Memang budaya kita begitu... Hari Raya difikirkan dulu sebelum datangnya Ramadhan! Bagi sesetengah keluarga ia bakal menjadi isu besar. Silap-silap haribulan, satu pertengkaran sengit mungkin terjadi.
"Awak tak apalah, orang tua sudah tiada tapi saya masih ada orang tua", jelas isteri seolah-olah si suami tak tahu. "Kalau anak-anak kita buat macam gitu kat awak nanti, macamana?", sambung si isteri.
"Tak boleh ke, kita balik kampung lepas raya? Hari Raya pun, jalan jamped, nak ke mana pun tak boleh!", balas si suami. "Mana boleh, ibubapa saya memang hendak anak-anaknya berkumpul di hari raya...", balas si isteri.
Kalau diteruskan lagi perbincangan maka ia akan menyemarakkan lagi kemarahan si isteri seolah-olah si suami tidak faham-faham betapa besarnya hari raya buat si isteri. Itu belum lagi bincang pasal baju raya, persiapan dalaman rumah seperti kain langsir, perabot, dan sebagainya.
Bila keadaan tegang, si suami seharusnya berdiam dulu. Apa-apa rasionalpun diberikan pada waktu ini, sudah pasti tidak dapat ditelan oleh si isteri. Maka, langkah yang terbaik ialah usah disambungkan perbincangan pasal raya lagi.
Mungkin yang terbaik ialah si suami boleh menyambung dengan mengatakan bahawa, "InsyaAllah kita akan balik tetapi yang lebih penting kita membuat persiapan untuk memenuhi bulan Ramadhan yang penuh berkat dan pahala berganda ini. Kitapun belum tentu hidup sampai raya nanti...".
Itulah senario perbualan masyarakat umum. Mereka lebih mengutamakan Hari Raya berbanding sebulan bulan Ramadhan.
Persiapan untuk menghadapi Ramadhan seharusnya menjadi prioriti tetapi sebaliknya pula terjadi. Belum tentu lagi tahun depan kita dapat berjumpa dengan bulan Ramadhan dan beramal di bulan yang penuh barakah itu.
Buku "Buyutuna fi Ramadhan" yang disusun oleh Abdul Wahid Al Wakil, berharga RM12 mungkin boleh dijadikan contoh bagaimana sebuah keluarga Islam seharusnya bersiap siaga menerima kedatangan bulan Ramadhan.
Menjelang ketibaan Ramadhan, orang beriman mempunyai reaksi dan persediaan yang tersendiri. Mereka telah merasai sebelum ini keseronokan dengan kedatangannya, kemeriahan dengan kehadirannya dan wangian rahmatnya. Perasaaan rindu ini tidak pudar. Mereka tidak putus-putus berdoa:
"Ya Allah, temukanlah kami dengan Ramadhan"
Buku Buyutuna fi Ramadhan ini ditulis sebagai panduan untuk seisi keluarga mencorakkan suasana rumah di bulan ramadhan dari segi solat, berpuasa, membaca Al-Quran, solat tarawikh, menghadap hidangan dan sebagainya. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada sebelumnya.
No comments:
Post a Comment