Bonda…
Hampir 17 tahun pemergianmu
Tanggal 23 Mei 1995
Jam 1800
Hari bersejarah dalam hidupku
Tiada siapa dapat menggantimu
Mendengar rintihan, keluhan, dan luahan hatiku
Engkaulah satu-satunya
Tidak isteri
Tidak juga putera dan puteriku
Pemergianmu diusia 71 tahun
Masih terasa kehangatan budi bicaramu
Tak pernah menyakiti hatiku
Malah aku yang menyakiti hatimu
Aku rindu padamu
Engkau jua tempat aku menyata gembira hatiku
Tetapi semuanya telah berlalu…
Aku menyanjungimu
Kerana niat suci hatimu
Berniaga bukan untuk kaya
Tetapi sekadar menyedia makanan untuk mereka
Kertas hutang berjela-jela
Tetapi ibu redha
Siapa yang bayar ibu suka
Tidak bayarpun tidak apa
Barangan dapur masih diberi jua
Itulah prinsip ibu
Pernah ibu berkata…
Kalau mereka tak datang ambil barangan di rumah kita
Kesian mereka
Biar berhutang bermuka-muka
Bayar sedikit bakinya masih banyak
Tapi ibu masih benarkan jua
Sejak ibu tiada
Aku jarang pulang
Aku rasa kehilangan
Tempat aku mengadu
Ibuku begitu mengalah dengan adik-adiknya
Tetapi di antara makcik dan maksu
Ku perhatikan ibu lebih mesra dengan maksu
Lantaran itu
Akupun terasa begitu
Ibu mengajar Quran
Turun temurun dari ibunya, Mak Teh
Semua kanak-kanak ibu ajar
Mak anak juga ibu ajar
Anak-anak sekolah petang datang mengaji pagi
Anak-anak sekolah pagi datang mengaji petang
Bila malam ibu mengajar mak-mak selepas Maghrib di Balaisah
Sementara tunggu waktu solat Isya’
Selepas Isya’ baru ibu naik rumah mengalas perut
Aku masih ingat saat-saat akhirmu
Aku pulang dari Penang bersama isteri, Kak Long, Kak Ngah,
dan Abang
Untuk menyambut Hari Lebaran
Engkau demam
Puas anak-anakmu yang lain pujuk untuk dibawa ke hospital
Semua tak berjaya
Akhirnya ibu akur dengan pujukanku
Ku beritahu pada ibu sekiranya ibu sihat
Akan ku bawa ibu ke Penang
Ibu cukup girang dengan janjiku
Aku dukung ibu dan meletakkannya berbaring di kerusi
belakang DY 6644
Ibu kelihatan seronok dan aku terus membawa ibu ke Hospital
Besar Kota Bharu
Hampir cuti tamat aku menziarahi lagi ibu di Hospital
Aku bertanya pada ibu
Adakah perlu aku menunggu sehingga ibu sihat
Tapi ibu kata, baliklah ke Penang
Ibu belum tahu bila boleh keluar wad
Masih ku ingat betapa kuatnya bunyi ciuman ibu pada abang
Sebelum kami bergerak keluar
Sekitar Maghrib di rumah Transit USM
Isnin, 22 Mei 1995
Sedang kami bersiap-siap untuk ke jemputan makan malam di
rumah sahabat
Maarof datang memaklumkan kepadaku
Bonda sakit tenat
Secepat kilat aku menyuruh isteri berkemas pakaian
Kami sekadar menjamah makanan di rumah Dr Tajul
Aku terus memecut kenderaan merentasi banjaran gunung
Dari Penang, merentasi Kedah dan Perak
Aku berkata dalam hati
Jika bukan kerana ibu
Takkan ku bawa kenderaan di malam buta
Melalui Lebuhraya Timur Barat
Gajah, gaung, tanah runtuh begitu sinonim
Dengan Lebuhraya Timur Barat pada masa itu…
Sesampai di Palekbang jam 5 pagi
Aku lihat ibu terbujur di tengah rumah
Aku baca Yasin, Aku baca Quran
Supaya ibu sedar
Mungkin ibu koma kerana terlampau berhati-hati dengan gula.
Pada petangnya, sewaktu aku sedang mengalas perut
Ku dengar, mereka berkata ibu telah tiada…
Kami mandikan ibu di ribaan kami
Kami solatkan ibu
Dan kami kebumikan ibu pada malam itu juga
Moga ibu cepat mendapat syafaatNya
Selamat Hari Ibu!!!
No comments:
Post a Comment