Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Saturday, July 24, 2010
Menjadi Fasilitator 'UTM Top Management Team Building Programme' Dan Panel Pemilihan Kadet PALAPES
Kadang-kadang kita melaksanakan tugas bukan kerana kita ingin melakukannya tetapi kita diminta tolong untuk melakukannya. Begitulah tugas ku sebagai fasilitator untuk 'UTM Top Management Team Building Programme'. Aku diminta oleh Prof Dr Azlan Abdul Rahman untuk membantu beliau.
Sebenarnya aku telah memaklumkan kepada Prof Azlan bahawa aku agak sibuk dengan pengajian PhDku. Dan aku tiada semasa proses perancangan program tersebut kerana aku berada di Kedah memungut data selama sebulan.
Bila aku kembali ke UTM, aku dipanggil lagi untuk perbincangan dan seterusnya melaksanakan 'team building programme' di Taman Negara Tanjung Piai dari 22 hingga 24 Julai 2010. Sebenarnya program bermula di Markas PALAPES dengan acara menembak senjata M-16 pada 22 Julai. Kemudian baru kami bertolak ke Tanjung Piai.
Alhamdulillah, aku melaksanakan tugas tersebut setakat yang mampu walaupun rasa kebersamaan tidak sepenuhnya kerana sempat hadir mesyuarat hanya dua kali.
Ramai dikalangan pegawai atasan ini telah ku kenal semasa menjadi pengetua dulu tetapi ada juga yang baru ku kenali. Oleh itu, tidaklah terasa kekok sangat bila bersembang dengan mereka.
Aku juga sempat berbual dengan seorang profesor yang mengidap penyakit buah pinggang. Beliau terpaksa membuat dialisis 3 kali seminggu.
"Prof. tak nak buat 'kidney transplant' ke?", tanyaku. "Duit gaji saya habis untuk membayar yuran pengajian universiti anak-anak dan minyak kereta anak-anak", balasnya. "Nak minta buah pinggang anakpun, mereka masih muda dan masih jauh perjalanannya berbanding dengan saya", sambungnya lagi.
"Prof. tidak memanjakan anak-anak ke dengan berbuat demikian?", tanyaku lagi. "Tak... Duit pinjaman PTPTNpun dapat tak seberapa, lagipun kereta anak itupun digunakan untuk buat dakwah... Saya juga membuat infaq kepada pertubuhan NGO. Dan jikalau RM250,000 digunakan untuk menggantikan buah pinggang saya maka tiadalah yang dapat saya berikan kepada pertubuhan-pertubuhan NGO... Tambahan pula sayapun dah 'senja'...", balas prof. itu lagi.
Terkedu aku mendengar pengorbanan profesor tersebut. Kebanyakan orang lain, dirinya didahulukan tetapi prof. ini mementingkan ahli keluarganya dan dakwah. Subhanallah, mudah-mudahan prof. dipanjangkan usia dan istiqamah di medan dakwah...
Aku terpaksa bertolak balik dari Tanjung Piai malam tadi kerana pagi ini terlibat pula dengan temuduga bakal-bakal pegawai kadet PALAPES.
Proses temuduga berjalan agak lama dari 8.30 pagi hingga 4.00 petang dan melibatkan 97 bakal pegawai kadet. Kalau nak diikutkan senarai mereka yang memohon hampir 200 orang pelajar tetapi ada yang tak dapat hadir kerana mengikuti kursus di peringkat fakulti.
Kepada yang tak dapat hadir, mereka akan ditemuduga oleh Ketua Jurulatih pada hari Isnin petang. Ini adalah kerana pada pagi Isnin, pelajar-pelajar tahun satu diwajibkan menghadiri upacara perasmian Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim oleh DYMM Sultan Johor.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment