Thursday, October 6, 2011

Jarang Kita Ingin Makan Semeja Dengan Pelajar Antarabangsa...

Kita jarang benar ingin makan semeja dengan 'foreign student'. Kalau ada pilihan kita lebih seronok berada di meja yang bersendirian atau makan bersama-sama dengan mereka yang sebangsa dengan kita.

Aku ke Kafe Pak Lah sebelum azan Zohor. Sebelum tu, ajak juga rakan sepermainan badminton Epul dan Fadli untuk 'join' makan bersama tetapi mereka kata masih kenyang...

Setelah membayar RM3 untuk roti Arab dan kuah kacang dal bersama teh ais, aku mencari-cari meja kosong. Tiada meja kosong!


Makanan di Kafe Pak Lah bagiku agak murah. Sebab itu, ianya sentiasa penuh dengan pelajar. Semua pelajar datang ke sini, melayu, cina, india, dan pelajar antarabangsapun ramai. Makanannya pun agak 'variety'. Pandai Pak Lah yang cuba 'cater' masyarakat majmuk dengan makanan yang beraneka pilihan. Ada goreng, ada bakar, ada rebus, ada masak lemak, ada asam pedas, ada kari, ada nasi putih, ada nasi beriani, ada roti, dan bermacam-macam lagi.

Aku ternampak sebuah meja yang diduduki 2 orang pelajar antarabangsa dan terus meminta izin untuk duduk bersama. Mereka adalah pelajar dari Nigeria, seorang bernama Ahmad dan seorang lagi bernama Victor. Kedua-dua datang untuk membuat PhD di UTM.

Untuk memulakan perbicaraan di meja makan, aku bertanya kepada Ahmad yang memakai pakaian tradisional negaranya (aku agak) dan bersongkok...


"How do you like the rice here?", tanyaku.

"Well, I'm used to it now. So, no problem! In our country, we cook it differently.", balas Ahmad.

"Back home, we eat a lot of yam!", sambungnya lagi.

Ahmad nampak lembut dan bersesuaian dengan keperibadiannya sebagai seorang Islam. Victor nampak agak keras dan garang dan bersesuaian dengan nama dan badannya yang agak sasa. Aku tidak bermaksud untuk prejudis di sini. Tetapi kadang-kadang nama yang diberi itu mencorak atau mencerminkan keperibadian seseorang.


Aku bertanya lagi, "How many Nigerians are here at UTM?"

Ahmad dan Victor menjawab agak serentak, "Probably, around 200 people". "But when I first came in 2008, it was only 50 people!", sambung Ahmad.

Ahmad menceritakan bahawa dia berasal dari utara Nigeria manakala Victor pula adalah dari selatan. Victor memaklumkan bahawa di Nigeria terdapat lebih kurang 250 'tribes and languages' yang berbeza.

Mereka telah dijajah oleh British dan ramai dari mereka yang dibawa oleh British dari tempat lain ke Nigeria. Akupun menceritakan bahawa di Malaysiapun sama, di mana orang-orang Cina dan India juga dibawa British ke sini.


Sedang kami berbual-bual sambil makan, datang seorang lagi rakan mereka, Muhammad, yang juga berpakaian berjubah, berseluar dan bersongkok. Ahmad dan Muhammad datang dari kawasan yang sama. Walaupun mereka, berlainan bangsa dan bahasa tetapi mereka boleh bercakap dalam satu bahasa yang standard. Pada pandangan mata kasar kita, mereka seolah-olah sama kerana semuanya kelihatan hitam pekat dan berambut kerinting.

Benarlah kata Allah bahawa Dia menjadikan kita bersuku-suku atau berpuak-puak supaya kita saling kenal mengenali antara satu sama lain. Dan sesungguhnya Rasulullah adalah pembawa rahmat kepada seluruh alam, menyatu padukan penduduk yang berbangsa-bangsa dan menyeru kepada keesaan Allah.

Ahmad yang sedang membuat PhD dalam bidang kimia dan gas merupakan seorang pensyarah di Nigeria. Aku juga menanyakan tentang kenapa beliau tidak membawa keluarganya ke sini.


Beliau menceritakan bahawa beliau atau masyarakat di sana mengamalkan kehidupan secara 'extended family'. Maksudnya, pendapatan yang diperolehi Ahmad tidak hanya digunakan untuk dirinya, isteri, dan anak-anaknya sahaja tetapi juga diberikan kepada ibubapa, saudara mara dan kerabat yang lain. Dengan kata lain, pendapatan Ahmad dikongsi bersama oleh ahli keluarga yang lain. Oleh kerana itu, beliau tidak mampu untuk membawa keluarganya ke sini.

Aku teringat suatu waktu dulu, masa aku masih kecil... aku pernah hidup sebegitu.

Pernah arwah ibu yang menjual nasi berlauk, nasi lemak dan nasi kerabu di jemuran rumah tinggal bersama-sama anak cucunya. Kakakku, Wan Azizah bersama suami dan anak-anaknya tinggal bersama kami. Pengasuh anaknya, yang juga saudara kami dari Golok tinggal bersama kami. Kakakku bersama suaminya bekerja di kedai emas di Kota Bharu.

Sungguh meriah dan ramai sekali dalam satu rumah.


Kemudian suasana dan dunia berubah... Masing-masing keluar dari rumah ayah dan ibu, dan menyewa rumah sendiri bersama keluarga mereka. Perjumpaan keluarga hanya dibuat sekali sekala...

Aku pernah berkata kepada arwah ibu suatu masa dulu bahawa apabila aku ada rumah nanti... aku ingin memiliki rumah yang besar dan aku ingin orang yang susah tinggal bersamaku... Itulah hasratku yang belum berkesampaian.

Ahmad mengatakan bahawa dia lebih tua dariku. "How do you know?", tanyaku.

"I'm 43 years old and how old are you?", tanya beliau. Maka jawabku, "I'm 47 years old and I'm older than you".


Beliau juga menceritakan betapa gawatnya suasana rasuah di Nigeria. Jika polis meminta rasuah di sana, mereka meminta secara terang-terangan bukan secara sorok-sorok seperti di Malaysia. Kita yang memberi rasuah kepada polis pula mempunyai dua kemungkinan iaitu, polis menerima wang kita dan tiada berlaku apa-apa atau polis menerima wang serta menembak mati kita. Jika bapa kepada mangsa yang ditembak mati membuat laporan di Balai Polis. Ketua Balai Polis tersebut akan mengenakan caj yang lain pula kepada keluarga mangsa.

"Tiadakah mereka yang memperjuangkan keadilan dan hak asasi manusia di sana?", tanyaku. "Ada tetapi 'outnumbered by the corrupted ones'", jelas Ahmad. "That's why in my classes, I took five minutes before lecture to inculcate positive values into their minds.", tambah Ahmad lagi.


Pengalaman berbicara dengan pelajar luar negara menambahkan ilmu pengetahuan. Kita tidak perlu membaca buku dan berbelanja besar untuk ke sana. Melalui perbualan secara spontan memberi kita banyak maklumat disamping pengajaran-pengajaran yang cukup berharga untuk diteladani.

No comments:

Post a Comment