Hari ini saya membaca 3 artikel yang agak menarik di Mingguan Malaysia. Pertama, Karpal lawan Nik Aziz, satu wawancara yang dibuat dengan Profesor Aziz Bari. Kedua, Benteng hindari zina, ruangan Harussani Zakaria menulis. Ketiga, Beza antara kawan dan sahabat, ruangan Dr. Mohd Ridhuan Tee.
Pada saya ketiga-tiga artikel ini sangat bagus dan saling kait mengait.
Mengenai Karpal lawan Nik Aziz, ia menceritakan tentang penekanan isu negara Islam. Menurut Prof. Aziz, kedua-dua ahli politik tersebut bercakap tentang negara Islam dari perspektif yang berbeza dan akhirnya rakyat bukan Islam keliru dan tidak berminat dengan Islam. Oleh itu, bagi Prof. Aziz usah diperbincangkan tentang negara Islam kerana dia akan lebih merosakkan dari memperbaikinya. Menurutnya lagi, apa yang dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman adalah sebaliknya, iaitu Tunku mengatakan negara ini adalah sekular tapi dari apa yang dilakukan tidak menunjukkan demikian. Tunku membuat Masjid Negara, Majlis Hal Ehwal Islam, PERKIM, tilawah Al-Quran, dan pelbagai lagi semua dengan duit kerajaan.
"Memanglah Nik Aziz begitu mempertahankan Islam sebagai agama yang cantik tetapi orang bukan Islam tidak melihat begitu. Mereka melihat imej orang Islam yang pemalas, mat rempit, buang anak, rasuah, nepotisme, dan sebagainya. Itu yang mereka lihat kepada orang Islam", jelas Prof. Aziz.
Apa yang penting bagi Prof. Aziz ialah kita pergiatkan lagi dari segi perbankan Islam, kebajikan, pendidikan Islam, sistem Ar-Rahnu, dan lain-lain dari banyak bercakap tentang negara Islam.
Mufti Harussani, mengulas mengenai isu kajian UPM tentang 300 remaja Melayu berusia 13 hingga 25 tahun terlibat dengan salah laku seksual dan seks bebas. Beliau mengulas tentang ayat 32, surah al-Isra', "Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
Beliau turut menghuraikan tentang "jangan menghampiri" iaitu larangan dari mendekati perbuatan zina seperti majlis parti sosial, kelab malam, pengeksploitasian wanita dalam pengiklanan, penggunaan internet yang lucah, dan sebagainya.
"Namun hakikat yang dapat kita katakan bahawa suasana hari ini, sememangnya mendorong kepada zina. Lihat saja di sekeliling kita, remaja bebas berpeleseran dengan pasangan masing-masing di taman dan pasar raya, poster atau gambar wanita bukan sekadar mendedahkan aurat malah dalam keadaan menggiurkan tujuan mengiklankan barang-barang yang tiada kena mengena pun dengan wanita", ujar Mufti Harussani.
Menurut Mufti Harussani, kita perlu undang-undang dan penguatkuasaan yang lebih tegas dalam menangani masalah ini.
Dr. Ridhuan Tee membicarakan tentang persahabatan antara PAS dan DAP, yang mana DAP digelarkan sebagai golongan ultra kiasu.
"Saya tidak berkawan dengan ultra kiasu, tetapi ramai juga bukan ultra kiasu yang memeluk Islam di tangan saya. Ingin saya bertanya kepada PAS, sekian lama berkawan dengan ultra kiasu, berapa ramaikah yang telah memeluk Islam kerana terpikat dengan keislaman yang telah ditunjukkan oleh PAS? Sejauh mana dakwah PAS berkembang kepada mereka? Adakah mereka semakin dekat dengan Islam atau semakin memusuhi Islam? Cuba tanya soalan ini kepada pemimpin veteran ultra kiasu itu?", soal Dr. Ridhuan Tee.
Apa yang disarankan Dr. Ridhuan ialah supaya PAS bersahabat dengan UMNO.
"Seringkali saya ulang, UMNO tidaklah sejahat yang disangka. Yang jahat, jahil dan korup hanya segelintir. Mereka sudah menjadi semakin tidak popular. Masih ramai yang baik. Mereka tidak ada pilihan untuk memperjuangkan nasib Melayu dan Islam melainkan di dalam UMNO. Maka, tidak hairan jika mereka terus berada di dalam UMNO sebagai platform untuk berjuang dan memainkan peranannya. Saya amat faham aspirasi dan inspirasi mereka walaupun ada yang gagal separuh jalan. Namun perjuangan perlu diteruskan. Kita tidak seharusnya membiarkan kapal terus karam. Tidakkah bekerjasama itu lebih baik bagi menyelamatkan Islam?", tanya Dr. Ridhuan.
Pada saya, seorang pejuang bangsa terulung negara ialah Tun Abdul Razak kerana beliau begitu memikirkan masa depan orang Melayu dan orang Islam. Tanah-tanah hutan dibuka sekitar tahun 1970an, demi memberi peluang dan ruang kepada orang-orang Melayu yang tidak bertanah untuk memiliki tanah. Agenda rakyat begitu diutamakan dan bukan setakat slogan.
Slogan Rakyat diutamakan hanya gimik politik bagi pemimpin masa kini. Rata-rata mereka yang berjuang dalam UMNO dewasa ini hanyalah untuk kepentingan peribadi. Kita pernah melihat Tun Abdul Razak berbasikal memasuki kampung-kampung, walhal beliau mempunyai kemudahan kereta dan sebagainya.
Berapa ramai pemimpin UMNO yang masih mendiami rumah asal mereka, kenderaan asal mereka? Berapa banyak rumah baru dan kereta mewah mereka? Pada saya, bukanlah pemimpin tidak boleh hidup kaya tetapi sedarlah dan berpadalah...
Usah bercakap pasal kediaman dan kenderaan selesa kepada petani dan nelayan. Berapa ramai lagi petani, nelayan yang masih kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Mungkin tidak ada lagi mereka yang begitu mengutamakan rakyat seperti Tun Abdul Razak.
Pada firasat saya, UMNO tidak ikhlas dan tidak serius memperjuangkan nasib orang Melayu. Kalau Sabah dan Sarawak, yang majoritinya bukan Melayu dan bukan Islam, kita berikan royalti minyak. Apalah salahnya, royalti minyak juga diberi kepada negeri yang lebih 90% orang Melayu dan Islam.
Betapa seronoknya, bila melihat Kelantan telah banyak melaksanakan saranan Mufti Harussani dan Prof. Aziz. Tiada iklan mengeksploitasi wanita, Perbankan Islam digunakan kerajaan negeri, Ar-Rahnu, bantuan orang tua, pelanggan wanita dan lelaki diasingkan di pasaraya, dan lain-lain.
Buatlah apa saja untuk memartabatkan Islam... Cuma jangan panggil negara Islam...
No comments:
Post a Comment