Saturday, July 31, 2010

Tahap Sayang Kepada Anak Dan Harta...


Semua orang sayang kepada anak dan harta. Tahap kesayangan mungkin berbeza. Seseorang yang mempunyai seorang anak, mungkin sayangnya lebih kepada anaknya berbanding dengan mereka yang mempunyai ramai anak. Ini tidak bermaksud mereka yang mempunyai ramai anak, tidak sayang kepada anak-anak mereka. Mungkin kesayangan kepada anak seorang adalah kesayangan "melampau" kerana tiada lagi anak lain jika apa-apa berlaku kepada anak ini.

Begitu juga seseorang yang mempunyai sebuah kereta. Kesayangan kepada kereta itu mungkin segala-galanya kerana itulah yang dia ada dan mampu dimilikinya walaupun sebuah viva. Jika kereta itu rosak, ke hulu ke hilirlah memikirkan bagaimana hendak membaikinya dengan keterbatasan wang yang ada.

Tetapi kepada yang mempunyai 2 atau lebih kereta, mungkin perasaan sayangnya tidak seberapa kerana jika yang ini rosak, dia mungkin mampu untuk memperbaiki atau membeli yang lain.

Kita juga selalu dengar tahap pengorbanan seseorang untuk infaq atau bersedekah di jalan Allah. Mereka yang mempunyai RM10 dan berderma sebanyak RM5 tidak sama dengan mereka yang mempunyai jutaan RM dan bersedekah sebanyak RM10. Tahap atau tingkat pengorbanan berbeza!

Oleh itu, kita perlu mengukur badan samaada kita mampu untuk membuat pengorbanan di tahap mana? Sekiranya kita mampu berderma setaraf petani maka berdermalah seperti petani tetapi jika kita mampu infaq lebih maka seharusnya kita berinfaq lebih.

RM5 nampak kecil bagi seorang jutawan tetapi begitu besar kepada seorang petani yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

No comments:

Post a Comment