Sebelum bertolak ke Tg. Resang bagi menghadiri Rehlah IKRAM Johor Bahru Tengah pada 5 dan 6 Mei, aku dah rasa tak sedap hati. Ikan-ikanku nampak tercungap-cungap di permukaan kolam. Biasalah kerana tiada air turun dari atas dan menitik atau bercucuran ke dalam kolam maka ia tidak menyediakan oksigen yang secukupnya.
Masalah ini timbul kerana air yang dipam tidak naik ke atas kerana batang paip yang sepatutnya menyalurkan air naik telah tersumbat dengan pasir. Bukan kata tak naik langsung tetapi ia naik dengan kelajuan yang teramat 'slow' dan tak mencukupi untuk pam itu 'recycle' air. Akhirnya pam berbunyi tetapi air sudah kering.
Dulu ingat dengan adanya pasir di dasar kolam, maka ikan-ikan akan seronok dengan memasukkan pasir ke dalam mulut dan menyemburnya keluar. Akhirnya sebiji pasirpun sudah hilang dan terlonggok dalam saluran paip.
Kadang-kadang banyak perbuatan kita yang dilakukan tanpa berfikir panjang. Ingatkan untuk memberi kegembiraan kepada ikan dan menampakkan kecantikan tetapi akhirnya menyusahkan diri sendiri.
Sebelum ke Tg. Resang di Mersing, aku telah membuka air paip secara 'direct' dengan perlahan-lahan dan disambungkan dengan hos supaya air akan menitis secara berterusan ke dalam kolam.
Bila balik kelmarin, air paip sudah berhenti dan beberapa ekor ikan telah mati dan yang lain-lain tenggelam timbul.
Sedih sangat kerana ikan koi yang aku pelihara sejak masuk rumah di Taman Pulai Utama pada tahun 2007 semua mati. Saiz mereka sudah besar kerana telah berusia 5 tahun.
Ikan kelah dan lampampun mati.
Malam tadi aku buka air paip agak besar supaya mesin pam air tidak akan kekeringan. Pagi ini nampak ikan-ikan yang baki agak cergas tetapi masih ada juga dua tiga ekor yang mati.
Ini bukanlah kali pertama terjadi. Dulu semasa kolam aku bocor, aku telah membawa ikan-ikan ke kolam transit di Kolej 16 & 17 (Kolej Dato' Onn Jaafar) sementara kolam diperbaiki. Setelah kolam siap dibuat 'water proofing' buat kali kedua, akupun memasukkan air sehingga penuh dan terus memasukkan ikan.
Keesokannya kelihatan ikan-ikan timbul (mati) kerana aku tidak membuang air yang terasa simen dengan basuhan air nenas.
Tetapi kali ini, ia agak teruk. Majoriti ikan kesayanganku mati. Yang pasti ketiga-tiga kura-kura Rasyid masih sihat walafiat dan begitu juga 4 ekor ikan majlis, semuanya tidak menunjukkan tanda-tanda kekurangan oksigen.
Bila fikir macamana hendak keluarkan balik pasir dari dalam saluran paip, terasa cuakpun ada. Tak keluarkan pula, air lambat naik. Dah cuba hari tu, memasukkan hos plastik ke dalam lubang batang paip tetapi tak boleh jalan kerana batang paip itu bengkok. Kalau boleh masukkan, ingat nak buka paip air supaya air deras membawa keluar pasir-pasir tersebut.
Anakanda Rasyid pula mencadangkan supaya abahnya menggunakan 'plunger' untuk menyedut keluar pasir dari dasar kolam.
Pening-pening... Tengoklah nanti. Mudah-mudahan ada ilham dari Allah SWT. Kalau tuan-tuan dan puan-puan ingin memberi pandanganpun boleh juga. Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan... Jazakumullahu khairan kathira...
No comments:
Post a Comment