Tuesday, May 1, 2012

Pembaziran...

Pembaziran amat dibenci dalam Islam. Ini termasuk dalam semua aspek pembaziran, baik makanan, pakaian, harta, binaan bangunan, masa, dan sebagainya.

Apa maksud membazir menurut Kamus Dewan? Kamus Dewan mendefinisikan sebagai berlebih-lebihan sehingga terbuang.

Bagi sesetengah orang yang mempunyai kenderaan sehingga 4 atau 5 buah, mungkin mereka tidak merasakan sebagai membazir. Tetapi hakikat sebenarnya...

Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya (Al-Isra': 27).

Begitulah maksud ayat 27 dari Surah al-Isra'. Tiada orang yang mahu dipanggil atau dikaitkan sebagai saudara syaitan. Semua orang tahu akan tingkah laku makhluk ini yang tidak beriman kepada Penciptanya. 

Tetapi yang paling saya kurang faham ialah tingkah laku pelajar-pelajar arab, somalia, dan sebagainya yang apabila mereka makan, mereka meninggalkan nasi bertaburan di dalam pinggan. Sesetengahnya hanya makan separuh pinggan sahaja dan yang lain dibiarkan membazir. Itulah senario di kebanyakan kafe di UTM.

Aku sebagai rakyat Malaysia yang belum lagi mencapai tahap kebuluran tetapi setiap kali makan akan cuba untuk menghabiskan makanan. Tetapi mereka yang berasal dari benua Afrika, tanpa rasa bersalah dan malu membuang makanan sebegitu rupa. Lupakah mereka kepada saudara mara mereka yang tidak cukup makanan di sana?

Itu bab makanan, yang aku tengok kita rakyat Malaysia lebih hampir kepada ajaran Islam berbanding dengan bangsa arab.

Aku ingin menarik perhatian pembaca kepada isu lain, yang aku merasai kita berlebih-lebihan dan mungkin jatuh ke tahap pembaziran berbanding dengan orang-orang arab.

Saudara-saudari, cuba tengok kebanyakan masjid-masjid di negara kita. Besarkan mereka, tersergam indah, begitu cantik hiasan luaran dan dalaman? Tetapi bila sampai waktu solat berapa baris makmum yang berdiri teguh di belakang imam? Mungkin satu atau dua saf. Yang lain kosong sehinggalah waktu solat Jumaat nanti barulah semua ruang dan luang yang ada diisi...

Tidakkah pada pandangan tuan-tuan dan puan-puan, ini juga salah satu elemen pembaziran?

Alangkah baiknya jika kita menggunakan wang yang dibelanjakan untuk membina masjid yang 'terlampau besar' itu dengan membantu mereka yang miskin dan susah... Jika duit ini digunakan untuk membantu orang susah, mungkin kita tidak lagi mempunyai golongan miskin tegar!

Perlukah kita mempunyai masjid yang saiznya begitu besar? Tidakkah ia merupakan satu pembaziran dari segi perbelanjaan pembinaan dan juga ruang?

Pada pandangan saya, kita tidak perlu kesemua masjid bersaiz besar yang boleh memuatkan makmum sehingga 10,000 orang. Masjid yang bersaiz sebegini sepatutnya dilimitasikan bilangannya untuk beberapa buah sahaja dalam sesebuah negeri. Yang lain-lain, hanya mencukupi setakat untuk memuatkan jumlah jamaah sehingga 1,000 orang sahaja.

Saya kira, kita sepatutnya memperbanyakkan bilangan masjid! Kalau boleh setiap taman perumahan perlu ada sebuah masjid. Ini memudahkan ahli kariah untuk menunaikan solat berjamaah, dan jarak dari rumah mereka ke masjidpun tidaklah begitu jauh. Secara tidak langsung, semua penghuni yang beragama Islam di taman tersebut dapat berjumpa setiap kali solat fardhu dan ini akan merapatkan lagi hubungan sesama mereka.

Dengan kata lain, saya lebih berpandangan untuk menambahkan bilangan masjid tetapi saiz masjid tidaklah begitu besar sehingga ia tidak ekonomikal dari segi penggunaannya. 

Adalah tidak praktikal mempunyai masjid yang besar tetapi terletak agak jauh dari kawasan kejiranan. 

Saya dapati ada sebuah masjid yang begitu besar, tersergam indah berhampiran dengan lapangan terbang Senai tetapi agak jauh dari kawasan kediaman. Saya juga tidak pasti samaada masjid ini diguna secara sepenuhnya bagi tujuan solat fardhu, solat jumaat dan sebagainya. Dari desas desus, ada yang mengatakan bahawa masjid ini tidak diberi tauliah untuk solat Jumaat. Setakat mana kebenarannya, saya kurang pasti. Tetapi sekiranya benar, alangkah membazirnya pembinaan masjid ini...

No comments:

Post a Comment