Tahniah kepada semua para graduan! Upacara konvokesyen UTM kali ke-48 akan berlangsung bermula pagi esok sehingga lusa (7 & 8 Mei).
Seronok para graduan bergambar di sekitar UTM, termasuklah mereka dari luar negara. Penat lelah menelaah matapelajaran akhirnya membuahkan hasil. Sudah pasti bukan setakat para graduan tetapi kaum keluarga mereka turut sama bergembira. Inilah saat-saat yang ditunggu untuk menggenggam segulung ijazah tercapai.
Cuba bayangkan mereka yang berusaha sedaya upaya selama beberapa tahun tetapi akhirnya gagal mendapat apa-apa. Tiada orang yang pergi belajar inginkan kegagalan... Semua yang memulakan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana, dan doktor falsafah bercita-cita ingin berjaya. Tetapi hakikatnya tidak semuanya yang berjaya!
Begitulah dengan kehidupan sesudah mati. Tiada siapa yang ingin hidup di neraka walau sejahat mana perangai dan kelakuannya semasa di dunia. Semuanya mengharapkan suatu hari nanti mereka akan mendiami syurga jua setelah segala dosanya dibuat pembersihan oleh Allah SWT.
Dalam kita merancang untuk mendapat syurga, kita seharusnya sedar tentang maksud perancangan itu sendiri. 'A plan is a predetermined course of action'.
Perancangan seharusnya mempunyai 3 ciri-ciri utama. Pertama, ianya melibatkan masa depan. Tiada orang merancang untuk tahun lepas atau semalam. Orang yang jiwa dan akalnya sihat sudah pasti merancang untuk masa depan yang menjangkau kehidupan dunia yang sementara ini!
Dan tiada orang yang tidak merancang! Kita ingin keluar pergi kerjapun merancang. Merancang supaya jalan yang bakal kita tempuhi nanti tidak 'congested' atau macet dan kita sampai di pejabat 'on-time'. Orang yang tidak merancang hanya orang gila!
Kedua, setiap perancangan memerlukan tindakan. Sekiranya kita merancang untuk mendapat syurga Allah, sudah pasti kita akan berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan perbuatan atau amal yang menjurus ke arah itu. Kita akan seboleh-bolehnya meninggalkan perkara-perkara yang menghalang dari kita mencapai syurga Allah.
Jangan kita bernostalgia dengan amalan kebaikan yang telah atau pernah kita lakukan! Dan jangan pula kita terlalu memikirkan kesalahan lalu yang pernah kita lakukan. InsyaAllah, setelah bertaubat dan dengan iringan doa kita panjatkan kepadaNya, dosa-dosa lalu pasti diampunkan... Sekarang ialah masa untuk kita menambahkan amal!
Ketiga, ia melibatkan individu atau organisasi pelaksana. Setiap perancangan mesti disusuli dengan perlaksanaan. Kalau tidak, ia hanya tinggal sebagai angan-angan kosong.
Sedihkan... Kalau kita inginkan syurga tetapi tiada tindakan yang kita buat untuk menuju ke arah pencapaian matlamat tersebut. Kita hanya mengharapkan belas ihsan orang lain untuk membantu kita untuk ke syurga. Mana mungkin?
Kita seharusnya merancang dan bertindak dengan sebaik mungkin sambil sentiasa berdoa kepada Allah supaya tujuan kita tercapai. Jangan kita hanya mengharapkan anak-anak untuk berdoa kepada kita. Kalau mereka ingatkan kita alhamdulillah tetapi kita sendiri sepatutnya menyerahkan jiwa raga kita (mewakafkan) kepada Allah. Tindakan kita sepatutnya tidak lari dan tidak lain dari hanya ingin mendapat mardhatillah! Disamping diri kita, kita juga sanggup menafkahkan wang ringgit dan harta kita ke jalan Allah.
Sesungguhnya, kehidupan kita di sini hanya sementara dan kehidupan di akhirat sana kekal untuk selama-lamanya...
No comments:
Post a Comment