Tuesday, August 28, 2012

Mematuhi Peraturan Bukan Suatu Kerja Mudah...

Mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bukan suatu angkara yang senang. Sebab itu, kebelakangan ini keluar satu pekeliling JPA tentang PENGUATKUASAAN PERATURAN PEMATUHAN WAKTU BEKERJA PENJAWAT AWAM.


Ramai penjawat awam dikatakan berada di bazar Ramadhan, di pasaraya, dan tempat-tempat yang bukan tempat mereka bekerja. Satu pekeliling tersebut telah dikeluarkan oleh Datuk Farida Binti Mohd Ali bertarikh 30 Julai 2012 berkaitan perkara ini.

Kehidupan tanpa suatu peraturan atau undang-undang akan menjadi hiruk pikuk dan porak peranda. Kita bukan di alam hutan belantara yang mana masing-masing boleh berbuat sesuka hati. Pun di hutan sana, masing-masing masih mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi dan diikuti secara tersirat.


Sekelompok beruk yang memasuki ke kawasan monyet lain akan dibelasah dan dicederakan mengikut kadar keaktifannya. Begitu juga ayam hutan jantan begitu menjagai kawasan sempadan jajahannya. Tidak dibiarkan mana-mana ayam jantan lain berkokok di dalam sempadannya.

Itulah hakikatnya bahawa di dalam hutanpun ada peraturan tetapi peraturan yang tidak bertulis seperti kita!


Kalau kita berfikir sejenak, kenapa ya perlu pihak JPA mengeluarkan pekeliling tersebut? Adakah kita masih tidak faham dengan jangkamasa waktu kerja kita? Atau kita sengaja tidak suka mengikut peraturan yang ada?

Dulu kita diperkenalkan dengan sistem perakam waktu. 'Clock-in and clock-out'. Adakah ia berkesan?

Dari pemerhatian saya, ia tidak mengurangkan jumlah mereka yang 'membantu' rakan mereka 'punch-in or punch-out'. Hari ini, lu 'punch' untuk gua, esok wa 'punch' untuk lu pula! Malah ada sesetengah orang mengambil upah untuk 'menolong' kawan untuk 'punch'.


Cuba bayangkan dapat duit extra RM50 hingga RM100 sebulan untuk kerja haram!

Peraturan satu perkara. Penguatkuasaan satu perkara yang lain pula. Peraturan tanpa penguatkuasaan hanya suatu permainan suka-suka... Bila orang bising kita kuatkuasa dan bila senyap hilang semuanya! Untuk memartabatkan peraturan atau undang-undang, penguatkuasaan mesti sentiasa berjalan. Perlaksanaannya mesti tegas!

Satu lagi yang tidak kurang penting ialah sikap kita. Peraturan memang ingin kita kuatkuasakan jika ia terkena kepada orang lain. Tetapi jika ia terkena kepada diri kita, ada dalih dan pengecualian yang ingin kita dapatkan. Kalau boleh peraturan itu ingin dikendurkan sedikit. Tetapi apabila orang lain yang kena, maka tahap maksimum ingin kita jatuhkan hukuman kepadanya.


Satu teringat juga dulu ada pekeliling yang dikeluarkan oleh TNC bahawa kenderaan universiti jangan dibawa untuk pergi minum, bawa anak ke tadika dan lain-lain.

Sekarang ini saya masih dapat melihat kenderaan universiti dibawa untuk minum di Taman Universiti, menghantar anak ke tadika dan sekolah agama.

Dari segi tanggungjawab, TNC sudah terlepas dari pertanyaan oleh Allah SWT kerana telah mengeluarkan surat pekeliling. Mereka yang bertanggungjawab selepas itu ialah mereka yang menguatkuasa dan diri masing-masing untuk saling tegur menegur.


Kalau kita melihat perkara yang bertentangan dengan peraturan tetapi jika kita tidak menegur maka kitapun akan mendapat saham yang sama.

"Man ra aa minkum mungkaran fal yu ghayyir hu biyadih, faillam yas tati' fabilisaanih, faillam yas tati' fabi qalbih...."

"Sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu maka tegahlah dengan mulut dan sekiranya ia masih tidak mampu maka cegahlah dengan hati. Dan ia adalah selemah-lemah iman."

No comments:

Post a Comment