Tuesday, April 17, 2012

Mukhayyam Ahli Biasa IKRAM Johor Pada 13 Hingga 15 April 2012

Mukhayyam 01 dan 02 bagi ahli-ahli IKRAM Johor telah berlangsung dari 13 hingga 15 April.

Peserta seramai 59 orang telah menyertai mukhayyam pada kali ini. Walaupun pada awalnya seramai 88 orang telah mendaftar secara 'on-line' tetapi hanya 59 orang telah dipilih Allah SWT untuk menghadirkan diri.


Mukhayyam pada tahun ini bertemakan 'Kebersamaan Dalam Perjuangan'. Maksudnya ialah semua golongan termasuk orang muda, orang tua, orang kaya, orang susah sama-sama menggembleng tenaga dalam menjayakan misi dakwah.

Pada malam 13 April, jam 9pm, kita membuka kaunter di kantin Sekolah Hidayah bagi tujuan pendaftaran. Yuran pendaftaran hanya sebanyak RM50 termasuk baju, topi, dan senaskah al-Ma'thurat.


Selesai waktu pendaftaran, semua peserta diminta mendengar sesi pembukaan yang dilakukan oleh Prof Madya Zamani bagi menggantikan Ustaz Hairozi. Seterusnya peserta diberi taklimat mukhayyam oleh Kem Komanden iaitu Dr Faizul Amri.

Peserta juga dibahagikan kepada 12 kumpulan. Nama setiap kumpulan diasosiasikan dengan nama para sahabat seperti Anas bin Malik, Abu Ubaidah Al-Jarrah, Salman al-Farisi, dan lain-lain.


Setiap kumpulan diminta untuk memilih ketua kumpulan dan semua kumpulan diminta untuk memilih seorang Penghulu keseluruhan.

Selesai ucapan perasmian dan taklimat program, peserta dibuat sesi 'ice breaking' yang dikendalikan oleh PM Dr Mat Hussin Yunan.


Seterusnya, semua tidur untuk bangun solat tahajjud di pagi hari. Hanya satu kumpulan akan membuat hirasah bagi satu-satu masa secara bergilir-gilir dengan kumpulan lain sehingga pukul 5 pagi.

Pada pukul 5 pagi, peserta mula solat tahajjud secara individu.


Kemudian disusuli dengan solat Subuh berjamaah, bacaan al-Ma'thurat dan kuliah Subuh. Kuliah Subuh disampaikan oleh peserta.

Pukul 7 pagi, peserta mula meninggalkan Kompleks Hidayah dan mendapatkan sarapan di kedai-kedai atau warung yang berdekatan.


Aktiviti berikutnya ialah sesi bersama para tokoh. Peserta bergerak dalam kumpulan menuju ke rumah tokoh yang telah dikenalpasti.

Aktiviti-aktiviti yang seterusnya termasuklah trekking, memindahkan barangan secara jamaie, memasak dan makan secara ukhuwwah, persembahan kumpulan bertemakan sahabat nabi dan tokoh, 'night walk' secara solo dan kumpulan, dan khidmat masyarakat iaitu membersihkan sampah sarap yang berselerak di kawasan air terjun Gunung Pulai 2.


Walaupun semua acara ini dibuat dengan begitu bersungguh-sungguh bagi memantapkan jasmani, emosi, rohani, dan intelek, namun pengabdian diri kepada Maha Pencipta tidak dilupai sama sekali. Solat tahajjud, solat dhuha, tilawah al-Quran dan zikir al-Ma'thurat saban waktu dilakukan.

Ya Allah Engkau terimalah amal kami dan Engkau bantulah kami dalam melaksanakan amanah kami... Amin!

No comments:

Post a Comment