Monday, July 12, 2010

Berfikir Sejenak...


Kadang-kadang aku terfikir kenapa Rasulullah (SAW) tidak mahu kaya... Seorang pemimpin Agung memilih jalan untuk hidup susah... Kita selalu dengar apabila Rasulullah balik ke rumah dan didapati tiada makanan maka beliau berpuasa.

Bapa mertua dan sahabat beliau Abu Bakar (RA), bukan orang susah, sentiasa menderma di jalan Allah melebihi orang lain.

Takkan Abu Bakar ingin melihat anaknya Aisyah (RA) hidup susah disamping Rasulullah. Tak bolehkah Abu Bakar berikan sedikit hartanya untuk Aisyah (RA) kalaupun tidak untuk Rasulullah (SAW).

Begitu juga Umar (RA), seorang sahabat dan bapa mertua kepada Rasulullah. Sering berlumba untuk infaq di jalan Allah dengan Abu Bakar. Takkan Umar (RA) tidak kesian melihat anaknya Hafsah hidup susah bersama Rasulullah...

Tetapi begitulah hakikatnya, Rasulullah sering mendahului orang lain berbanding untuk diri dan keluarganya. Jika ada sebarang makanan, orang lain yang lebih susah didahulukan...

Kadang-kadang aku terfikir, adakah aku termasuk dalam kategori orang susah? Gaji RM7 ribu, anak sembilan orang dan isteri seorang (surirumah).

Aku fikir tidak... Aku jauh lebih mewah dan berharta berbanding Rasulullah... Tetapi kenapa aku begitu susah untuk membelanja kepada jalanMu ya Allah?

Perlukah aku tunggu dulu sehingga mempunyai harta bertimbun, rumah besar, dan kereta besar, baru hendak aku dermakan kepada jalan dakwah? Tidak inginkah aku memiliki barangan mewah seperti kawan-kawan yang lain? Rumah penuh dilengkapi perabot, kereta yang selesa untuk ke sana sini? Handphone blackberry yang senang disambungkan ke internet?

Subhanallah! Bandingkanlah diriku dengan Rasul junjungan. Betapa mewahnya aku, betapa kayanya aku, betapa berhartanya aku...

Kemahuan dan keinginan sentiasa ada... Cuma, pernahkah aku puas dengan apa yang aku ada?

Aku masih ingat masa aku mula-mula kerja dulu. Hanya bergaji RM500, kemudian meningkat RM1,110, dan meningkat lagi RM1,230, dan terus meningkat hingga RM7,000. Pernahkah aku merasa, wallah, pendapatanku kini sudah memadai!

Tidak. Aku tidak pernah merasa puas dengan apa yang aku ada. Mahu lagi, mahu lagi, dan mahu lagi...

Itulah harta dunia, kita takkan puas mencarinya... Kalau ada hendak lagi, hendak lagi, dan hendak lagi...

Ayuh kawan-kawan, jangan biarkan sekolah kita ketiadaan wang untuk membayar gaji guru-guru tetapi kita masih hidup mewah dan yuran sekolah anak-anak masih berhutang. Utamakan yuran sekolah anak-anak kita berbanding perbelanjaan yang lain. Jangan biarkan isytirakat kita tertangguh bayarannya tetapi kita masih mewah berbelanja...

Ayuh kawan-kawan, jangan tunggu untuk membuat perkara baik. Jangan tunggu sehingga mata kita sudah terpejam dan apa yang dimiliki sudah tidak berguna lagi, baru ingin membuat kebajikan... Ayuh bersegeralah membuat kebaikan...

No comments:

Post a Comment