Aku kadang-kadang susah nak jawab pada anak bila mereka tanya sesuatu yang sepatutnya berlaku begitu tetapi kita yang merubahnya kepada yang lain. Kenapa kita merubahnya? Kita membuat perubahan kerana ada maslahah-maslahah tertentu yang diambil kira, yang mungkin si anak belum sampai akal pemikirannya untuk berfikir sampai ke tahap itu.
Apa yang dia nampak 1 + 1, mesti jawabnya 2. Tidak akan keluar jawapan yang lain, sama ada 3, atau 4 atau yang lainnya.
Begitulah dalam sistem kehidupan hariannya. Mesti berlaku mengikut adat biasa. Tidak ada kuasa 'magic' yang boleh mengubah apa jua keputusan yang akan berlaku.
Tetapi kadang-kadang manusia boleh bertindak di luar kebiasaan! Aku teringat masa pemilihan kriteria pegawai kadet terbaik sebuah IPTA untuk pentauliahan.
Si A mempunyai markah yang tertinggi dari segi ilmu ketenteraannya dan 'Cumulative Grade Point Average' (CGPA) pelajarannyapun 3 'point' lebih. Manakala si B mendapat markah ilmu ketenteraan yang kurang dari si A tetapi CGPA yang lebih tinggi.
Akhirnya, si B yang dapat hanya kerana si A bertanding dalam Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) bukan diatas tiket pro inspirasi tetapi pro mahasiswa.
Kita berhujjah bahawa seorang askar tidak boleh berpihak kepada pembangkang dan mesti sentiasa taat kepada pemerintah. Apabila bertanding mestilah mewakili pihak kerajaan.
Kita tidak melihat lebih jauh bahawa seseorang itu bertanding kerana pihak universiti membenarkan pertandingan. Kalau diharamkan bertanding, sudah pasti dia tidak akan bertanding. Dia mungkin juga bertanding kerana ingin menguji 'market'nya.
Kita juga mudah melabel, "if you're not with us, you're against us!" Sebenarnya tidak begitu. Secara tidak langsung, kita telah memberi gambaran kehidupan yang tidak sihat kepada anak muda ini. Atau dalam bahasa kasarnya, kita telah mengajar erti kehidupan yang kurang betul kepada anak muda yang akan menerajui negara suatu hari nanti.
Kepada anak muda tadi, jika dia ambil secara positif, insyaAllah dia akan lebih arif dan matang di masa depan. Tetapi jika dia mengambil secara negatif, dia akan membiar dendam kesumat membara dalam dada dan buat selama-lamanya membenci kita di pihak kerajaan.
No comments:
Post a Comment