Monday, January 5, 2015

Misi Bantuan Ke Kelantan...

Arahan misi yang diperolehi ialah Petugas Untuk Klinik Sementara. Tempat: Pasir Mas, Kelantan. Tarikh: 31 Disember 2014 hingga 3 Januari 2015. Sukarelawan: 30 orang (1 bas). Keperluan lokaliti: Makanan, dapur/keperluan memasak, air minuman, khemah, selimut, toto, ubat-ubatan, keperluan anak-anak dan wanita. Nota yang diberikan: HUSM telah set up klinik sementara di lokaliti. IKRAM Health menyediakan para doktor. Mereka kekurangan petugas-petugas untuk tolong urus klinik tersebut.
******************************************************************
Taklimat oleh Dr Harris
Bergambar sebelum bertolak

31 Disember 2014 - Kami bertolak dari Kompleks IKRAM Johor pada pukul 4.30 petang, berjumlah seramai 29 orang dewasa dan seorang kanak-kanak berusia 6 tahun. 13 orang lagi akan dipungut di Masjid Yong Peng.

Antara sukarelewan wanita

Solat Subuh di Masjid Jertih

Apabila sampai di Masjid Yong Peng, kamipun menunaikan solat Asar qasar secara berjamaah. Bas dipenuhi dengan 43 orang sukarelawan, termasuk seorang kanak-kanak.

'Family pack' yang dibuat
Agihan ke rumah-rumah

Kami menunaikan solat Maghrib dan Isya' secara jamak qasar di  Masjid Segamat. Seterusnya, kami makan malam di gerai yang berada di persimpangan antara jalan Segamat dan jalan Bandar Muazam.
Bergambar dengan Presiden IKRAM

1 Januari 2015 - Kami tiba di Masjid bandar Jertih sekitar 5 pagi. Kami menunaikan solat Subuh bersama-sama penduduk tempatan. Di sini kelihatan banyak lori 1 tan yang dihiasi cantik dengan lampu-lampu yang beraneka warna. Mereka juga dalam perjalanan ke Kelantan dalam rangka untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir.
Mengambil 'family pack' dari bas untuk diagihkan

Kami tiba di Hospital USM (HUSM) sekitar jam 8 pagi. Kami disambut oleh Dr Harris. Dr Harris adalah graduan dari CUCMS di Cyber Jaya. Beliau juga berasal dari Johor Bahru dan datang ke HUSM semata-mata untuk menjadi sukarelawan. Beliau sudah berhenti dari menjalankan 'housemanship' kerana ingin menjalankan perniagaan sendiri dan saya agak mungkin untuk membuka klinik sendiri.
Bahu jalan yang runtuh

Dr Harris membawa kami ke Pusat Islam HUSM. Di sini kami diberi taklimat dan sarapan pagi. Kalau mengikut Dr Harris, beliau mahu kami untuk berehat dahulu dan mula bertugas sekitar jam 2 petang tetapi Prof Dr Din Suhaimi yang mengetuai Pusat Operasi Bantuan Banjir NGO-NGO di HUSM mahukan kami terus berkhidmat.
Kelihatan sukarelawan berbangsa India yang membantu

Menurut beliau (Prof Din), kalau kita berehat dulu, ia akan mematikan semangat kita yang membuak-buak untuk membantu. Jadi, selepas makan kami terus ke Bangunan 12 Ubat Kompeni, Rejimen Askar Wataniah di dalam HUSM. Di sini, barang-barang dari seluruh negara yang dihantar oleh NGO dikumpulkan.
4WD yang datang mengambil barangan

Tugasan kami ialah mencatit inventori barangan masuk dan keluar. Tugasan kami juga termasuklah membuka semua kotak yang diterima yang mana terdiri dari makanan seperti sardin, biskut, garam, gula, susu tepung, susu pekat, tepung gandum, mi segera, kacang bersos, minyak, beras, mee hoon dan lain-lain lagi. Banyak juga 'pampers', sabun, berus gigi dan tuala wanita yang diterima. Air mineral beratus-ratus kotak.
Bergambar bersama Tok Pa yang berkunjung

Setelah dibuka semua kotak-kotak tersebut yang datang melalui kapal terbang dan juga jalan darat, kami mengisikan ke dalam beg plastik yang dikenali sebagai 'family pack'. 'Family pack' ini dimuatkan serba sedikit barangan tersebut bagi keperluan keluarga untuk jangkamasa seminggu. Jadi, pandai-pandailah kita mengagaknya...
Sesi membaca al-ma'thurat di Pusat Operasi

Pakaian juga banyak yang diterima. Ini termasuklah pakaian kanak-kanak dan dewasa, kain sarung, kain pelikat, kasut dan sebagainya. Pakaian dalam seperti coli dan seluar dalampun diterima dan semuanya yang baru. Untuk pakaian, kami tidak membuat inventori.
Sesi taklimat

Sungguhpun barangan banyak yang sampai di Pusat Operasi tetapi dengan bilangan kami yang ramai maka urusan 'unpacked' dan 'repacked' berjalan lancar dan boleh dikatakan ramai dikalangan kami yang merasakan bahawa kami adalah 'under utilized'.
Penyerahan bantuan kepada mangsa banjir

Kerja-kerja kami tidak terhad kepada 'packaging' semata-mata tetapi kami juga membuat 'unloading' dan 'reloading' dari kereta, 4WD dan lori yang datang menghantar dan mengambil barangan. Pakaian-pakaian yang dihantar secara 'bundle', kami lipat kembali supaya ia tersusun mengikut kategori kanak-kanak, dewasa, lelaki dan perempuan dan nampak lebih 'presentable'. Pun begitu, masih terasa kita tidak di'fully utilized'. Oleh itu, saya sebagai ketua misi membuat 'shift' supaya separuh dari kami balik berehat di Pusat Islam HUSM.
Memberi taklimat kepada sukarelawan

Disamping itu, kita juga tidak mahu para sukarelawan bekerja secara 'over worked' dan esok menjadi 'exhausted' dan tidak lagi mampu melaksanakan kerja dengan sempurna.
Agihan coklat dan gula-gula kepada kanak-kanak

Para sukarelawan tidak mempunyai 'authority' untuk mengeluarkan barangan kepada mana-mana pihak yang datang untuk mendapatkan barangan. Mereka yang ingin mendapatkan barangan perlu mendapatkan kebenaran dari pihak urusetia di bangunan 12 Ubat Coy dan membawa surat kepada kami di gudang barangan. Apabila urusetia meluluskan berapa kotak air mineral dan 'family pack' yang boleh dikeluarkan maka kami akan memuatkan barangan tersebut ke atas kenderaan mereka.
Antara mereka yang datang membantu dengan barangan

Dalam kumpulan kami ada seorang doktor (Dr Rosdina), seorang pelajar tahun akhir jurusan kedoktoran (Izzati) dan seorang 'nurse' lelaki (Muhammad). Mereka ini keluar bersama doktor-doktor tempatan dan doktor yang datang dari luar Kelantan untuk memberi perkhidmatan kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar daerah Pasir Mas. Antara lokasi yang telah mereka membuka kaunter perkhidmatan ialah di Masjid Beijing di Rantau Panjang dan di Masjid Kasa, Pasir Mas.
Mengagihkan bantuan dalam keadaan air belum surut sepenuhnya

Sedang kami melaksanakan tugas, tiba-tiba Tok Pa datang melawat ke pejabat urusetia, Pusat Operasi Bantuan Banjir HUSM. Beliau datang untuk mendapatkan maklumat dari para doktor yang bertugas. Prof Dr. Din Suhaimi memberikan taklimat kepada Tok Pa dan selepas itu beliau datang menemui para sukarelawan i-Bantu dari Pertubuhan IKRAM Johor. Pada hari yang sama, Datuk Seri Idris Jusohpun datang ke HUSM.  
Mendaftar barangan yang masuk

Kami sepatutnya menginap di Sekolah Sri Aman iaitu di surau al-Banna tetapi kami mengambil keputusan untuk berada di Pusat Islam, HUSM sahaja kerana lebih dekat dan hanya 'walking distance' dari Pusat Operasi. Bilangan kami yang seramai 25 lelaki dan 17 perempuan menginap di Pusat Islam, HUSM yang mana di tingkat bawah didiami oleh ikhwah manakala di tingkat atas oleh akhawat.


Kesemua kami balik dari Pusat Operasi ke Pusat Islam, HUSM kira-kira jam 11 malam.
Pusat Islam, HUSM

2 Januari 2015 -  Kami memulakan hari kedua dengan solat Subuh dan membaca al-Ma'thurat. Selesai mengambil sarapan yang disediakan oleh pelajar-pelajar Kolej Komuniti di Pusat Islam, kami bergerak ke Pusat Operasi.
Zakini Nasi Kukus

Prof Dr Din Suhaimi kesian kepada kami kerana tidak dapat turun ke medan kecuali 3 orang yang 'medical related' yang keluar membuka kaunter perkhidmatan kesihatan. Beliau menyuruh kami untuk membawa sebahagian barangan yang kami bawa untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir secara terus. Sebahagian barangan kami telahpun dikeluarkan kepada mereka yang datang mengambilnya di Pusat Operasi semalam.
'Unload' barang-barang yang sampai

Pada pukul 10 pagi, kami 'reload' barangan yang kami bawa seperti dapur, khemah, selimut, beras dan lain-lain disamping 30 'family pack' ke dalam perut bas kami. Kami juga membawa sedikit pakaian. Saya memaklumkan kepada Prof Din bahawa kami akan ke Palekbang, Tumpat untuk mengagihkan barang-barang tersebut.
Di pusat operasi bantuan banjir NGO, HUSM

Saya telah menghubungi Tok Penghulu Palekbang memaklumkan bahawa kami akan datang dengan sebuah bas untuk mengagihkan barangan kepada mangsa-mangsa banjir.
Pengagihan bantuan

Setibanya di Palekbang, kami terpaksa meletakkan bas di persimpangan 3 berhampiran Balai Polis kerana jalan ke arah Kg. Laut sudah dipenuhi dengan kereta di bahu-bahu jalan yang masih tinggal. Kebanyakan bahu jalan telah runtuh dibawa arus deras semasa banjir.

Kami disambut oleh Tok Penghulu dan kami masing-masing berjalan kaki memasuki kampung mengagihkan bantuan. Kami terpaksa berulang-alik mengambil bekalan dari perut bas.
Penyampaian bantuan kepada mangsa banjir

Satu peristiwa yang agak menarik di sini ialah kami didatangi oleh seorang lelaki dari bandar Tumpat yang datang bertanya samaada kami ingin nasi bungkus. Katanya, orang jarang memikirkan tentang kebajikan para sukarelawan, jadi dia datang untuk memberi nasi bungkus kepada kami. Subhanallah, ada juga orang yang prihatin kepada para sukarelawan. Apa lagi, saya tidak menolak permintaan orang yang ingin membuat kebajikan...

Selepas selesai urusan pengagihan, kami bertolak ke Masjid Muhammadi di Kota Bharu untuk menunaikan solat Jumaat.
Akhawat berada di tingkat atas Pusat Islam, HUSM

Di Masjid, saya terpaksa berada di saf kedua kerana di saf pertama nampak sejadah dihampar rapi mungkin untuk para pembesar. Pada tangkapan saya, mungkin Sultan Kelantan akan bersolat di sini. Selepas azan dilaungkan, rupa-rupanya Ketua Polis Negara, Ketua Polis Kelantan dan katanya Tengku Temenggung dan kerabatnya yang datang. Sebelum duduk, KPN menghulurkan tangan kepada saya dan saya menyambutnya.
Pusat Islam, HUSM

Selesai solat Jumaat, saya membawa rombongan sukarelawan untuk makan nasi kukus Zakini di Berek 12. Alhamdulillah, walaupun bilangan kami tidak sampai 40 orang tetapi harganya hampir RM500. Ya lah masing-masing mengambil 2,3 lauk dan ada yang mengambil ketupat sotong. Ketupat sotong adalah makanan 'special' di Kelantan dimana sotong diisikan dengan pulut dan kuahnya agak manis. Saya tidaklah peminat tegar ketupat sotong...
Masing-masing berkongsi duit untuk meraikan diri sendiri

Kami sampai semula ke Pusat Operasi sekitar jam 2.30 petang dan meneruskan kerja-kerja 'packaging'. Pada waktu petang, kami beramai-ramai membaca al-ma'thurat di Pusat Operasi.
Singgah solat Zohor dan Asar di Masjid Muazam Shah di Bukit Besi

Perkhidmatan kami tamat sekitar jam 11 malam setelah meraikannya dengan hidangan 20 biji pizza dari Domino's bersaiz 'regular'. 13 biji untuk ikhwah dan 7 biji untuk akhawat. Para sukarelawan i-bantu Pertubuhan IKRAM Johor berkongsi sesama mereka dengan mengeluarkan duit masing-masing.
Prof Dr Din Suhaimi sedang memberi taklimat kepada petugas-petugas

Kami juga memaklumkan kepada Prof Din bahawa esok pagi kami akan berangkat pulang ke Johor.
Menghantar bantuan

3 Januari 2015 - Kami bangun pada pukul 5 seperti biasa untuk menunaikan solat tahajjud. Selesai solat Subuh secara berjamaah kami membaca al-ma'thurat sughra bersama-sama.
Menghantar bantuan kepada mangsa banjir

Kami bersarapan dengan mee hoon yang mana sebelum ini, dua hari berturut-turut kami dihidangkan dengan nasi goreng oleh pelajar-pelajar Kolej Komuniti.
Proses 'unpacked' dan 'repacked'

Kami bergerak pulang pada pukul 9.15 pagi dan sampai di Kompleks IKRAM Johor jam 10.20 malam.
Pinjam 'wheelbarrow' orang kampung untuk mengangkat barangan bantuan banjir kepada mangsa
 Nota: Ada beberapa perkara yang saya rasa perlu di'highlight'kan di sini. Pertama, ada seorang sukarelawan wanita yang bernama May dari Australia (berdarah kacukan, rasanya Australia dan Malaysia) berkhidmat sepenuh masa di Pusat Operasi ini. Kedua, ada seorang perempuan muda berbangsa India menaiki 'flight' dari KL dengan membawa 'medical supply' datang ke HUSM untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Ketiga, ada 2 orang engineer berbangsa Cina datang berjumpa saya untuk melapur diri untuk menjadi sukarelawan.

2 comments:

  1. Alhamdulillah dan tahniah misi dapat disempurnajan dgn baik. Terima kasih juga kerana menyantuni sukarelawan i-Bantu dari Segamat yg mengikuti misi ini iaitu Pn Izawati, Sdr Rasyidi dan Sdr Muhammad.

    ReplyDelete
  2. Moga Allah terima amal kita yang sedikit ini...

    ReplyDelete