Tarikh yang diberi ialah 4 hingga 8 Januari 2015. Aku memaklumkan bahawa aku mempunyai kertas peperiksaan akhir yang perlu diselia pada 5 Januari dan alhamdulillah Tuan Hj Shaharudin Mohd Said sanggup untuk menyelia kertas peperiksaanku.
Semuanya all set. Tiba-tiba keluar pula iklan yang memerlukan 'Ketua Misi' untuk program i-bantu ke Pasir Mas, bertarikh 31 Disember 2014 hingga 3 Januari 2015.
Bergambar sebelum bergerak |
Memandangkan final exam aku jatuh pada 5 Januari dan sekiranya aku mengambil misi ke Pasir Mas maka aku dapat menyelia sendiri 'final exam'. Tanpa melengahkan masa, aku terus menghubungi Dr. Faizul untuk menukar misi Tanah Merah ke misi Pasir Mas. Beliau dengan sukahati menerima pertukaran misi tersebut.
Dengan menerajui misi ini dan dengan mendapat 'blessing' dari Pengarah i-bantu Pertubuhan IKRAM Kelantan, Prof. Dr. Din Suhaimi Sidek dan yang paling utama iaitu dengan kehendak dan iradat Allah SWT yang menggerakkan hati Prof. Din supaya kami keluar sendiri menyantuni mangsa-mangsa banjir maka aku dapat membawa satu bas sukarelawan untuk membantu rakyat kampungku yang telah lama ditinggalkan.
Aku sama sekali tidak menjangka bahawa aku akan ke Palekbang dalam misi ini. Usah difikirkan untuk menemui sanak saudara...
Itulah apa yang dikatakan "Wamakaru wamakarallah, Wallahu khairul maa kirin". Kita merancang dan Allah juga merancang dan Allahlah sebaik-baik Perencana!
Aku bersama anak saudara Wan Imanul Amin |
Misi ini telah menemukan aku dengan Tok Penghulu setidak-tidaknya, yang mana belum pernah aku berurusan dengannya.
Dan aku amat bersyukur kepada Allah SWT yang menemukan aku dengan sepupu sepapat yang menjadikan misi ini sebagai asbabnya. Alhamdulillah...
Aku menjumpai Chegu Din dan isterinya Chegu Sah dan anak-anak mereka. Chegu Sah sudah 4 tahun pencen dan sudah pasti Chegu Din lebih awal lagi.
Aku juga menjumpai Mohd Zali (adik Chegu Din) dan isterinya (akupun sudah lupa namanya) yang mana aku kira sudah puluhan tahun aku tidak menjumpai mereka. Mohd Zali, sepupuku inilah yang memboncengkan aku dengan 'cupchai'nya ke pejabat JPA Kuala Lumpur sekitar tahun 1982 semasa aku mengambil cek pendahuluan untuk ke California. Itulah kali pertama aku menjejaki kaki ke Kuala Lumpur! Sebelum itu, negeri-negeri yang pernah aku lawati hanyalah Kelantan dan Terengganu.
Negeri-negeri lain belum ada dalam peta mindaku pada masa itu. Berbeza dengan anak-anakku, Sekolah Islam Hidayah telah membawa mereka ke seluruh pelusuk tanah air. Kekangan ekonomi kedua ibubapaku yang membataskan untuk aku mengenali tempat-tempat lain.
Aku juga berpeluang untuk berjumpa dengan Kak Lah, isteri Abang Zin (sepupuku). Kak Lahlah yang menjaga Kak Long (Wan Khairunnisa) suatu ketika dahulu untuk beberapa waktu... Kak Lah dan Abang Zin mempunyai 11 orang anak dan sekarang kalau tidak silap dengar semasa dia memberitahuku baru-baru ni, sudah mempunyai 41 orang cucu. Rata-rata anak-anak Kak Lah berjaya memasuki universiti dan sudah pasti kehidupan mereka jauh lebih senang berbanding suatu ketika dahulu. Masa anak-anaknya masih kecil, kedai runcit arwah ibukulah tempat mereka datang mengambil barangan makanan.
Allahyarhamah ibu, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. |
Aku juga berjumpa dengan Arif anak Suhaimi (adik Chegu Din). Anak-anak Chegu Din juga aku jumpa tetapi yang aku ingat nama hanya yang sulung, Yo (Shaharul) namanya. Yo kini sudah mempunyai 3 orang anak.
Mereka semua berkumpul untuk membersihkan rumah nenek mereka iaitu emak saudaraku, yang aku panggil Mak Su. Mak Su adalah adik kepada arwah ibuku. Malangnya aku tidak dapat berjumpa dengan Mak Su kerana beliau menginap di rumah anaknya yang lain.
Aku juga sempat berjumpa dengan Man, kawan sama-sama berkhatan pada tahun 1976. Rumahnya terletak berhampiran dengan bas yang kami parkir. Rumah kayu besar yang berwarna biru. Man juga merupakan dua pupuku atau Mat Salleh kata second cousin. Maknya dan arwah makku adalah sepupu.
Abangnya, Md. Nor memaklumkan bahawa beliau mendapat bekerja dengan UMK sebagai Pengurus Projek setelah bersara. Adik Man, Yah (tak ingat nama penuh) memperkenalkan suaminya kepadaku.
Menghubungi Tok Penghulu... |
Secara tidak langsung, aku juga sempat berjumpa dengan kakak (Wan Azizah), abang (Wan Mohd Ghazali) dan anak-anak saudara (Mad, Hafiz dan lain-lain).
Itulah takdir Allah... Misi bantuan yang mempertemukan saudara atau menghubungkan tali sillaturrahim. Aku amat bersyukur kepadaMu, ya Allah!
Ya Allah, ya Tuhanku, Engkau kuatkan ikatan kekeluargaan sesama kami. Ya Allah, Engkau ampunkanlah dosa-dosa kami. Engkaulah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani... Amin!
No comments:
Post a Comment