Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sibuk diperkatakan sekarang. Pihak kerajaan menegaskan tentang betapa perlunya PTPTN diteruskan bagi membantu pelajar-pelajar di peringkat universiti. Kerajaan memberi pinjaman untuk penerusan pengajian di peringkat IPT dan dengan pembayaran balik oleh si peminjam maka duit itu akan berterusan membantu orang lain pula. Terkecuali mereka yang cemerlang dalam pembelajaran maka pinjaman tersebut boleh ditukar menjadi biasiswa atau diberi diskaun.
Tidak dinafikan bahawa setiap pinjaman harus dilunaskan. Itu ajaran agama kita! Sesiapa yang meminjam dan cuba lari dari bertanggungjawab dari pinjaman ini maka ia akan menanggung dosa.
Pihak pembangkang pula menegaskan tentang betapa PTPTN boleh diberikan percuma tanpa mengharapkan bayaran balik kepada kerajaan jika banyak duit yang dibazirkan dapat dikurangkan. Sekiranya 'unnecessary spending' dijimatkan maka kerajaan boleh menanggung bebanan ini bagi membantu anak-anak nelayan, petani, dan sebagainya.
Kerajaan menegaskan bahawa sesiapa yang tidak membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bermula pada tahun ini maka mereka tidak akan dipertimbangkan untuk mendapat pinjaman PTPTN.
Aku telah membuka akaun SSPN untuk kesemua anak-anakku sejak bulan Ogos 2010. Dari Kak Long sehinggalah kepada anak yang bongsu, Wan Asmaa Solehah. Sembilan orang kesemuanya!
Banyak kelebihan membuka akaun ini pada pandanganku. Antaranya ialah kita menyimpan untuk pembelajaran anak-anak. Kedua, ia boleh ditolak bagi pengecualian pengiraan cukai pendapatan.
Kak Ngah mengisi permohonan PTPTN secara 'on-line' apabila beliau memasuki tahun 1 di UIAM.
Semasa mengisi borang, Kak Ngah pernah bertanya kepadaku, "Berapa pendapatan bersih abah?". Aku menjawab, "Dalam slip gaji RM5 ribu lebih tetapi tak sampai 2 minggu, habis semua duit abah dan terpaksa menggunakan kad kredit untuk berbelanja duit dapur. Bila dapat gaji, bayar bil kad kredit kesemuanya dan begitulah seterusnya...". Apabila mendengar penjelasanku tanpa memikirkan risiko, Kak Ngah meletakkan pendapatan bersihku sebanyak RM0.
Apabila pihak PTPTN datang ke UIAM dan menyemak permohonan Kak Ngah maka permohonannya ditolak kerana kesalahan meletakkan pendapatan bersih tersebut. Kata pegawai tersebut, jika Kak Ngah masih ingin mendapatkan pinjaman tersebut beliau dikehendaki mengisi semula permohonan secara 'on-line'!
Pada pandanganku, apa salahnya permohonan tersebut dibuat 'revision' semula sahaja kerana semua maklumat pekerjaanku sebagai pensyarah, slip gaji, nombor kad pengenalan dan sebagainya disertakan. Bukannya kita menipu tetapi kesalahfahaman tentang gaji bersih sahaja.
Kata pegawai PTPTN tersebut lagi menurut Kak Ngah, "Kalau awak isi borang semula dan kalau awak dapatpun hanya RM500 sahaja".
Tak kisahlah berapa yang akan kita dapat, lagipun ini adalah pinjaman. Sudah pasti kita akan berusaha sedaya upaya untuk membayar balik.
Seperti yang aku kata bahawa hutang tetap hutang, hukumnya wajib dibayar setelah tamat pengajiannya nanti! Aku tak ingin melihat anak-anakku ke neraka kerana tidak membayar hutang.
Padaku sepatutnya PTPTN melihat juga bilangan tanggungan. Seorang yang bergaji RM3,000 tetapi mempunyai anak seorang dua tidak sama dengan seseorang yang bergaji RM7,000 tetapi mempunyai 9 orang tanggungan!
Aku kesian kepada Kak Ngah kerana kesalahannya mengisi borang, beliau terpaksa menanggung tidak mendapat pinjaman!
Walau bagaimanapun, aduhai anak-anakku, aku berjanji aku akan membiayai pembelajaran kamu semua sehingga ke mercu jaya walaupun aku terpaksa bergolok bergadai. Selagi hayatku dikandung badan, jangan risau anak-anakku, aku akan pastikan kamu mendapat pendidikan yang sewajarnya!!!
No comments:
Post a Comment