Saturday, May 24, 2014

Keluarlah Dan Penuhkan Ilmu Di Dada Mu...

Hari ini seorang lagi anakku ke Menara Gading... Wan Ahmad Luqman (Achik). Achik melanjutkan pelajaran ke Pusat Asasi UM.

Kak Long di Cairo University, Kak Ngah di UIAM, Abang insyaAllah di Al-Azhar dan sekarang Achik di UM.

Seorang demi seorang anak-anak ku keluar dari rumah demi menuntut ilmu. Pergilah menuntut ilmu sebanyak yang mungkin, mudah-mudahan ilmu itu amat berguna untuk dimanfaatkan untuk agama, masyarakat dan negara.

Mereka aku ibaratkan seperti burung-burung yang diberi makanan yang secukupnya untuk membesar. Diajar al-Quran oleh ibunya, diberi pengetahuan agama oleh ustaz dan ustazah mereka supaya mereka istiqamah di jalan Allah. Setelah menjadi belia remaja maka merekapun keluar dari sarang yang telah aku bina... Cuma satu harapan aku ialah mereka akan kembali ke sarang semula setelah ilmu penuh di dada.

Belajarlah ilmu Allah yang Maha Luas. Lagi banyak kita belajar, lagi terasa betapa kerdilnya kita. Peribahasa ada menyatakan bahawa apabila kita semakin berilmu maka semakin tunduk kita, seperti rasmi padi semakin berisi semakin tunduk!


Anak-anakku, di luar sana keadaan tidak sama seperti di sekolah. Kita tidak lagi diarah untuk belajar. Semuanya terletak kepada inisiatif kita untuk belajar. Kita tidak lagi berada dalam 'controlled environment'!. Segala jenis manusia kita perlu hadapi. Ada yang baik, ada yang jujur, ada yang amanah dan begitu juga yang sebaliknya.

Masa perlu dirancang sebaik-baiknya supaya kita tidak ketinggalan. Di sekolah tertera kata-kata, "If we failed to plan, we're planning to fail!". Ingat tu...

Semua orang merancang. Abah selalu sebut kepada pelajar-pelajar abah bahawa kita mesti merancang. Merancang untuk hadir kuliah 'on time'. Merancang untuk mendapat 'first class degree'. Merancang untuk berkeluarga dan sebagainya.

Sekiranya kelas kita pukul 8 pagi maka kita mesti sudah melangkah ke dewan kuliah 10 atau 15 minit sebelumnya.

Hanya orang gila yang tidak merancang!

Perancangan memerlukan 3 ciri-ciri penting. Yang paling utama ialah kita merancang untuk masa depan. Tiada orang merancang untuk kelmarin, minggu lepas atau tahun lepas! Yang lepas hanya menjadi pengalaman dan pengajaran sahaja. Dengan kata lain, perancangan melibatkan wawasan masa depan yang lebih baik dan berusaha ke arah itu.


'A plan is a predetermined course of action'.

Ciri yang kedua, ialah tindakan. Perancangan tanpa tindakan hanyalah angan-angan kosong seperti Mat Jenin. Apabila kita merancang untuk berjaya, kita perlu membuat tindakan ke arah menjayakan perancangan tersebut.


Dan yang ketiga ialah individu atau organisasi yang melakukan tindakan. Kita tidak boleh semata-mata berdoa untuk mencapai kejayaan!

Usaha yang terbaik dan disusuli dengan doa kepada Allah SWT adalah suatu tindakan yang paling mulia. Kita mengetahui bahawa usaha kita perlu direstui oleh Allah SWT untuk mendapat kejayaan!

Dan ingatlah anak-anakku, "If people gather together to benefit you, nothing can benefit you unless what has been prescribed by Allah. And if people gather together to harm you, nothing can harm you unless what has been prescribed by Allah".

Didoakan supaya anak-anakku berjaya di dunia dan akhirat... Amin!

No comments:

Post a Comment