Banyak kita dengar di kalangan wanita yang mengizinkan suami mereka untuk menambahkan bilangan isteri tetapi dengan satu syarat iaitu perlu menceraikan dirinya terlebih dahulu. Fenomena ini berlaku bukan kepada wanita yang tidak atau baru mengenali Islam bahkan berleluasa di kalangan mereka yang bergelar ustazah!
"Siapa sanggup memikirkan suaminya dipeluk orang?", tanya Datin Kak Nor. Datin Kak Nor adalah isteri pertama kepada Dato' Jamaludin Shahidan (JS) yang telah melamar ketiga-tiga madunya. Kak Nor berasal dari Kelantan, isteri keduanya berasal dari Indonesia, isteri ketiga dari Johor dan madunya yang terakhir juga berasal dari Kelantan.
"Madu keempat agak istimewa kerana Kak Nor sendiri yang menyedia dan menggubahkan hantaran", jelas Kak Nor yang merupakan seorang guru seni di sebuah sekolah.
Setiap kali Kak Nor pergi melamar calon isteri buat suami, selama 3 bulan Kak Nor memakan hati... Siapa tak sayang suami? Kadang-kadang terfikir di kepala, kenapa suami aku mahu kahwin lagi? Apa yang aku tak buat untuk suamiku... ketip kuku suami aku buat, cukur misai suami aku buat, hendak apa lagi?
Tetapi apabila memikirkan amalan baik yang suami ingin lakukan dan dibenarkan syara' maka aku redha... Oleh itu, bagi melawan nafsu marah maka Kak Nor solat hajat pada setiap malam dan memohon Allah SWT memberikan petunjuk.
Alhamdulillah, berkat solat hajat, hati Kak Nor menjadi tenang dan sejuk malah Kak Nor mempelawa untuk meminang bakal madu Kak Nor bagi pihak suami.
Subhanallah..., mana mahu cari isteri pertama seperti ini? Satu dalam sejuta belum tentu ada..., rasaku!
"Apapun kita mesti percaya dan berserah diri kepada Allah", balas Dato' JS. "Kita mesti sentiasa berdoa dan percaya kepada ketentuan Allah", balasnya lagi.
"Akhi selalu bangun malam solat tahajjud memohon keampunan kepada Allah, bukan hanya untuknya tetapi untuk datuk nenek moyangnya juga", jelas Kak Nor memuji suaminya. "Akhi juga berpuasa pada hari Isnin dan Khamis", tambahnya lagi. "Ana teringat semasa kami pergi ke Eropah, akhi masih berpuasa pada hari Isnin dan Khamis tetapi dia berbelanja untuk orang lain makan dan sebagainya", jelas Kak Nor lagi.
"Untuk mendapat isteri keempat, ana berpuasa tiga bulan berturut-turut iaitu pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan dan alhamdulillah Allah mengabulkannya", jelas Dato' JS.
Begitu tinggi sekali letaknya pengharapan dan ikhtiar Dato' JS kepada Allah SWT.
Itulah antara bait-bait ayat yang dinyatakan oleh ahli panel forum yang telah aku dan AJK Unit Mukhayyam IKRAM Johor (UMIJ) jemput. Sebenarnya kami telah mempelawa dua ahli panel untuk berkongsi pengalaman tentang poligami dan dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Tuan Kadi Ledang. Secara kebetulan isteri pertama Dato' JS yang mengiringi suaminya juga bersetuju untuk menjadi ahli panel disamping Dato' JS sendiri dan Tuan Haji Mokri Sabran selaku panelis dan dipengerusikan oleh Ustaz Zaini.
Forum yang bermula pada pukul 9.35 malam berakhir pada jam 12 lebih.
Antara poin-poin Tuan Haji Mokri pula adalah seperti berikut;
"Poligami adalah satu keperluan selagi ada ibu tunggal, akhawat lanjut usia dalam jamaah IKRAM ini. Bila disebut ada keperluan maka tak semua ikhwah perlu berpoligami kerana tak semua mampu dan tak ramai akhawat (para isteri) sedia menerimanya."
Sebagai satu jamaah Islam kita seharusnya prihatin terhadap perkara ini apatah lagi jika anggota jamaah sebahagian besarnya terdiri dari wanita.
Apakah kita sanggup melihat ramai di kalangan akhawat penggerak terutamanya menjadi anak dara tua atau janda tanpa suami? Apakah kita ingin membiarkan mereka berkahwin dengan sesiapa saja (bukan daie) dan kemudian terus futur? Apakah ada unsur-unsur menjaga kebajikan di dalam jamaah kita?
Dan yang paling penting kepada saya ialah anak-anak perempuan kita...
Pada saya sudah nampak ada di kalangan kita yang mempunyai anak-anak perempuan yang sudah berumur tetapi belum berkahwin. Sekiranya mereka sendiri yang memilih untuk tidak berkahwin sampai ke tua maka tiada apa-apa masalah tetapi sekiranya kita tidak mengambil langkah-langkah positif kepada yang mahu berkahwin maka mungkin akan menghadapi masalah di hari muka bukan sahaja kepada mereka tetapi juga kepada jamaah.
Pada saya yang halal tetap halal walaupun ia bertentangan dengan hawa nafsu kita.
Alhamdulillah, saya secara tidak langsung mendapat 'feedback' berkaitan mukhayyam kali ini yang bertemakan 'Sharing is caring!'.
Biasalah ada yang positif dan ada yang negatif. Saya selaku ketua kepada UMIJ menerima dan mengambil kebertanggungjawaban sepenuhnya di atas segala teguran yang dibuat. Akhir sekali, semoga Allah redha dengan amal kita. Amin!
No comments:
Post a Comment