Wednesday, April 18, 2012

Tingkatkan Profesionalisme Perkhidmatan

Banyak perkhidmatan di negara kita masih kurang mantap. Dulu kita selalu sebut bahawa perkhidmatan kerajaan sangat tidak memuaskan. Lambat, lembab, tidak efisyen, tidak efektif, dan bermacam-macam lagi.

Berbagai cara dibuat supaya tahap perkhidmatan kepada umum dipertingkatkan. Ada yang membuat piagam pelanggan, ada yang meletakkan peti cadangan, ada yang terus memberi nombor telefon untuk dihubungi bagi sebarang aduan, dan yang lebih ke depan terus menswastakan perkhidmatan mereka.


Pada pandangan Tok Wae, walaupun tindakan tersebut dibuat namun tahap perkhidmatan masih banyak boleh diperbaiki.

Antara yang Tok Wae ingin sebutkan buat hari ini ialah perkhidmatan Pos Malaysia dan perkhidmatan pembersihan tandas di UTM.

Tok Wae tengok Pos Malaysia adalah antara yang terkedepan dari segi membuat penswastaan. Dulu dalam posting yang lepas, Tok Wae ada sebut kenapa penswastaan dilakukan. Antaranya ialah untuk menjimatkan kos kerajaan dan meningkatkan keefisyenan sesuatu perkhidmatan.


Pada tahun ini saja, sudah lebih dari 3 kali Tok Wae menerima surat orang lain dalam peti surat rumah Tok Wae. Ada yang nombor rumahnya salah, ada yang nombor jalannya salah, dan ada yang Tamannya salah!

Surat yang tersalah hantar ke rumah Tok Wae bagi alamat yang dekat-dekat, Tok Wae minta anak-anak tolong masukkan dalam peti surat mereka. Bagi yang nombor rumah dan jalan yang sama tapi Taman yang berlainan atau dengan kata lain alamat yang jauh, Tok Wae masukkan dalam peti surat di UTM supaya penghantaran semula boleh dilakukan.

Kelmarin Tok Wae terima satu lagi surat beralamat No 7, Jalan Pulai 17 tetapi Taman Pulai Flora bukan Taman Pulai Utama.


Tok Wae tak dapat bayangkan bagaimana kalau surat Tok Wae sampai ke rumah orang lain. Lebih-lebih lagi kalau surat yang penting! Adakah mereka akan mengedar semula seperti apa yang Tok Wae lakukan atau hanya membiarkan saja surat itu di rumahnya?

Pernah terjadi Tok Wae mendapat surat tawaran samaada untuk menerima pinjaman perumahan kerajaan yang telah Tok Wae pohon selepas 3 bulan dari tarikh surat dihantar oleh pihak Perbendaharaan.

Dimana silapnya? Tercapaikah matlamat untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dengan penswastaan?


Ternyata jawapannya ialah PEMBANGUNAN INSAN! Insan yang bekerja di Pos Malaysia perlu dibangunkan supaya mereka mengetahui tentang amanah dan kebertanggungjawaban.

Satu lagi ialah isu pembersihan tandas di Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah, UTM. Tok Wae nampak pekerja-pekerja pembersihan ini terdiri dari mereka yang sudah tua. Mungkin peringkat umur arwah ayah dan mak Tok Wae.

Kita lihat semacam ada sela masa atau kekerapan yang perlu mereka membuat pembersihan tetapi Tok Wae tak pasti sampai ke tahap mana atau sebanyak mana kekerapan itu dilakukan. Tok Wae juga tak pasti samaada ada atau tidak seseorang yang monitor pekerjaan mereka ini.


Tetapi bila melihat kepada mangkuk tandas, nampak seperti berkarat tak diberus! Mungkin sekadar menyimbah bahan pembasuh sebagai mewangikan tandas.

Kita akui sekiranya umur sudah meningkat 60 atau lebih, bolehkah kerja-kerja yang memerlukan tenaga fizikal dilakukan dengan baik?

Tok Wae semasa belajar di negara barat dulu pernah membuat 'part-time job' sebagai 'cleaner' di Kansas State University.


Sebelum memulakan tugas, 'supervisor' atau kita panggil mandor akan menunjukkan bagaimana kita membersihkan 'toilet bowl', 'mop' dan 'polish' lantai menggunakan mesin, menyapu sampah, mengelap tingkap dan perabot.

Mandor tersebut mengajar Tok Wae membasuh mangkuk tandas dengan memasukkan tangan ke dalamnya dan memberusnya sehingga berkilat. Tiada alas tangan dipakai oleh si mandor tadi.

Sekali sekala dia datang ke tempat Tok Wae bertugas dan meletakkan jarinya di sepanjang tingkap atau perabot untuk melihat jika habuk masih ada.


Pada pandangan Tok Wae adalah amat wajar pihak pengurusan universiti menggalakkan pihak kontraktor menggaji pelajar-pelajar UTM sebagai 'cleaner'.

Pertama, ia membantu kewangan pelajar. Kedua, pelajar masih muda dan mampu membuat kerja jauh lebih baik dari orang tua. Ketiga, ia mengajar pelajar itu sendiri supaya berbudaya bersih dan bertanggungjawab terhadap kekotoran yang dikeluarkannya. Dengan kata lain, kita cuba menerapkan nilai-nilai positif supaya mereka tidak mengharapkan orang lain untuk membersihkan najis yang mereka 'produced'!


Walau apapun, Tok Wae merasakan bahawa pihak atasan sekali sekali perlu turun ke bawah dan melihat realiti sebenar... dan dengan berbuat demikian ia tidak menjatuhkan darjat kita tetapi akan disanjung kerana kita dikatakan sebagai pemimpin berjiwa rakyat!

No comments:

Post a Comment