Wednesday, November 6, 2013

Betapa Cantiknya Ukhuwwah Di Kalangan Ikhwah

Aku sungguh terharu... Terharu dengan pertolongan dan bantuan dari ikhwah bagi menyiapkan pembetulan tesisku.

Pertama ingin ku ucapkan jazakallahu khairan kathira kepada naqib usrahku Prof Dr Azlan Abdul Rahman yang memberiku cuti dari menghadiri sebarang program jamaah. Ucapan jazakumullah juga ditujukan kepada rakan-rakan usrahku, PM Hamidon, Dr Ustaz Marzuki, Hj Hassan, akhi Mohamad Nor, akhi Hermee dan akhi Abdul Rasyid. Doa kalian sangat kudambakan... Tidak dilupakan bantuan Dr Ustaz Marzuki yang terpaksa mengambil alih tugasku membawa usrah 02 dari bulan Oktober hingga kini.

Dan aku berdoa serta bermunajat kepada Allah SWT supaya memberikan sebesar-besar ganjaran kepada PM Dr Sulaiman Mohd Nor yang tanpa jemu menyelia dan membantuku siang dan malam, sekurang-kurangnya perjumpaan berkala 3 kali seminggu begitu memotivasikan diriku. Dan yang paling ketara ialah pada hari semalam dimana beliau bersamaku dari pukul 10 pagi (Selasa) hinggalah 4 pagi hari ini (Rabu). Satu jumlah masa yang begitu lama iaitu 16 jam... Subhanallah! Jika diriku diberikan amanah ini, belum tentu aku berjaya melaksanakannya.

Pandangan dan cadangan ikhwah lain seperti PM Dr Ali Abdul Rahman, PM Dr Md Nor Bakar, Prof Dr Noor Azlan Zanzali terhadap penambahbaikan tesis amat-amat aku hargai. Tidak mampu untuk aku nukilkan dengan kata-kata...

Peranan saudara Firdaus Omar juga tidak aku perkecilkan. Kepakaran beliau membuat rajah dan jadual amat aku kagumi. Juga tidak dapat aku nisbahkan dengan kata-kata manis dengan jasa kalian semua... PM Hamidon yang begitu baik Bahasa Inggerisnya membuatku teruja apabila beliau menterjemahkan abstrak kepada abstract.

Aku terpaksa menukilkan rasa terima kasihku kepada kalian di blogku ini kerana kalian tidak ingin nama kalian terpapar dalam tesisku. Pada mulanya telah aku masukkan di bahagian penghargaan nama-nama kalian tetapi PM Dr Sulaiman meminta supaya aku tidak memasukkan nama-nama kalian. Katanya, biarlah hanya Allah SWT yang membalas jasa-jasa kami...

Walaupun keputusannya masih belum ku ketahui samaada aku lulus atau gagal tetapi aku merasakan bebanan di atas bahuku sudah ringan. Tiada lagi batu yang terpaksa aku galas ke hulu dan ke hilir...

Cuma hanya satu permintaanku kepada Mu ya Allah... Luluskanlah sekiranya ia boleh membuatku lebih dekat kepada Mu dan bermanfaat kepada agamaMu. Sesungguhnya kepada Mu aku sembah dan kepada Mu jua aku pohon pertolongan. Amin ya Rabbal 'Alamin!

Jazakumullahu khairan kathira...

1 comment:

  1. Alhamdulillah, glad to hear that you were surrounded with good people with beautiful hearts during the difficult times. A friend in need is a friend indeed. May we can spread the same act of kindness just like what they did. In sya Allah.

    Same thing goes with me and Ipin here. Being in this jamaah, it is kind of solaced to know that helps are just a phone call away.

    ReplyDelete