi. Betullah Rasulullah (SAW) menganjurkan supaya kita bermusafir bersama atau bermalam di rumah kawan kita bagi mengenali hati budi sahabat kita. Sebelum bermusafir kita masih tidak mengenali sahabat tetapi setelah selesai bermusafir barulah kita tahu baik buruk perangainya...

Dari aspek pengajaran dan pembelajaran untuk mendapatkan ilmu, banyak juga ku pelajari! Sumpah serapah jurulatih ku gagahi telinga dan mental tetapi kadang-kadang di usia sebegini, ku berkata dalam hati, "Kenapa aku masih di sini?".

Aku di sini, tidak lain dan tidak bukan kerana ingin mempertahankan negara!

MEJ HJ WAN IBRISAM FIKRY B HJ WAN ISMAIL

Monday, October 5, 2009

Ya Allah! Jauhi Kaum Keluargaku Dari Perbuatan Seperti Umat Nabi Lut (A.S.)


Ya Allah! Hindarilah kaum keluargaku dan masyarakatku dari gejala perbuatan umat Nabi Lut. Mereka akhirnya telah dihujani dengan hujan batu...

Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) ketika dia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedangkan kamu nampak kekejiannya itu?(54)

Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya).(55)

Maka kaumnya tidak menjawab selain dari berkata: Usirlah Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan dirinya bersih suci.(56)

Lalu Kami selamatkan Nabi Lut dan keluarganya serta pengikut-pengikutnya, kecuali isterinya, Kami takdirkan dia menjadi dari golongan yang tertinggal dalam azab.(57)

Dan Kami hujani mereka dengan hujan batu yang membinasakan, maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa orang-orang yang telah diberi amaran.(58)

Katakanlah (wahai Muhammad): Segala puji tertentu bagi Allah dan selamat sejahtera kepada hamba-hambaNya (Nabi-nabi) yang dipilihNya. Manakah yang lebih baik? Allah (yang demikian kekuasaanNya) atau benda-benda yang mereka jadikan sekutu-sekutu bagiNya?(59) (An-Naml; 54-59).

Saturday, October 3, 2009

7 Sifat Menjadikan Orang Mukmin Beruntung


Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. (1)
Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. (2)
Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. (3)
Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). (4)
Dan mereka yang menjaga kehormatannya. (5)
Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. (6)
Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. (7)
Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. (8)
Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. (9)
Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. (10)
Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya. (11)
(Al-Mu'minun; 1-11)

Tujuh sifat orang Mukmin yang menyebabkan keberuntungan mereka di akhirat dan ketenteraman jiwa mereka di dunia... Mudah-mudahan kita dapat mengamalkannya. Amin!