Saturday, July 31, 2010

Tahap Sayang Kepada Anak Dan Harta...


Semua orang sayang kepada anak dan harta. Tahap kesayangan mungkin berbeza. Seseorang yang mempunyai seorang anak, mungkin sayangnya lebih kepada anaknya berbanding dengan mereka yang mempunyai ramai anak. Ini tidak bermaksud mereka yang mempunyai ramai anak, tidak sayang kepada anak-anak mereka. Mungkin kesayangan kepada anak seorang adalah kesayangan "melampau" kerana tiada lagi anak lain jika apa-apa berlaku kepada anak ini.

Begitu juga seseorang yang mempunyai sebuah kereta. Kesayangan kepada kereta itu mungkin segala-galanya kerana itulah yang dia ada dan mampu dimilikinya walaupun sebuah viva. Jika kereta itu rosak, ke hulu ke hilirlah memikirkan bagaimana hendak membaikinya dengan keterbatasan wang yang ada.

Tetapi kepada yang mempunyai 2 atau lebih kereta, mungkin perasaan sayangnya tidak seberapa kerana jika yang ini rosak, dia mungkin mampu untuk memperbaiki atau membeli yang lain.

Kita juga selalu dengar tahap pengorbanan seseorang untuk infaq atau bersedekah di jalan Allah. Mereka yang mempunyai RM10 dan berderma sebanyak RM5 tidak sama dengan mereka yang mempunyai jutaan RM dan bersedekah sebanyak RM10. Tahap atau tingkat pengorbanan berbeza!

Oleh itu, kita perlu mengukur badan samaada kita mampu untuk membuat pengorbanan di tahap mana? Sekiranya kita mampu berderma setaraf petani maka berdermalah seperti petani tetapi jika kita mampu infaq lebih maka seharusnya kita berinfaq lebih.

RM5 nampak kecil bagi seorang jutawan tetapi begitu besar kepada seorang petani yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Wednesday, July 28, 2010

Puasa Belum Bermula, Perkiraan Hendak Balik Raya Sudah Dibuat...

Memang budaya kita begitu... Hari Raya difikirkan dulu sebelum datangnya Ramadhan! Bagi sesetengah keluarga ia bakal menjadi isu besar. Silap-silap haribulan, satu pertengkaran sengit mungkin terjadi.

"Awak tak apalah, orang tua sudah tiada tapi saya masih ada orang tua", jelas isteri seolah-olah si suami tak tahu. "Kalau anak-anak kita buat macam gitu kat awak nanti, macamana?", sambung si isteri.

"Tak boleh ke, kita balik kampung lepas raya? Hari Raya pun, jalan jamped, nak ke mana pun tak boleh!", balas si suami. "Mana boleh, ibubapa saya memang hendak anak-anaknya berkumpul di hari raya...", balas si isteri.

Kalau diteruskan lagi perbincangan maka ia akan menyemarakkan lagi kemarahan si isteri seolah-olah si suami tidak faham-faham betapa besarnya hari raya buat si isteri. Itu belum lagi bincang pasal baju raya, persiapan dalaman rumah seperti kain langsir, perabot, dan sebagainya.

Bila keadaan tegang, si suami seharusnya berdiam dulu. Apa-apa rasionalpun diberikan pada waktu ini, sudah pasti tidak dapat ditelan oleh si isteri. Maka, langkah yang terbaik ialah usah disambungkan perbincangan pasal raya lagi.

Mungkin yang terbaik ialah si suami boleh menyambung dengan mengatakan bahawa, "InsyaAllah kita akan balik tetapi yang lebih penting kita membuat persiapan untuk memenuhi bulan Ramadhan yang penuh berkat dan pahala berganda ini. Kitapun belum tentu hidup sampai raya nanti...".

Itulah senario perbualan masyarakat umum. Mereka lebih mengutamakan Hari Raya berbanding sebulan bulan Ramadhan.

Persiapan untuk menghadapi Ramadhan seharusnya menjadi prioriti tetapi sebaliknya pula terjadi. Belum tentu lagi tahun depan kita dapat berjumpa dengan bulan Ramadhan dan beramal di bulan yang penuh barakah itu.

Buku "Buyutuna fi Ramadhan" yang disusun oleh Abdul Wahid Al Wakil, berharga RM12 mungkin boleh dijadikan contoh bagaimana sebuah keluarga Islam seharusnya bersiap siaga menerima kedatangan bulan Ramadhan.

Menjelang ketibaan Ramadhan, orang beriman mempunyai reaksi dan persediaan yang tersendiri. Mereka telah merasai sebelum ini keseronokan dengan kedatangannya, kemeriahan dengan kehadirannya dan wangian rahmatnya. Perasaaan rindu ini tidak pudar. Mereka tidak putus-putus berdoa:

"Ya Allah, temukanlah kami dengan Ramadhan"

Buku Buyutuna fi Ramadhan ini ditulis sebagai panduan untuk seisi keluarga mencorakkan suasana rumah di bulan ramadhan dari segi solat, berpuasa, membaca Al-Quran, solat tarawikh, menghadap hidangan dan sebagainya. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada sebelumnya.

Saturday, July 24, 2010

Menjadi Fasilitator 'UTM Top Management Team Building Programme' Dan Panel Pemilihan Kadet PALAPES


Kadang-kadang kita melaksanakan tugas bukan kerana kita ingin melakukannya tetapi kita diminta tolong untuk melakukannya. Begitulah tugas ku sebagai fasilitator untuk 'UTM Top Management Team Building Programme'. Aku diminta oleh Prof Dr Azlan Abdul Rahman untuk membantu beliau.

Sebenarnya aku telah memaklumkan kepada Prof Azlan bahawa aku agak sibuk dengan pengajian PhDku. Dan aku tiada semasa proses perancangan program tersebut kerana aku berada di Kedah memungut data selama sebulan.

Bila aku kembali ke UTM, aku dipanggil lagi untuk perbincangan dan seterusnya melaksanakan 'team building programme' di Taman Negara Tanjung Piai dari 22 hingga 24 Julai 2010. Sebenarnya program bermula di Markas PALAPES dengan acara menembak senjata M-16 pada 22 Julai. Kemudian baru kami bertolak ke Tanjung Piai.

Alhamdulillah, aku melaksanakan tugas tersebut setakat yang mampu walaupun rasa kebersamaan tidak sepenuhnya kerana sempat hadir mesyuarat hanya dua kali.

Ramai dikalangan pegawai atasan ini telah ku kenal semasa menjadi pengetua dulu tetapi ada juga yang baru ku kenali. Oleh itu, tidaklah terasa kekok sangat bila bersembang dengan mereka.

Aku juga sempat berbual dengan seorang profesor yang mengidap penyakit buah pinggang. Beliau terpaksa membuat dialisis 3 kali seminggu.

"Prof. tak nak buat 'kidney transplant' ke?", tanyaku. "Duit gaji saya habis untuk membayar yuran pengajian universiti anak-anak dan minyak kereta anak-anak", balasnya. "Nak minta buah pinggang anakpun, mereka masih muda dan masih jauh perjalanannya berbanding dengan saya", sambungnya lagi.

"Prof. tidak memanjakan anak-anak ke dengan berbuat demikian?", tanyaku lagi. "Tak... Duit pinjaman PTPTNpun dapat tak seberapa, lagipun kereta anak itupun digunakan untuk buat dakwah... Saya juga membuat infaq kepada pertubuhan NGO. Dan jikalau RM250,000 digunakan untuk menggantikan buah pinggang saya maka tiadalah yang dapat saya berikan kepada pertubuhan-pertubuhan NGO... Tambahan pula sayapun dah 'senja'...", balas prof. itu lagi.

Terkedu aku mendengar pengorbanan profesor tersebut. Kebanyakan orang lain, dirinya didahulukan tetapi prof. ini mementingkan ahli keluarganya dan dakwah. Subhanallah, mudah-mudahan prof. dipanjangkan usia dan istiqamah di medan dakwah...

Aku terpaksa bertolak balik dari Tanjung Piai malam tadi kerana pagi ini terlibat pula dengan temuduga bakal-bakal pegawai kadet PALAPES.

Proses temuduga berjalan agak lama dari 8.30 pagi hingga 4.00 petang dan melibatkan 97 bakal pegawai kadet. Kalau nak diikutkan senarai mereka yang memohon hampir 200 orang pelajar tetapi ada yang tak dapat hadir kerana mengikuti kursus di peringkat fakulti.

Kepada yang tak dapat hadir, mereka akan ditemuduga oleh Ketua Jurulatih pada hari Isnin petang. Ini adalah kerana pada pagi Isnin, pelajar-pelajar tahun satu diwajibkan menghadiri upacara perasmian Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim oleh DYMM Sultan Johor.

Tuesday, July 20, 2010

Mengenali Kiblat Kita Yang Pertama

Artikel ini saya ambil dari blog aqsasyarif Johor. Agsa Syarif banyak membuat kutipan derma, menaja anak yatim, dan lain-lain kepada rakyat Palestin. Seratus peratus (100%) kutipan akan dihantar ke saudara kita di Palestin, janji Pengerusinya Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus, yang juga salah seorang peserta Floatilla Mavi Marmara.

Bagaimana Aqsa Syarif boleh terus berdiri teguh jika 100% kutipan dihantar ke Palestin? Apa yang dapat kita bantu?

Saudara-saudara membantu petugas Aqsa Syarif dengan membeli pelbagai barangan yang dijual di gerai mereka. Sebahagian dari keuntungan akan digunakan untuk pentadbiran mereka. Marilah kita berbelanja di gerai Aqsa Syarif...

Al-Aqsa sebenarnya bukanlah hanya Dome of The Rock (bangunan berkubah emas). Al-Aqsa juga bukanlah hanya bangunan masjid yang berkubah hijau. Masjid yang berkubah hijau itu dipanggil al-Jami’ al-Aqsa (Masjid Jamek al-Aqsa).

Al-Jami’ (Masjid Jamek) membawa erti masjid itu digunakan untuk sembahyang jumaat. Orang Arab selalu menggunakan nama masjid untuk merujuk kepada rumah ibadat orang Islam walaupun ia merujuk kepada tempat kecil seperti surau, ia tetap dipanggil masjid. Ada juga istilah lain yang mereka guna seperti musalla dan sebagainya. Jadi, jangan keliru dengan perkataan masjid, yakni ada kalanya ia merujuk kepada surau, musalla atau tempat solat yang tidak dibuat solat jumaat.

Bangunan-bangunan ‘al-Jami’ ‘ dan ‘Dome’ itu, mengikut sejarah Islam, masih belum wujud ketika Nabi Muhammad s.a.w pergi ke situ dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Ketika Nabi s.a.w pergi pada waktu itu, tempatnya adalah lapang. Ia dikelilingi tembok sahaja. Kawasannya luas, lebih kurang 144 ekar.

Bangunan-bangunan berkubah emas dan berkubah hijau ini dibina selepas Rasulullah wafat. Bangunan tempat solah Berkubah Hijau telah dibina oleh khalifah Umar Ibn Al-Khattab RA. Bangunan Berkubah Emas pula telah dibina oleh khalifah Abdul-Malik Ibn Marwan. Mengikut turutan masa: Rasulullah – Umar – Abdul Malik.


Keduanya berada dlm kawasan Masjidj Al-Aqsa. Berbangunan atau tidak berbangunan, keseluruhan kawasan masjid berpagar yang dibina oleh Nabi Sulaiman ini (seperti ditandakan dengan garisan hijau dalam gambar di atas) adalah keseluruhan Masjid Al-Aqsa. Inilah maksud al-Masjid al-Aqsa yang disebut di dalam surah al-Isra ayat 1.

Jadi, di mana sahaja kita solat di dalam kawasan itu, samada dalam al-Jami’ atau dalam Bangunan Berkubah Emas (Dome of The Rock), pahalanya sama, iaitu pahala mereka yang solat di al-Masjid al-Aqsa. Itulah yang disepakati oleh ulama’ tafsir, ahli sejarah dan cendikiawan Islam. Maka mempertahankan Al-Aqsa mestilah bermakna mempertahankan keseluruhan kawasan berpagar itu.

Abdullah ibn umar bertanya pada Rasulullah SAW “Ya Rasulullah, terangkan kpd kami hukum menziarahi BaitulMaqdis. “Jawab Rasulullah SAW, Ziarah dan solatlah di sana. Sekiranya tidak mungkin (ziarah dan solat) maka kirimkanlah minyak untuk lampu-lampu (bagi menerangi masjid) – Sahih Bukhari

Jika membiayai pengurusan masjid manjadi tanggungjawab seluruh umat Islam apatah lagi tanggungjawab untuk membebaskannya dari penaklukan dan cengkaman musuh. Lantaran itu Sayidina Umar al Kahttab RA telah mengistiharkan Baitul Maqdis yang melengkari masjid al Aqsa sebagai tanah wakaf umat Islam yang wajib dipertahankan sepanjang zaman sebaik sahaja menerima kunci kota tersebut setalah ianya dibuka dan dibebaskan dari cengkaman kerajaan Rom timur (Byzantium).

Artikel asal: http://aqsasyarifjohor.blogspot.com/
Rujukan: http://iroslan.blogspot.com/2007/03/membongkar-keluasan-al-aqsa.html

Monday, July 19, 2010

Hari Keluarga IKRAM Johor Bahru Tengah


Pada Ahad semalam berlangsung Hari Keluarga Pertubuhan IKRAM Malaysia, Cawangan Johor Bahru Tengah (JBT). Program yang berlangsung dari jam 7 pagi hingga 10.30 pagi di Hutan Bandar Mutiara Rini mendapat sambutan yang menggalakkan.

Program dimulakan dengan ucapan Yang Dipertua IKRAM JBT, Prof. Madya Dr Hj Tholuddin Mat Lazim, yang memberi peringatan tentang keperluan beriadah. Beliau juga mengharapkan program-program IKRAM JBT yang lain juga akan mendapat sambutan dari ahli dan masyarakat.

Kemudian para hadirin dijamukan dengan sarapan pagi. Antara menu yang disediakan ialah nasi lemak, lontong kering, buah-buahan, kuih-muih dan air mineral Hidayah.

Selepas sarapan selama setengah jam, kita semua mula melakukan "warming-up" dan "stretching", yang diketuai oleh Salman Hishamuddin. Banyaklah sendi-sendi dan urat-urat ditarik dan disental supaya mempunyai elastisiti kembali. Urat-urat yang telah kenyal, mungkin beransur bergetah semula...

Kemudian kumpulan ikhwah dan akhawat menjalani program yang berbeza. Kumpulan ikhwah dibahagikan kepada tiga kumpulan. Satu kumpulan akan berada di dalam bulatan besar, dan akan dibaling bola ke arah mereka. Sesiapa yang terkena bola dari paras lutut ke bawah dikira 'out'. Sekiranya bola terkena di bahagian atas lutut, maka balingan itu dikira 'fault' dan peserta akan 'remain' dalam bulatan. Apabila kesemua peserta kumpulan tersebut telah mati, maka kumpulan seterusnya pula akan berada di dalam, dan dua kumpulan lagi akan membaling bola ke arah mereka yang berada di dalam bulatan.

Habis permainan 'bola baling kaki', kumpulan yang sama dikehendaki membuat 'jalan laju' mengikut laluan yang telah ditetapkan. Jika peserta berlari maka ia dikira sebagai 'disqualified'. Kumpulan yang pertama menamatkan perjalanannya dikira kumpulan yang menang, tetapi setiap anggota kumpulannya perlu menamatkan perjalanan tersebut.

Kumpulan akhawat kelihatan menjalankan program yang lebih 'soft' iaitu dengan mengikat mata sambil mengenali antara satu sama lain.

Ini amat bertepatan dengan motto IKRAM iaitu Ukhuwwah Teras Kegemilangan atau "Brotherhood, the Foundation of Glory". Semoga dengan berlangsungnya Hari Keluarga ini, ia akan merapatkan lagi hubungan sesama ahli.

Aku sekeluarga turut hadir walaupun Sakinah demam. Sekembali dari program ini, kami singgah di Klinik Maimunah di Taman Sri Putri bagi pemeriksaan ke atas Sakinah dan Rasyid, yang bengkak kelopak mata kanannya...

Saturday, July 17, 2010

Susah Nak Jawab Bila Anak Bertanya Sesuatu...

Aku kadang-kadang susah nak jawab pada anak bila mereka tanya sesuatu yang sepatutnya berlaku begitu tetapi kita yang merubahnya kepada yang lain. Kenapa kita merubahnya? Kita membuat perubahan kerana ada maslahah-maslahah tertentu yang diambil kira, yang mungkin si anak belum sampai akal pemikirannya untuk berfikir sampai ke tahap itu.

Apa yang dia nampak 1 + 1, mesti jawabnya 2. Tidak akan keluar jawapan yang lain, sama ada 3, atau 4 atau yang lainnya.

Begitulah dalam sistem kehidupan hariannya. Mesti berlaku mengikut adat biasa. Tidak ada kuasa 'magic' yang boleh mengubah apa jua keputusan yang akan berlaku.

Tetapi kadang-kadang manusia boleh bertindak di luar kebiasaan! Aku teringat masa pemilihan kriteria pegawai kadet terbaik sebuah IPTA untuk pentauliahan.

Si A mempunyai markah yang tertinggi dari segi ilmu ketenteraannya dan 'Cumulative Grade Point Average' (CGPA) pelajarannyapun 3 'point' lebih. Manakala si B mendapat markah ilmu ketenteraan yang kurang dari si A tetapi CGPA yang lebih tinggi.

Akhirnya, si B yang dapat hanya kerana si A bertanding dalam Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) bukan diatas tiket pro inspirasi tetapi pro mahasiswa.

Kita berhujjah bahawa seorang askar tidak boleh berpihak kepada pembangkang dan mesti sentiasa taat kepada pemerintah. Apabila bertanding mestilah mewakili pihak kerajaan.

Kita tidak melihat lebih jauh bahawa seseorang itu bertanding kerana pihak universiti membenarkan pertandingan. Kalau diharamkan bertanding, sudah pasti dia tidak akan bertanding. Dia mungkin juga bertanding kerana ingin menguji 'market'nya.

Kita juga mudah melabel, "if you're not with us, you're against us!" Sebenarnya tidak begitu. Secara tidak langsung, kita telah memberi gambaran kehidupan yang tidak sihat kepada anak muda ini. Atau dalam bahasa kasarnya, kita telah mengajar erti kehidupan yang kurang betul kepada anak muda yang akan menerajui negara suatu hari nanti.

Kepada anak muda tadi, jika dia ambil secara positif, insyaAllah dia akan lebih arif dan matang di masa depan. Tetapi jika dia mengambil secara negatif, dia akan membiar dendam kesumat membara dalam dada dan buat selama-lamanya membenci kita di pihak kerajaan.

Monday, July 12, 2010

Berfikir Sejenak...


Kadang-kadang aku terfikir kenapa Rasulullah (SAW) tidak mahu kaya... Seorang pemimpin Agung memilih jalan untuk hidup susah... Kita selalu dengar apabila Rasulullah balik ke rumah dan didapati tiada makanan maka beliau berpuasa.

Bapa mertua dan sahabat beliau Abu Bakar (RA), bukan orang susah, sentiasa menderma di jalan Allah melebihi orang lain.

Takkan Abu Bakar ingin melihat anaknya Aisyah (RA) hidup susah disamping Rasulullah. Tak bolehkah Abu Bakar berikan sedikit hartanya untuk Aisyah (RA) kalaupun tidak untuk Rasulullah (SAW).

Begitu juga Umar (RA), seorang sahabat dan bapa mertua kepada Rasulullah. Sering berlumba untuk infaq di jalan Allah dengan Abu Bakar. Takkan Umar (RA) tidak kesian melihat anaknya Hafsah hidup susah bersama Rasulullah...

Tetapi begitulah hakikatnya, Rasulullah sering mendahului orang lain berbanding untuk diri dan keluarganya. Jika ada sebarang makanan, orang lain yang lebih susah didahulukan...

Kadang-kadang aku terfikir, adakah aku termasuk dalam kategori orang susah? Gaji RM7 ribu, anak sembilan orang dan isteri seorang (surirumah).

Aku fikir tidak... Aku jauh lebih mewah dan berharta berbanding Rasulullah... Tetapi kenapa aku begitu susah untuk membelanja kepada jalanMu ya Allah?

Perlukah aku tunggu dulu sehingga mempunyai harta bertimbun, rumah besar, dan kereta besar, baru hendak aku dermakan kepada jalan dakwah? Tidak inginkah aku memiliki barangan mewah seperti kawan-kawan yang lain? Rumah penuh dilengkapi perabot, kereta yang selesa untuk ke sana sini? Handphone blackberry yang senang disambungkan ke internet?

Subhanallah! Bandingkanlah diriku dengan Rasul junjungan. Betapa mewahnya aku, betapa kayanya aku, betapa berhartanya aku...

Kemahuan dan keinginan sentiasa ada... Cuma, pernahkah aku puas dengan apa yang aku ada?

Aku masih ingat masa aku mula-mula kerja dulu. Hanya bergaji RM500, kemudian meningkat RM1,110, dan meningkat lagi RM1,230, dan terus meningkat hingga RM7,000. Pernahkah aku merasa, wallah, pendapatanku kini sudah memadai!

Tidak. Aku tidak pernah merasa puas dengan apa yang aku ada. Mahu lagi, mahu lagi, dan mahu lagi...

Itulah harta dunia, kita takkan puas mencarinya... Kalau ada hendak lagi, hendak lagi, dan hendak lagi...

Ayuh kawan-kawan, jangan biarkan sekolah kita ketiadaan wang untuk membayar gaji guru-guru tetapi kita masih hidup mewah dan yuran sekolah anak-anak masih berhutang. Utamakan yuran sekolah anak-anak kita berbanding perbelanjaan yang lain. Jangan biarkan isytirakat kita tertangguh bayarannya tetapi kita masih mewah berbelanja...

Ayuh kawan-kawan, jangan tunggu untuk membuat perkara baik. Jangan tunggu sehingga mata kita sudah terpejam dan apa yang dimiliki sudah tidak berguna lagi, baru ingin membuat kebajikan... Ayuh bersegeralah membuat kebaikan...

Sunday, July 11, 2010

SMIH Mara Ke Pusingan Akhir Bagi Acara Debat...

SMIH masih unggul dalam acara debat Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI) dan Bahasa Arab (BA) apabila menempah ke pusingan akhir bagi ketiga-tiga kategori.

Kejohanan debat Antarabangsa ke 2 anjuran MUSLEH Bhd, Pertubuhan IKRAM Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan International Centre for Educational Excellence Berhad telah diadakan di Hotel Putra, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sejak beberapa hari lalu. Kejohanan ini telah menarik 158 penyertaan dari 40 pasukan, termasuk dua dari Indonesia.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yg Berbahagia Datuk Zamani Hj Sulaiman, Setiausaha Dewan Negara, Jabatan Parlimen Malaysia hari ini.

Menurut PM Dr Nordin Yahya, Ketua hakim debat iaitu PM Dr Rahmah H Osman dari UIAM telah mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur.

"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada penganjur kerana berjaya mengadakan event ini. Saya hampir tidak percaya perkara ini berlaku (debat Bahasa Arab), kami di UIA telah memperjuangkannya sejak tahun 2002, namun tidak berjaya. Saya bangga kerana anak-anak ini mampu membahas dengan baik dan ada isi walaupun tajuk yang diberi adalah tajuk yang berat," ujar beliau.

PM Ainollotfi merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan SMIH dalam facebooknya, "Tahniah kepada pasukan debat Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor Bahru. Ketiga-tiga pasukan debat BM, BI dan BA telah memasuki Final dalam Kejohanan Debat Antarabangsa Pelajar ke 2. Final debat BA melawan KISAS. Esok Final bagi BM dan BI. Pasukan debat BM SMIH (A) kalahkan SAS, dan BI, SMIH kalahkan MCKK tadi dalam semifinal."

Walau bagaimanapun, SMIH hanya menjuarai acara debat BM dan menjadi Naib Juara bagi acara debat BI dan BA. Keputusannya adalah seperti berikut;

Bahas BA
KISAS - Johan
SMIH (A) - Naib Johan
Pendebat Terbaik: UKHTI NURFARHANAH dari KISAS

Bahas BI
SRI AYESYA - Johan
SMIH (A) - Naib Johan
Pendebat Terbaik: NURKAMILIA dari SRI AYESYA

Bahas BM
SMIH (A) - Johan
KISAS - Naib Johan
Pendebat Terbaik: MOHD FIRDAUS dari KISAS

Syabas dan tahniah buat SMIH!!!

Semua Pelajar 9A+ Dapat Biasiswa JPA...

Semua pelajar cemerlang yang memperolehi 9A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Begitulah apa yang disiarkan dalam akhbar hari ini... Hari itu, dengar kata duit tak cukup, JPA hanya taja 2,000 orang aje keluar negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemberian biasiswa untuk pengajian ke luar negara atau dalam negara itu merangkumi semua pelajar tidak mengira etnik, kaum, keturunan dan latar belakang. Eloklah kerana yang kaya juga membayar cukai pendapatan.

Menurutnya, keputusan yang dibuat oleh Kabinet itu semata-mata untuk mengiktiraf pelajar cemerlang. Saya sangat bersetuju dengan keputusan ini kerana pelajar yang mendapat 9A+ akan merasa diri mereka dihargai.

"Keputusan ini bagi saya merupakan satu sejarah dan pencapaian yang tidak pernah dicapai sebelum ini khusus untuk pelajar-pelajar cemerlang di negara ini," katanya berucap pada perasmian Perhimpunan Agung MIC hari ini.

Najib berkata, keputusan itu juga jelas membuktikan 1Malaysia bukan setakat slogan tetapi telah dilaksanakan oleh kerajaan di bawah kepimpinannya. Baguslah. Cuma jangan disamakan semuanya!

Orang kata berlaku adil kepada anak-anak ialah memberi hadiah mengikut tahap mereka; anak yang besar mungkin diberi komputer notebook dan yang kecil diberi mainan aje!!! Begitu juga mereka yang beristeri ramai, katanya berlaku adil melihat kepada keadaan isteri. Isteri pertama yang mempunyai anak ramai wajar diberi kenderaan atau kediaman yang lebih besar berbanding isteri seterusnya yang tiada anak hanya memadai dengan Kancil atau rumah teres setingkat aje!!!

Saya cuma risau tentang kursus kami, Pertadbiran dan Pembangunan Tanah, sejak 3-4 tahun kebelakangan ini majoriti pelajarnya adalah bukan Islam. Kalau semua kursus begitu di IPTA, saya takut jurang pelajar Islam dan bukan Islam akan makin membesar...

Friday, July 9, 2010

Persiapan Menempuh Ramadhan 1431H/2010


Setelah balik dari Jitra / Alor Setar, banyak berita kematian yang aku dengar.

Pertama, mantan dekan Fakulti Alam Bina, Prof. Dr. Supian bin Ahmad telah meninggal. Arwah Prof. Supian kenal aku mungkin kerana aku pernah jaga anaknya di KSDS, kemudian kami pindah Kolej 12, dan akhirnya ke Kolej 16 & 17. Aku sebagai Pengetua dan anaknya sebagai JKM Kolej. Akupun dah lupa nama anaknya, rasanya Amin?

Kedua, bilal MSI, Ustaz M Salleh bin Dangkek pun meninggal. Setahu aku, Ust Salleh dari dulu berulang alik dari Pontian ke MSI, UTM. Begitu juga waktu Subuh... Beliaulah yang mengazankannya.

Seingat aku, aku pernah bayar dia makan suatu masa di Kafetaria Noor dulu. Bukan nak bangkit tapi sekadar mengajar hati supaya sentiasa menjadi pemurah dan lembut kepada mereka yang berjuang dalam hal agama.

Ya Allah, Engkau cucurilah rahmat kepada roh kedua-dua orang yang aku kenali ini. Tempatkan mereka bersama para pejuang agamaMu, Ya Allah.

InsyaAllah, lebih kurang sebulan lagi Ramadhan 1431 bakal menjelma.

Sentiasalah kita berdoa seperti sahabat-sahabat Rasulullah (SAW) supaya kita sempat berada di bulan yang penuh pahala dan keberkatan ini. Allahummaba riklana pi Rejabi wa Syaaban waballiqna pi Ramadhan... Ya Allah, Engkau berkatilah bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan daku ke bulan Ramadhan.

Kita takut kita tak sempat sampai di bulan Pesta Pahala. Bulan yang melimpah ruah pahala yang Allah ganjarkan kepada makhluknya. Dan yang kemuncaknya pula ialah Malam Lailatul Qadr... Ya Allah, ketemulah aku sekali lagi dengan malam lailatul qadr.

Kita panjatkan doa dan berazam sedaya upaya untuk beramal di Ramadhan 1431 dengan lebih giat lagi. Mudah-mudahan Ramadhan 1431 adalah yang terbaik sepanjang hayat hidupku... Amin!!! 11 Ogos 2010 begitu dinanti...

Sunday, July 4, 2010

Artikel Menarik Di Mingguan Malaysia...

Hari ini saya membaca 3 artikel yang agak menarik di Mingguan Malaysia. Pertama, Karpal lawan Nik Aziz, satu wawancara yang dibuat dengan Profesor Aziz Bari. Kedua, Benteng hindari zina, ruangan Harussani Zakaria menulis. Ketiga, Beza antara kawan dan sahabat, ruangan Dr. Mohd Ridhuan Tee.

Pada saya ketiga-tiga artikel ini sangat bagus dan saling kait mengait.

Mengenai Karpal lawan Nik Aziz, ia menceritakan tentang penekanan isu negara Islam. Menurut Prof. Aziz, kedua-dua ahli politik tersebut bercakap tentang negara Islam dari perspektif yang berbeza dan akhirnya rakyat bukan Islam keliru dan tidak berminat dengan Islam. Oleh itu, bagi Prof. Aziz usah diperbincangkan tentang negara Islam kerana dia akan lebih merosakkan dari memperbaikinya. Menurutnya lagi, apa yang dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman adalah sebaliknya, iaitu Tunku mengatakan negara ini adalah sekular tapi dari apa yang dilakukan tidak menunjukkan demikian. Tunku membuat Masjid Negara, Majlis Hal Ehwal Islam, PERKIM, tilawah Al-Quran, dan pelbagai lagi semua dengan duit kerajaan.

"Memanglah Nik Aziz begitu mempertahankan Islam sebagai agama yang cantik tetapi orang bukan Islam tidak melihat begitu. Mereka melihat imej orang Islam yang pemalas, mat rempit, buang anak, rasuah, nepotisme, dan sebagainya. Itu yang mereka lihat kepada orang Islam", jelas Prof. Aziz.

Apa yang penting bagi Prof. Aziz ialah kita pergiatkan lagi dari segi perbankan Islam, kebajikan, pendidikan Islam, sistem Ar-Rahnu, dan lain-lain dari banyak bercakap tentang negara Islam.

Mufti Harussani, mengulas mengenai isu kajian UPM tentang 300 remaja Melayu berusia 13 hingga 25 tahun terlibat dengan salah laku seksual dan seks bebas. Beliau mengulas tentang ayat 32, surah al-Isra', "Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

Beliau turut menghuraikan tentang "jangan menghampiri" iaitu larangan dari mendekati perbuatan zina seperti majlis parti sosial, kelab malam, pengeksploitasian wanita dalam pengiklanan, penggunaan internet yang lucah, dan sebagainya.

"Namun hakikat yang dapat kita katakan bahawa suasana hari ini, sememangnya mendorong kepada zina. Lihat saja di sekeliling kita, remaja bebas berpeleseran dengan pasangan masing-masing di taman dan pasar raya, poster atau gambar wanita bukan sekadar mendedahkan aurat malah dalam keadaan menggiurkan tujuan mengiklankan barang-barang yang tiada kena mengena pun dengan wanita", ujar Mufti Harussani.

Menurut Mufti Harussani, kita perlu undang-undang dan penguatkuasaan yang lebih tegas dalam menangani masalah ini.

Dr. Ridhuan Tee membicarakan tentang persahabatan antara PAS dan DAP, yang mana DAP digelarkan sebagai golongan ultra kiasu.

"Saya tidak berkawan dengan ultra kiasu, tetapi ramai juga bukan ultra kiasu yang memeluk Islam di tangan saya. Ingin saya bertanya kepada PAS, sekian lama berkawan dengan ultra kiasu, berapa ramaikah yang telah memeluk Islam kerana terpikat dengan keislaman yang telah ditunjukkan oleh PAS? Sejauh mana dakwah PAS berkembang kepada mereka? Adakah mereka semakin dekat dengan Islam atau semakin memusuhi Islam? Cuba tanya soalan ini kepada pemimpin veteran ultra kiasu itu?", soal Dr. Ridhuan Tee.

Apa yang disarankan Dr. Ridhuan ialah supaya PAS bersahabat dengan UMNO.

"Seringkali saya ulang, UMNO tidaklah sejahat yang disangka. Yang jahat, jahil dan korup hanya segelintir. Mereka sudah menjadi semakin tidak popular. Masih ramai yang baik. Mereka tidak ada pilihan untuk memperjuangkan nasib Melayu dan Islam melainkan di dalam UMNO. Maka, tidak hairan jika mereka terus berada di dalam UMNO sebagai platform untuk berjuang dan memainkan peranannya. Saya amat faham aspirasi dan inspirasi mereka walaupun ada yang gagal separuh jalan. Namun perjuangan perlu diteruskan. Kita tidak seharusnya membiarkan kapal terus karam. Tidakkah bekerjasama itu lebih baik bagi menyelamatkan Islam?", tanya Dr. Ridhuan.

Pada saya, seorang pejuang bangsa terulung negara ialah Tun Abdul Razak kerana beliau begitu memikirkan masa depan orang Melayu dan orang Islam. Tanah-tanah hutan dibuka sekitar tahun 1970an, demi memberi peluang dan ruang kepada orang-orang Melayu yang tidak bertanah untuk memiliki tanah. Agenda rakyat begitu diutamakan dan bukan setakat slogan.

Slogan Rakyat diutamakan hanya gimik politik bagi pemimpin masa kini. Rata-rata mereka yang berjuang dalam UMNO dewasa ini hanyalah untuk kepentingan peribadi. Kita pernah melihat Tun Abdul Razak berbasikal memasuki kampung-kampung, walhal beliau mempunyai kemudahan kereta dan sebagainya.

Berapa ramai pemimpin UMNO yang masih mendiami rumah asal mereka, kenderaan asal mereka? Berapa banyak rumah baru dan kereta mewah mereka? Pada saya, bukanlah pemimpin tidak boleh hidup kaya tetapi sedarlah dan berpadalah...

Usah bercakap pasal kediaman dan kenderaan selesa kepada petani dan nelayan. Berapa ramai lagi petani, nelayan yang masih kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Mungkin tidak ada lagi mereka yang begitu mengutamakan rakyat seperti Tun Abdul Razak.

Pada firasat saya, UMNO tidak ikhlas dan tidak serius memperjuangkan nasib orang Melayu. Kalau Sabah dan Sarawak, yang majoritinya bukan Melayu dan bukan Islam, kita berikan royalti minyak. Apalah salahnya, royalti minyak juga diberi kepada negeri yang lebih 90% orang Melayu dan Islam.

Betapa seronoknya, bila melihat Kelantan telah banyak melaksanakan saranan Mufti Harussani dan Prof. Aziz. Tiada iklan mengeksploitasi wanita, Perbankan Islam digunakan kerajaan negeri, Ar-Rahnu, bantuan orang tua, pelanggan wanita dan lelaki diasingkan di pasaraya, dan lain-lain.

Buatlah apa saja untuk memartabatkan Islam... Cuma jangan panggil negara Islam...

Thursday, July 1, 2010

Kerja Ditempat Yang Kita Boleh Kerja...


Satu lagi pengalaman berinteraksi dengan orang-orang besar ialah mereka mencerita pengalaman mereka. Mereka telah menerajui banyak pejabat-pejabat kerajaan sejak hampir 20 tahun yang lalu.

"Kita ni, Pegawai Tadbir Negeri (PTN) selalu kena tukaq! Kita pi... Mana-manapun dalam Kedah aje. Tapi kalau tempat yang kita tak boleh kerja, kita dok sat, lepas tu kita minta tukaq", jelas seorang PTN senior.

"Ooh... pejabat KNKP teruk... 'corrupt', I tak tahan... I mintak tukaq", sambungnya lagi.

"Kenapa tuan tidak buat perubahan di situ supaya rasuah berkurangan dan kemudiannya terhapus", balasku pula.

"Dah memang teruk. Tak boleh buat apa dah!", balasnya pula.

Teringat aku kepada pesanan yang pernah aku lontarkan kepada saudara mara yang terlibat dengan profesyen yang berisiko tinggi, "Jangan diajar ambil duit (rasuah), kalau dah ambik sekali, pasti untuk ambik yang seterus seterusnya menjadi mudah!!!".

Ingatlah, kedua-dua orang yang memberi dan menerima akan menanggung dosa...

Dengan mengambil duit rasuah, kita tidak akan kaya dan kita juga tidak akan senang. Ketidakberkatan itu akan terus menyusahkan hidup kita seperti anak sentiasa sakit, kenderaan selalu rosak, jiwa sentiasa gusar, dan bermacam-macam lagi.

Oleh itu, eloklah diberhentikan tabiat yang buruk itu. Bertaubatlah dan kembali ke pangkal jalan... Mudah-mudahan kita akan mula dengan hidup baru tanpa rasuah. Rasuah adalah kanser kehidupan!