Friday, October 21, 2011

'CUEPECS Medical Card'

Kebelakangan ini untuk mendapat rawatan di hospital kerajaan tidak lagi semudah dan secepat dulu. Mungkin penduduk semakin ramai, ditambah pula dengan pendatang asing dengan izin dan tanpa izin yang mendapatkan rawatan di hospital kita juga. Mungkin juga bilangan doktor masih belum mencukupi…

Tetapi apa yang penting ialah apabila kita sakit, kita memerlukan rawatan yang mesra, prihatin, cepat, dan pantas. Kadang-kadang, menunggu giliran adalah lebih menyakitkan kerana terpaksa menanti dan adakalanya ‘turn’ kita dipotong oleh mereka yang lebih serius sakitnya mengikut pandangan doktor. Teringat aku tentang sebuah cerita tentang orang sakit yang menunggu giliran di sebuah hospital di Kelantan.


Pakcik ini sudah lama menunggu. Dari awal pagi dia menaiki teksi dari kampungnya menuju ke Hospital Daerah Tumpat. Dia mendapat nombor yang agak awal iaitu nombor 3. Pesakit nombor 1 pun masuk menemui doktor. Apabila selesai, pesakit nombor 2 pula masuk. Pakcik ini amat teruja kerana lepas ini tiba gilirannya pulak.

Tiba-tiba datang sebuah ambulan dan membawa pesakit yang agak tenat.

“Kecemasae! Kecemasae!”, jelas pemandu ambulan sambil terus masuk membawa pesakit menemui doktor.

“Huh! Kecing masae… Ore ni kecing manis, sepatutnya kito keno masuk dulu la”, balas pakcik tadi sambil marah.

Tergelak besar bila aku mendengar cerita ini pada kali pertama.

Pakcik tersilap faham tentang kecemasan dan kencing masam…

Apapun cerita tadi sebagai sampingan aje. Isu yang sebenarnya ialah dari segi mendapat rawatan yang segera dari pihak hospital.


Sepatutnya, kita sebagai kakitangan kerajaan kategori A tiada masalah untuk mendapat rawatan di hospital. Kemudahan sepatutnya banyak iaitu kemudahan mendapat perkhidmatan wad kelas pertama dan hanya bayaran perkhidmatan yang minima dikenakan.

Tetapi kadang-kadang, apabila kita terpaksa menunggu giliran untuk membuat sesuatu pembedahan maka kita mula mencari alternatif. Alternatif yang ada ialah kita mendapat perkhidmatan di hospital swasta.

Hospital swasta tidak menawarkan perkhidmatan yang murah. Kawan saya yang tidak tahan menunggu giliran untuk membuat pembedahan apendiks di hospital kerajaan terpaksa beralih ke hospital swasta. Akhirnya, bil yang dikenakan ialah hampir RM10,000. Cuba bayangkan kalau kita tidak ada duit pendahuluan (deposit), tak mahu hospital itu menjalankan pembedahan ke atas kita...

Sebagai alternatif, ramai staf kerajaan mula mendapatkan ‘medical card’ melalui agen insuran dan takaful.

Aku beberapa tahun yang lepas telah mengambil ‘medical card’ dari sebuah agen syarikat takaful. Seribu lebih kena bayar. Tahun depan naik lagi… Akhirnya aku berhenti dari takaful ini. Yurannya naik kerana skim yang kita sertai bilangan ahlinya tak ramai… mungkin sekitar 100 orang. Lepas itu, mereka yang menyertainya pula, sakit sikit-sikitpun pergi ke hospital swasta… mana tak naik yurannya? Sepatutnya, kalau bukan sakit yang teruk dan tak ‘need urgent attention’ pergi aje ke klinik atau hospital biasa dulu. Nak marah merekapun tak boleh, kerana mereka juga menyertai skim ini. Pihak takaful pula, bila lagi ramai ‘claim’ masuk hospital, lagi naik yuran dia.


Sekarang aku menyertai skim takaful insuran yang dilaksanakan oleh CUEPECS. Baru sebulan aku pohon dan masih belum mendapat ‘medical card’ lagi. Harganya agak berpatutan iaitu RM490 untuk seluruh keluarga (tanpa mengira bilangan ahli keluarga). Anak-anak yang masih belajar di universiti juga boleh dimasukkan dalam skim ini walaupun telah berumur melebihi 23 tahun. Kalau tak silap, ‘coverage’nya setakat RM60K setahun. Bagi staf kerajaan yang belum berkeluarga, bolehlah mengambil skim ini untuk diri sendiri dan harganya lagi murah.

Bagaimana skim ini boleh menawarkan harga yang begitu murah? Ini adalah kerana ‘pool of customers’ adalah lebih besar atau staf kerajaan yang menyertainya lebih ramai. Dan kedua, tidak semua orang sakit dan bagi mereka yang sakit pula tidak semua mendapatkan perkhidmatan di hospital swasta. Mungkin tanggapan saya ini betul atau mungkin juga salah.

Saturday, October 15, 2011

'Ranking' Oh 'Ranking'

Satu malapetaka yang menusuki IPTA sejak kebelakangan ini ialah 'ranking'! Semua pentadbir IPTA (rata-ratanya universiti yang bergelar Universiti Penyelidikan) tergila-gilakannya...

Siapa tidak mahu universitinya menjadi universiti ternama? Semua orang mahu... Yang tidak siuman aje yang tidak mahu. Tetapi bolehkah kita menjadi tersohor dalam sekelip mata? Sanggupkah kita mengorbankan banyak perkara asas demi mengejar 'ranking'? Perlukah kita membelanjakan berbilion-bilion RM demi 'ranking'?

Harvard, MIT, Oxford, dan lain-lain universiti yang tersohor, berapa ratus tahun telah mereka wujud?


Dulu semasa belajar di peringkat Ijazah Sarjana, kita diajar oleh profesor tentang 'cost-benefit analysis'. Bagaimana para profesor kita di IPTA..., tidak belajarkah mereka tentang analisis ini? Atau sudah gelap mata dan menjadi sebuah universiti ternama adalah segala-galanya bagi mereka?

Cuba kita senaraikan satu per satu apa 'costs' dan 'benefits'nya menjadi universiti 'top 100'. Hendak menjadi 'top 10', jauh panggang dari api...

Kita mulakan dengan kebaikan atau keuntungannya dulu.
1) Universiti akan tersohor dan ramai pelajar luar negara akan berebut untuk mendapat tempat di universiti kita.
2) Yuran pelajar dapat dinaikkan dan universiti kita boleh menampung perbelanjaan sendiri dan tidak lagi bergantung kepada peruntukan kerajaan.
3) Profesor kita dikenali sebagai pakar dalam bidang masing-masing di dalam mahupun di luar negara.
4) Pelajar kita mudah mendapat kerja di dalam dan di luar negara dan gaji mereka menjadi kompetatif.
5) Produk penyelidikan atau prototype akan membantu agensi perindustrian negara.
6) Gaji pensyarah akan meningkat.
7) Pelajar-pelajar yang memasuki universiti kita terdiri dari mereka yang pandai-pandai sahaja.
8) Tugas pengajaran pensyarah menjadi ringan.
9) Membantu pensyarah-pensyarah luar negara dengan menawarkan pekerjaan, lebih-lebih lagi mereka yang beragama Islam.
10) Dan lain-lain.

Kos atau harga yang perlu dibayar pula ialah;
1) Peluang pelajar tempatan untuk memasuki Universiti Penyelidikan (RU) di peringkat 'undergraduate' akan terhad.
2) Pelajar-pelajar yang mendapat 'research grants' dari RU kebanyakannya pelajar asing yang datang belajar di sini.
3) Kita membayar gaji pensyarah luar dengan skim perkhidmatan yang lebih tinggi (skim gaji DS52, DS 54, dan jusa (VK)).
4) Pengaliran wang keluar dari Malaysia di semua peringkat termasuk profesional. Kalau dulu, mereka yang bekerja di ladang dan industri saja yang menhantar duit pulang ke negara asal mereka.
5) Kesediaan masyarakat tempatan untuk menyambung pelajaran di peringkat 'post-graduates' agak kurang kerana skim gaji mereka tidak memerlukan ijazah sarjana atau kedoktoran kecuali pensyarah universiti.
6) Kita menanggung perbelanjaan pelajaran anak-anak pensyarah luar negara yang belajar di sekolah antarabangsa, yang mana yurannya begitu mahal.
7) Kita mengeluarkan banyak duit untuk menggalakkan pensyarah menerbitkan artikel di jurnal berwasit.
8) Kita membeli peralatan makmal yang mahal-mahal, yang belum tentu lagi akan digunapakai dan kadang-kadang menjadi 'gajah putih'.
9) Wang rakyat yang diperoleh melalui pelbagai cukai dibazirkan.
10) Jurang perbezaan antara kaum makin meningkat kerana kaum Cina mampu untuk belajar di IPTS dan mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik.
11) Perancangan kerjaya dalam bidang profesional oleh kerajaan terhadap rakyat negara ini akan terbantut.
12) Polirisasi profesionalisme antara kaum meningkat.
13) Polisi universiti terhadap cara pemakaian pelajar-pelajar antarabangsa akan luntur kerana tidak dikuatkuasakan.
14) Bangunan-bangunan asrama yang dibina dengan pinjaman dari KWSP yang boleh menampung sehingga 20,000 pelajar akan berbazir.
15) Kos yang lebih mahal akan ditanggung bagi membuat renovasi bangunan-bangunan asrama.
16) Dan lain-lain.


Dalam buku Majlis Konvokesyen ke-47 UTM baru-baru ini, tersenarai seramai 143 orang staf akademik antarabangsa. Ditambah pula dengan 49 orang 'visiting professors', 31 orang 'visiting lecturers', 5 orang 'senior visiting lecturers', 5 orang 'distinguished visiting professors', 6 orang 'visiting associate professors', 4 orang 'visiting researchers', seorang 'guest lecturer', 4 orang 'post doctoral fellowships', dan 5 orang yang dilantik sebagai UTM academic ambassadors'.

Cuba bayangkan berapakah kos yang kita tanggung untuk membiayai mereka?

Banyak benda yang kita buat kadang-kadang kerana arahan orang atasan yang belum tentu berguna kepada masyarakat dalam jangkamasa panjang. Dan ramai di sekeliling mereka yang tidak berani bersuara. Bersuara... nanti gelap masa depan!

Itulah masalah kita. Bila ditegur, terus menganggap mereka yang menegur sebagai musuh! Tiada nasihat menasihat kepada kebenaran dan tiada nasihat menasihat ke arah kesabaran.

Tiada peluang untuk berbincang... Sepatutnya bincang dulu, lihat samaada lebih banyak kos ke atau lebih banyak 'benefits'. Kalau banyak yang menguntungkan berbanding keburukan maka barulah dilaksanakan...

Thursday, October 6, 2011

Jarang Kita Ingin Makan Semeja Dengan Pelajar Antarabangsa...

Kita jarang benar ingin makan semeja dengan 'foreign student'. Kalau ada pilihan kita lebih seronok berada di meja yang bersendirian atau makan bersama-sama dengan mereka yang sebangsa dengan kita.

Aku ke Kafe Pak Lah sebelum azan Zohor. Sebelum tu, ajak juga rakan sepermainan badminton Epul dan Fadli untuk 'join' makan bersama tetapi mereka kata masih kenyang...

Setelah membayar RM3 untuk roti Arab dan kuah kacang dal bersama teh ais, aku mencari-cari meja kosong. Tiada meja kosong!


Makanan di Kafe Pak Lah bagiku agak murah. Sebab itu, ianya sentiasa penuh dengan pelajar. Semua pelajar datang ke sini, melayu, cina, india, dan pelajar antarabangsapun ramai. Makanannya pun agak 'variety'. Pandai Pak Lah yang cuba 'cater' masyarakat majmuk dengan makanan yang beraneka pilihan. Ada goreng, ada bakar, ada rebus, ada masak lemak, ada asam pedas, ada kari, ada nasi putih, ada nasi beriani, ada roti, dan bermacam-macam lagi.

Aku ternampak sebuah meja yang diduduki 2 orang pelajar antarabangsa dan terus meminta izin untuk duduk bersama. Mereka adalah pelajar dari Nigeria, seorang bernama Ahmad dan seorang lagi bernama Victor. Kedua-dua datang untuk membuat PhD di UTM.

Untuk memulakan perbicaraan di meja makan, aku bertanya kepada Ahmad yang memakai pakaian tradisional negaranya (aku agak) dan bersongkok...


"How do you like the rice here?", tanyaku.

"Well, I'm used to it now. So, no problem! In our country, we cook it differently.", balas Ahmad.

"Back home, we eat a lot of yam!", sambungnya lagi.

Ahmad nampak lembut dan bersesuaian dengan keperibadiannya sebagai seorang Islam. Victor nampak agak keras dan garang dan bersesuaian dengan nama dan badannya yang agak sasa. Aku tidak bermaksud untuk prejudis di sini. Tetapi kadang-kadang nama yang diberi itu mencorak atau mencerminkan keperibadian seseorang.


Aku bertanya lagi, "How many Nigerians are here at UTM?"

Ahmad dan Victor menjawab agak serentak, "Probably, around 200 people". "But when I first came in 2008, it was only 50 people!", sambung Ahmad.

Ahmad menceritakan bahawa dia berasal dari utara Nigeria manakala Victor pula adalah dari selatan. Victor memaklumkan bahawa di Nigeria terdapat lebih kurang 250 'tribes and languages' yang berbeza.

Mereka telah dijajah oleh British dan ramai dari mereka yang dibawa oleh British dari tempat lain ke Nigeria. Akupun menceritakan bahawa di Malaysiapun sama, di mana orang-orang Cina dan India juga dibawa British ke sini.


Sedang kami berbual-bual sambil makan, datang seorang lagi rakan mereka, Muhammad, yang juga berpakaian berjubah, berseluar dan bersongkok. Ahmad dan Muhammad datang dari kawasan yang sama. Walaupun mereka, berlainan bangsa dan bahasa tetapi mereka boleh bercakap dalam satu bahasa yang standard. Pada pandangan mata kasar kita, mereka seolah-olah sama kerana semuanya kelihatan hitam pekat dan berambut kerinting.

Benarlah kata Allah bahawa Dia menjadikan kita bersuku-suku atau berpuak-puak supaya kita saling kenal mengenali antara satu sama lain. Dan sesungguhnya Rasulullah adalah pembawa rahmat kepada seluruh alam, menyatu padukan penduduk yang berbangsa-bangsa dan menyeru kepada keesaan Allah.

Ahmad yang sedang membuat PhD dalam bidang kimia dan gas merupakan seorang pensyarah di Nigeria. Aku juga menanyakan tentang kenapa beliau tidak membawa keluarganya ke sini.


Beliau menceritakan bahawa beliau atau masyarakat di sana mengamalkan kehidupan secara 'extended family'. Maksudnya, pendapatan yang diperolehi Ahmad tidak hanya digunakan untuk dirinya, isteri, dan anak-anaknya sahaja tetapi juga diberikan kepada ibubapa, saudara mara dan kerabat yang lain. Dengan kata lain, pendapatan Ahmad dikongsi bersama oleh ahli keluarga yang lain. Oleh kerana itu, beliau tidak mampu untuk membawa keluarganya ke sini.

Aku teringat suatu waktu dulu, masa aku masih kecil... aku pernah hidup sebegitu.

Pernah arwah ibu yang menjual nasi berlauk, nasi lemak dan nasi kerabu di jemuran rumah tinggal bersama-sama anak cucunya. Kakakku, Wan Azizah bersama suami dan anak-anaknya tinggal bersama kami. Pengasuh anaknya, yang juga saudara kami dari Golok tinggal bersama kami. Kakakku bersama suaminya bekerja di kedai emas di Kota Bharu.

Sungguh meriah dan ramai sekali dalam satu rumah.


Kemudian suasana dan dunia berubah... Masing-masing keluar dari rumah ayah dan ibu, dan menyewa rumah sendiri bersama keluarga mereka. Perjumpaan keluarga hanya dibuat sekali sekala...

Aku pernah berkata kepada arwah ibu suatu masa dulu bahawa apabila aku ada rumah nanti... aku ingin memiliki rumah yang besar dan aku ingin orang yang susah tinggal bersamaku... Itulah hasratku yang belum berkesampaian.

Ahmad mengatakan bahawa dia lebih tua dariku. "How do you know?", tanyaku.

"I'm 43 years old and how old are you?", tanya beliau. Maka jawabku, "I'm 47 years old and I'm older than you".


Beliau juga menceritakan betapa gawatnya suasana rasuah di Nigeria. Jika polis meminta rasuah di sana, mereka meminta secara terang-terangan bukan secara sorok-sorok seperti di Malaysia. Kita yang memberi rasuah kepada polis pula mempunyai dua kemungkinan iaitu, polis menerima wang kita dan tiada berlaku apa-apa atau polis menerima wang serta menembak mati kita. Jika bapa kepada mangsa yang ditembak mati membuat laporan di Balai Polis. Ketua Balai Polis tersebut akan mengenakan caj yang lain pula kepada keluarga mangsa.

"Tiadakah mereka yang memperjuangkan keadilan dan hak asasi manusia di sana?", tanyaku. "Ada tetapi 'outnumbered by the corrupted ones'", jelas Ahmad. "That's why in my classes, I took five minutes before lecture to inculcate positive values into their minds.", tambah Ahmad lagi.


Pengalaman berbicara dengan pelajar luar negara menambahkan ilmu pengetahuan. Kita tidak perlu membaca buku dan berbelanja besar untuk ke sana. Melalui perbualan secara spontan memberi kita banyak maklumat disamping pengajaran-pengajaran yang cukup berharga untuk diteladani.

Tuesday, October 4, 2011

Semoga Achik Berjaya Dalam PMRnya...

Hari ini akan berlangsung Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) untuk anakku yang ke-4, Wan Ahmad Luqman. Tiada apa yang aku doa dan harapkan kecuali kejayaan yang cemerlang buat Islam.

Aku sentiasa mendoakan anak-anakku supaya berjaya di dunia dan di akhirat. Kejayaan di dunia semata-mata adalah tidak bermakna dan tidak berguna!


Kak Ngah balik ke rumah malam tadi sebaik menyelesaikan 'last final paper'nya petang semalam adalah semata-mata untuk memberi sokongan moral kepada Achik. Kalau hendak kira, Kak Ngah ada program mukhayyam di Nilai tetapi demi adiknya...

Aku amat berharap agar Achik tenang sepanjang berlangsungnya PMR ini.

Lepas ini, abangnya pula akan mengharungi SPM. Anakku yang ketiga, Wan Abdul Rahman akan menduduki peperiksaan SPMnya pada penghujung tahun ini. Aku juga mendoakannya berjaya dan semoga impiannya untuk ke Universiti Madinah berkesampaian.


Bagaimana untuk ke Universiti Madinah, aku juga belum tahu... Tetapi apa yang aku dengar, untuk memasukinya tidaklah sesenang untuk memasuki al-Azhar.

Perlukah mengambil STAM dulu sebelum membuat permohonan? Bagaimana hendak membuat permohonan? Dengar-dengar macam ada kuota berapa ramai pelajar dari sesebuah negara boleh belajar di sana...


Ini semua akan aku cuba dapatkan jawapan sebelum keputusan SPM keluar pada tahun depan. Apa yang penting sekarang ialah abang perlu belajar dengan bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan yang cemerlang. Bila keputusan baik, baru kita tak terasa malu untuk bertanya ke sana ke mari. Nak minta tolong kepada orangpun sama... Tetapi kalau keputusan yang teruk, kitapun malu...

Apa-apapun, ya Allah, Engkau berikanlah kejayaan yang cemerlang buat anak-anakku dan aku memohon kepada limpah rahmatMu agar cita-cita atau keinginan anak-anakku untuk memasuki universiti tercapai. Amin!!!

Saturday, October 1, 2011

Bantuan Yang Disediakan Oleh Majlis Agama Islam Johor

Beberapa ketika dulu, kita dikejutkan dengan berita tentang orang-orang Islam mendapat bantuan dari pihak gereja.

Perkara ini berlaku disebabkan oleh mungkin yang pertamanya, masyarakat tidak mengetahui skim-skim bantuan yang disediakan oleh pihak JAKIM, Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri, Majlis-majlis Agama Islam Negeri, dan pusat-pusat zakat.

Yang kedua, mungkin juga pihak gereja lebih pro-aktif dalam membantu masyarakat berbanding dengan organisasi Islam yang ada. Kita mungkin menunggu mereka yang datang dan memohon kepada kita 'rather than' kita yang mencari mereka yang susah. Dan pada saya, untuk mencari mereka yang susah adalah tidak payah! Banyak pengenalan boleh dibuat terhadap mereka yang memerlukan bantuan.


Dalam kes pungutan zakat, kita nampak kedepan seperti menyediakan kemudahan pembayaran melalui kad kredit, menyediakan kaunter bergerak di pusat-pusat membeli belah apabila tiba bulan Ramadan untuk pembayaran zakat fitrah dan zakat harta, dan sebagainya. Sebaliknya pula, kita tidak meresapi ke dalam masyarakat mencari mereka yang betul-betul memerlukan bantuan dan menyalurkan sumbangan kepada mereka.

Kita nampak (Pertubuhan Bukan Kerajaan) NGO pula yang mendahului pihak kerajaan dalam membantu rakyat termiskin. Antara NGO yang terkedepan dalam hal ini ialah Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang menyalurkan bantuan kepada orang-orang miskin dan mereka yang kurang upaya dalam program yang dinamakan "IKRAM Prihatin Bingkisan Ramadan" pada kali setiap menjelangnya bulan Syawal.

Di sini ingin saya nyatakan tentang skim-skim bantuan yang disediakan oleh pihak Majlis Agama Islam Johor, yang boleh dilayari di www.maij.gov.my. Skim-skim tersebut adalah;


* Skim Bantuan Hari Raya
* Skim Bantuan Sara Hidup Bulanan
* Skim Bantuan Perumahan
* Skim Bantuan Berdikari
* Skim Bantuan Pendaftaran
* Skim Bantuan Awal Tahun Persekolahan
* Skim Bantuan Basikal Pelajar
* Skim Bantuan Tambang Pelajar Ke Tempat Pengajian
* Skim Bantuan Dan Kebajikan Saudara Baru
* Skim Bantuan Menjelaskan Hutang
* Skim Bantuan Segera
* Skim Bantuan Sosial Pelajar

Manakala syarat-syarat permohonan pula adalah seperti berikut;


Pemohon hendaklah menggunakan borang permohonan bantuan zakat MAINJ dan hendaklah diisi dengan lengkap dan jelas. Setiap borang hendaklah disertakan salinan dokumen yang telah disahkan dan ditandatangani. Pemohon hendaklah mendapatkan pengesahan dan sokongan daripada Penghulu, Ketua Kampung atau Amil kawasan pemohon tinggal bermastautin. Setiap borang yang telah lengkap hendaklah dihantar ke MAINJ daerah berkenaan. Dan menyertakan lampiran berkaitan permohonan.

Pada pandangan saya, sepatutnya permohonan hendaklah dibuat dengan serba ringkas kerana orang-orang yang susah ini, kadang-kadang mereka kurang berpelajaran dan tidak begitu pandai untuk mengisi borang dan sebagainya. Mungkin juga mereka malu untuk datang meminta di Majlis Agama Islam.

Sebolehnya kita menggaji pekerja untuk mencari mereka yang susah dan membawa borang permohonan bersama untuk diisi oleh pemohon. Melalui cara ini, kita bertindak pro-aktif berbanding menunggu mereka yang datang untuk memohon.

Tidak dinafikan, kemungkinan ada ruang atau peluang untuk permohonan disalahgunakan. Tetapi berapa ramai yang berani untuk menerima duit zakat jika mereka tidak betul-betul layak. Kalaupun ia mungkin ada tetapi peratusannya mungkin terlalu kecil! Dan untuk kita abaikan strategi yang pro-aktif ini disebabkan kemungkinan akan berlakunya penyalahgunaan maka saya berpendapat kita terlalu dangkal! Cuba bayangkan berapa ramai orang Islam akan terbela dengan cara ini dari membiarkan kutipan zakat yang berbilion-bilion itu tidak disalurkan kepada asnafnya.




Dengan berbuat demikian, masyarakat akan nampak bahawa Islam itu cantik, kontemporari, relevan, dan prihatin... Secara tidak langsung, ia menjadi satu modal dakwah kepada mereka yang masih belum Islam dan juga kepada mereka yang sudahpun beragama Islam.

Marilah kita sama-sama memudahkan dan jangan kita menyusahkan... Sesungguhnya semua ini adalah amanah!