Perangai manusia secara lumrahnya inginkan sesuatu dengan segera! Manusia kurang sabar! Mereka tidak suka menunggu! Penantian ialah suatu siksaan buat mereka.
Sebaliknya pula al-Quran begitu banyak sekali menyuruh kita supaya bersabar. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang yang sabar... Sabar itu sebahagian dari iman dan sebagainya.
Budaya inginkan sesuatu dengan cepat sudah menjadi darah daging kita. Kita hendak makanpun, penyediaannya mesti pantas. That's why we have fast food restaurants! Pelbagai jenama KFC, Burger King, Pizza Hut, Domino Pizza, McDonalds, dan banyak lagi. Ada yang kita pergi makan di sana dan ada juga yang kita boikot!
Tidak cukup dengan restoren yang menyediakan makanan dengan cepat, kita juga membeli barang-barang untuk dimasak di rumah yang mengambil masa yang singkat. Antaranya, mee segera, roti canai segera, karipap segera, keropok segera, dan sebagainya.
Apabila kita hendak bermusafirpun kita ingin pantas. Sebab itu kita pecut kereta laju-laju. Akibatnya, ramai yang terkorban di jalanraya. Bilangan mereka yang terkorban di jalanraya di Malaysia jauh lebih tinggi berbanding mereka yang terkorban akibat peperangan, baik semasa zaman peperangan dengan komunis dulu hinggalah sekarang.
Setelah ada kemudahan untuk menunaikan fardu haji menggunakan kapal terbang maka menunaikan haji melalui kapal laut sudah tidak relevan.
Semuanya berkaitan dengan masa!
Begitu juga apabila kita melihat pokok-pokok yang ditanam di tepi-tepi lebuhraya. Semuanya pokok yang sudah besar. Kita tidak boleh sabar menunggu pokok itu membesar secara perlahan-lahan dari anak pokok.
Sama juga untuk menjadi sebuah universiti tersohor, kita tidak sabar menunggu ia berlaku secara perlahan-lahan dan membentuk jati diri sendiri. Tetapi kita mahukan dia berlaku secara 'instant'! Itu hasrat kita.
Apabila kita berniaga, kita tidak sabar melihat seringgit dua ringgit keuntungan tetapi kita ingin seribu, sepuluh ribu malah ratusan ribu keuntungan berlaku sekelip mata. Lihatlah berapa ramai manusia yang berkecimpung dalam skim piramid Pak Man Telo dan sebagainya.
Bukan calang-calang orang yang menyertai skim piramid. Boleh dikatakan ramai dikalangan cerdik pandai seperti guru, pensyarah, dan sebagainya.
Kita sudah tidak sabar untuk mengumpul wang secara berdikit-dikit. Kita mahu menjadi jutawan segera melalui skim ini. Halal haram usah ditanya lagi...
Kalau kita guna logik akalpun, kita akan mendapat jawapannya. Tetapi kita tidak guna akal. Mana mungkin kita boleh mendapat keuntungan berganda dalam masa dua tiga bulan. Bisnes apa itu? Kalau perniagaan menjual dadah mungkin...
Hakikat yang dapat disimpulkan ialah manusia sememangnya tidak sabar dan selalu keluh kesah. Mereka mahukan sesuatu dengan tergesa-gesa. Sebab itu, al-Quran dan al-Hadis berkali-kali memperingatkan kita semua supaya bersabar. Marilah kita mencuba sebaik-baiknya untuk lebih banyak bersabar, insyaAllah!
No comments:
Post a Comment