Wahai anak-anakku, ketahuilah bahawa kamu diciptakan Allah melalui diriku. Jangan lupa firman Allah bahawa tidak Aku jadikan jin dan manusia hanya untuk beribadat kepadaKu. Jangan juga kamu lupa bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara. Kehidupan akhirat jua lah yang kekal abadi. Jangan sekali-kali kamu lupa bahawa Allah menjadikan kehidupan dan kematian ini untuk menguji siapakah yang terbaik amalannya.
Wahai anak-anakku, aku juga diberikan tanggungjawab untuk mendidikmu dan menjagaimu di dunia ini. Aku diberi tanggungjawab untuk menjauhkan diriku sendiri, ibumu dan kamu dari dihumban ke dalam api neraka. Didoakan semoga aku berjaya melakukannya.
Wahai anak-anakku, coretlah kehidupanmu sepertimana yang Allah sarankan. Tuntutlah ilmu, pelajarilah, amalkan dan ajarlah kepada mereka yang memerlukan. Semuanya terletak di tanganmu untuk melakar kehidupanmu sendiri. Sesungguhnya aku hanya mampu memberi tunjuk ajar kepadamu setakat yang termampu. Andaikata perbuatan dan perkataanku bertentangan dengan suruhan Allah dan Rasulullah maka abaikanlah.
Wahai anak-anakku, terus terang aku nyatakan bahawa kesedaran tentang Islam diantara aku dan kamu, kamu lebih awal mengenalinya. Sungguhpun aku mengenali Islam sebelum alam persekolahan lagi melalui kuliah-kuliah agama di surau datukku tetapi kamu lagi awal mengenalinya. Kamu dikenalkan dengan Islam semasa kamu berada di dalam perut ibumu lagi. Bacaan al-Quran sering dialunkan oleh ibumu. Kamu lebih banyak diterapkan tentang Islam dan aku bersyukur kepada Allah, alhamdulillah kerana kamu juga lebih banyak menghafaz ayat-ayat Allah berbanding dengan diriku.
Seusai darjah 6, kamu telah menghafaz surah-surah lazim dan surah-surah pilihan di dalam al-Quran. Sesungguhnya, aku merasa berbaloi membelanjakan wang ringgit untuk menghantar kamu bersekolah agama. Tetapi sayugia diingatkan supaya kamu teruskan usaha hafazan ini supaya ia terus terlekat di sanubari buat selama-lamanya. Seelok-eloknya, teruskan lagi hafazan dengan surah-surah yang seterusnya...
Aku sendiri tidak mampu untuk menghafaz seperti kamu. Dengan kata mudah, alasannya ialah ia bukan menjadi 'target'ku semasa kecil dulu...
Wahai anak-anakku, contengkanlah kehidupanmu dengan perkara-perkara yang baik yang dapat menjadi qudwah kepada orang lain. Kebaikan yang kita lakukan dan diikuti oleh orang lain akan diganjari oleh Allah SWT. Setiap apa yang kita lakukan mesti disandarkan kepada al-Quran, as-Sunnah, ijma' dan qias para ulama. Dan yang paling utama dalam amalan kita ialah tentang hadis pertama dalam Hadis 40 tulisan Imam an-Nawawi.... Innamal a'maa lubinniyat ila akhir hadis.
Sesungguhnya, keikhlasan amalan hanya menuju kepada mardhatillah adalah perkara yang paling utama dalam kehidupan. Buatlah apa saja kebaikan tanpa mengharapkan balasan dari orang lain. Buat bukan kerana sesiapa tetapi hanya kerana Allah... Lillahi Taala.
Wahai anak-anakku, kita mesti mempunyai matlamat hidup! Biarlah matlamat hidup kita selari dengan apa yang ditetapkan oleh Allah supaya ia tidak menjadi sia-sia.
Sentiasalah berdoa kepada Allah kerana Ia adalah tempat untuk kita mengadu dan memohon segala permintaan. Allah Maha Mendengar dan Mengetahui apa yang berlaku di dunia ini. Mengadu kepada manusia, manusia tidak dapat berbuat apa-apa. Tetapi mengadu kepada Allah...Dialah yang Amat Pemurah dan Amat Mengasihani.
Satu lagi pesanan buat anak-anakku ialah supaya menjaga hubungan sillaturrahim sesama adik beradik. Semasa kecil tiada masalah tetapi apabila masing-masing sudah mempunyai keluarga sendiri maka hubungan menjadi tidak seakrab dulu. Kekangan masa, jarak, wang ringgit, keluarga dan beban tugas akan menjauhkan kita. Hubungilah melalui telefon setidak-tidaknya dan yang paling aula ialah ziarah menziarahi sesama kita. Adik beradik akan menjadi orang asing jika lama kelamaan kita tidak bertemu...
Ingatlah pesananku ini, wahai anak-anakku!
No comments:
Post a Comment